Pengikut

Jumaat, November 16, 2007

internet sedang mencabar status quo (1)

Sekian lama saya memerhatikan dan mendengar bicara dan wacana. Senang saya khabarkan buat sementara saya kerap mengunjungi sebuah masjid di kawasan kelas menengah Melayu. Masjid yang cantik dan besar, jika tetamu hadir sementara menunggu solat Isyak akan kaget dengan khalayak 7 hingga 10 orang sahaja pada kebanyakan slot kuliah maghrib. Ironisnya, sewaktu solat maghrib tadi sering mencapai 40 hingga 60 orang. Kanak-kanak dan remaja juga sebahagian pengunjung masjid kerana lokasi masjid dalam kawasan perumahan. Mengapa kuliah masjid ini kurang dihadiri khalayak?

Saya memang bukan terdidik dalam kurikulum 'agama' secara formal. Namun kerana demokrasi pendidikan dan kehendak diri, saya mengutip mana-mana ilmu sama berhadapan dengan guru, membaca berdiskusi tanpa mengira tempat. Hasilnya jika pandangan saya tidak cocok dengan pandangan biasa masyarakat, saya mendapat SMS nasihat, "jangan belajar dengan membaca buku atau kajian, belajarlah dengan guru". Dalam santai minum dengan rakan-rakan pun terdengar, "orang itu belajar melalui internet, bahaya..."

Meski belum terhasil kajian kaitan sunyinya kuliah sebuah masjid itu dengan pengaruh internet, namun secara kasar saya percaya ada kaitan itu. Iqra' dalam surah al Alaq sangat popular, membawa maksud harfiah "bacalah...". Ini perintah pertama Allah kepada Junjungan Besar Rasulullah, kepada kitalah umatnya. Maka membaca tulisan adalah asas meneroka ilmu.

Internet memang sedang mencabar status quo tuan-tuan guru agama. Faktor internet sebagai maklumat di hujung jari sangat mengujakan, dan siapakah tuan guru agama yang sanggup mengiklankan dirinya sebagai "temui saya bila-bila saja, maklumat di bibir saya!" Sesuai dengan fitrah orang belajar yang mahukan sesuatu yang baru pada setiap masa, jika tuan guru di masjid tidak dapat memberi input baru, maka khalayak akan ke ruang siber. Maka seusai saja solat maghrib, jemaah akan ke siber cafe! Di sana, bukan saja kuliah agama dalam You Tube, malah web-web lain menyediakan arkib persoalan yang pelbagai. Opps.., tambah lagi iaitu pengunjung boleh mengemukakan soalan dan dijawab dengan dalil-dalil termasuk hadis yang sudah disaring sahih atau palsunya. Maka, adakah berdiskusi melalui internet dengan jawaban yang lebih lengkap masih dikira "berguru dengan setan?"

Inilah cabaran kepada tuan-tuan guru kita, sama ada mereka bersama meneroka alam siber membuat persediaan dengan isu-isu semasa yang kian ruwet atau meneruskan tradisi membuka kitab dan meminta khalayak mendengar saja. Menakut-nakutkan anak muda mencari maklumat 'agama' di internet tidak menyelesai masalah kelesuan program di masjid. Namun tuan guru jangan bimbang kerana urusan jenazah dan solat jenazah masih tidak dapat dilakukan oleh komputer. Dan anak-anak muda masih belum perduli hal ini. Bolehlah dikatakan begini, "ha itulah belajar di internet, nak urus jenazah ayah kamu pun tak tahu..., akhirnya cari ustaz juga."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan