SUKA atau tidak kita sentiasa melalui jalan sejarah. Semalam, kelmarin, bulan lepas, tahun lalu, 100 tahun yang lepas adalah sejarah. Sekalipun banyak yang mendakwa tidak minat sejarah dan tidak tahu apa-apa sejarah masa lampau, hakikatnya kita sedang mewarisi sejarah dan sangat kuat pula mempertahankan ikatan sejarah itu.
Serangan Amerika Syarikat terhadap Afghanistan (2002) dan Iraq (2004) merupakan kesan sejarah. Jangan dikaitkan sejarah penjajahan dan Perang Dingin yang rencam. Baca saja serangan pesawat awam ke atas WTC 11/09/2001. Itukan peristiwa bersejarah. Dari sanalah Amerika mengistiharkan perang ke atas ‘pengganas’. Oleh kerana dalam politik sifirnya mudah, maka watak Osama Laden dan Saddam Hussein dijadikan sebab dua negara diganyang kuasa besar. Selepas ini mungkin saja ada negara baru akan diganyang Amerika sebab negara Paman Sam itu mempunyai ingatan sejarah yang bagus dan berani menafsirkannya pula.
Kehidupan kita dalam 50 tahun merdeka cukup jelas hasil kerja sejarah. Parti-parti politik Umno, Pas, MCA, MIC sampai yang terbaru PKR juga kesan sejarah. Antara kita dinasabkan keturunan Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban misalnya juga kerana perjalanan sejarah. Jika dengan mengingat sejarah, pihak itu berasa untung, pihak itu akan membesar-besarkan peristiwa sejarahnya. Bagi pihak yang berasa dirugikan, pihak itu akan menyumpah sejarahnya dan jika dapat mahu saja ditulis semula sejarahnya kepada yang menguntungkan.
Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 cukup baik untuk dijadikan bahan sejarah. Oleh kerana banyaknya perkara buruk dan keji, maka 13 Mei dijadikan momok oleh rakyat Malaysia. Semua rakyat sedang dan akan terus memikul sejarah ini.
Tafsiran sejarah mungkin berbeda-beda. Pahlawan Kelantan Tok Janggut dikatakan pengganas oleh penjajah British, tetapi kepada penduduk negara dia ialah pejuang. Sama seperti watak Hang Jebat yang menghalau Sultan Melaka dari istana, dia adalah penderhaka kepada pendukung feudalisme tetapi Hang Jebat adalah hero kepada puak republikan.
Bahayanya ialah apabila kita yang berjalan di atas lembaran sejarah tidak mahu tahu sejarahnya, sedangkan pada waktu yang sama kita sedang menjalankan agenda jadual sejarah. Wujud ‘kumpulan Artikel 11’ yang menafsir maksud perlembagaan berdasarkan keadaan semasa, sedangkan perlembagaan itu sendiri hasil jadual sejarah. Kita wajib melihat segala fasal dalam perlembagaan berdasarkan kehendak sejarahnya, barulah kita faham dan tidak ‘terbeban’ dengan perlembagaan.
Hari ini semua orang Melayu beragama Islam setelah menjalani sejarah panjang kira-kira tujuh ratus tahun. Namun diyakini tidak ada orang Melayu yang merasa terbeban dengan sejarah yang panjang ini. Malah muncul pula golongan untuk mengembalikan kemurnian Islam daripada terbeban dengan pengaruh animisme, Hindu dan Buddha yang pernah dianut oleh masyarakat Melayu Nsantara.
Tidak dinafikan juga sejarahnya bangsa Melayu menjadi aktivis Hindu-Buddha sehingga terbangunnya kerajaan seperti Srivijaya dan Majapahit. Bukti candi-candi termasuk yang paling besar seperti Borobudur sebagai petanda kehebatan pengaruh Hindu-Buddha dalam masyarakat Melayu. Jadi pengaruh Hindu-Buddha bukan suatu yang mudah dilunturkan oleh tuturan ‘syahadah Islam’ bangsa Melayu. Sebahagiannya memang terbeban dan sukar membedakan antara adat bangsa dan adat resam agama silam.
Terbeban dengan sejarah suatu hal, tidak memahami sejarah dan memikul beban sejarah tanpa pengetahun suatu hal yang lebih parah. Inilah contoh tidak tahu sejarahnya, tetapi sebenarnya menjadi pemikul sejarah yang kuat. Mungkin contoh terbaik ialah pertelingkahan antara golongan islah atau tajdid dengan golongan agamawan tradisional sejak awal abad ke-20. Golongan islah cuba membawa tajdid dalam masyarakat Melayu untuk membersihkan bebanan sejarah agama sebelum Islam, tetapi golongan ulama tradisional mempunyai tafsiran tersendiri.
Apa pun konflik dan perbedaan pendapat wajar dikendurkan. Sebagian cara pengenduran ini diasaskan kepada keperluan sejarah. Memang diakui, beban sejarah ada kalanya perlu dikurangkan atau dihapuskan kerana tuntutan zaman yang tidak serupa. Jika ini hendak dilakukan, kita ada dua pilihan iaitu: jalan revolusi atau evolusi. Jika tidak tertahan menanggung beban sejarah, maka revolusi pun berlaku. Ini sudah terbukti dengan revolusi besar seperti Revolusi Perancis 1789, Revolusi Bolshevik Russia 1917 dan Revolusi Islam Iran 1979. Indonesia pun melakukan revolusi kemerdekaannya. Kemerdekaan Malaya (Malaysia) dilalui secara evolusi. Perjalanan sejarah kemerdekaan Indonesia dan Malaysia yang berbeda juga menghasilkan tasawur warganya yang berbeda. Itulah beban sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan