Pengikut

Isnin, Mac 31, 2008

LADA, cabai atau cili

TIDAK semua dialog berguna membangunkan minda daripada dungu kepada terbuka. Saya hendak paparkan cerita yang tidak banyak di ketahui oleh orang atau bangsa Melayu. Tidak keterlaluan, hanya setelah anda membaca tulisan saya barulah diketahui rupa-rupanya ada perselisihan pendapat yang menarik sekali dan dahsyat.

Orang Melayu mesti pernah makan nasi lemak. Di mana-mana ada orang melayu seluruh pelosok dunia mesti tahu dan pernah makan nasi lemak. Senang cakap kalau dia mengaku berbangsa Melayu dan tidak tahu apa nasi lemak, jangan terima dia dalam bangsa Melayu! Hebat betul nasi lemak ini.


Nasi lemak mesti ada sambalnya. Itulah mercu tanda nasi lemak di serata dunia termasuk d Tokyu dan Ulan Bator. Tahu Ulan Bator di mana? Mongolia! Kini sedang berlaku perdebatan yang maha hebat mengenai istilah yang digunakan untuk membuat sambal bilis nasi lemak. Aliran Melayu Dabel X mengatakan lada sebagai bahan utama membuat sambal bilis nasi lemak sebenarnya sama saja dengan maksud cili. Satu aliran lain, Tripel X pula mendakwa perkataan lada tidak boleh disamakan dengan cili. Bagi Tripel X cili sangat asing dan bukan bahan membuat sambal bilis. Tambah mereka, pertukaran istilah lada kepada cili telah menyebabkan maksud nasi lemak berubah. Apabila erti nasi lemak berubah, maka bangsa Melayu sudah kehilangan sepenuhnya identiti. Oleh itu aliran Tripel X menolak sama sekali penggunaan istilah cili selain lada. Menurutnya lagi, jika ada sesiapa yang bertegas menggunakan istilah cili untuk menceritakan nasi lemak bermakna mereka sudah terkeluar daripada bangsa Melayu.

Banyak berlaku perdebatan dan berlarutan berhari-hari, berbulan-bulan dan bertahun-tahun. Di Universiti Melayu Nusantara juga diadakan kursus nasi lemak dan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Nasi lemak. Oleh kerana itu berdebatlah mahasiswanya berkenaan istilah lada dan cili. Dalam pada itu pada waktu pagi mereka semua masih bersarapan nasi lemak di cafeteria atau menjadi ejen pemasaran nasi lemak di asrama-asrama.

Ya rabbi, apalah punya anak muda Melayu berdebat mengenai lada dan cili sampai ke universiti. Suka tidak suka, banyak masa dan tenaga dibazirkan dalam perdebatan yang entah apa faedah dan di mana hujungnya. Memang ini cerita rekaan saya sendiri, tetapi hendak menggambarkan ada perkara yang didebatkan oleh kita semua macam kes nasi lemak itu.

Perdebatan istilah istiwa dan semayam bagi saya sudah seperti debat antara lada dan cili. Fikirlah dengan minda dan akal yang tulus. Dalam keadaan umat Islam dihadapkan dengan pelbagai cabaran yang rumit, kita berdebat dan berpecah kerana istilah. Saya menyeru mereka yang sefikrah dengan saya agar tidak terperangkap dengan permainan musuh Islam ini.

Aduhai banyaknya kerja Islam atau dakwah yang tidak beres. Berapa banyak lagi rakan-rakan bukan muslim yang belum diceritakan mengenai Islam. Berapa banyak saudara baru Islam yang senantiasa perlukan bimbingan. Berapa banyak anak muda yang seakan malu mengaku sebagai muslim. Berapa banyak ahli masyarakat kita yang tidak faham erti Islam yang kaffah. Oh banyak lagi kerja yang dapat merapatkan ukhwah sesama Islam. Moga-moga kita semakin dewasa dalam mengharungi cabaran semasa.

Ahad, Mac 30, 2008

JIKA nelayan menjadi peguam

WACANA keilmuan masih disorot untuk dibicarakan. Apabila Allah menurunkan wahyu pertama iqra’ di tengah-tengah masyarakat yang jahil dan buta huruf maka amat difahami gesaan Allah mengenai iqra’ itu. Iqra’ atau gesaan membaca (baca:menuntut ilmu) menjadi kewajiban utama setiap muslim. Kalaulah bukan kerana ilmu di dada, 50 tahun sejak wahyu pertama diturunkan bangsa Arab masih dalam jahil dan buta huruf. Namun sejarah merakam bahawa bangsa yang diakui jahil sebelum menerima wahyu telah menjadi satu bangsa yang disegani oleh masyarakat dunia lain.

Dalam hal keilmuan ini di negara kita juga kerap didengar tentang standard ilmu berdasarkan lokasi. Orang desa yang bekerja sebagai petani dan nelayan digambarkan kurang berilmu kerana didakwa tidak sekolah tinggi. Di balik itu orang di kota digambarkan sebagai masyarakat berilmu kerana didakwa mendapat pendidikan tinggi. Secara umum begitu, tetapi persepsi itu tidak muktamad.

Benarkah ayah dan paman-paman saya sebagai petani tidak berilmu? Atau bodohkah sahabat-sahabat saya di pesisir pantai sebagai nelayan? Kalau orang-orang di kota berpendapat demikian, kami orang-orang desa sebagai petani dan nelayan meminta orang-orang yang bijaksana turun ke desa untuk bertani dan menangkap ikan. Gunakanlah kebijaksanaan mereka sebagai ahli falsafah, teknokrat, usahawan besar, ahli akademik, ahli undang-undang dan segala macam pakar untuk menangkap ikan bilis saja. Bandingkan pendapatan Tan Sri Datuk Ramona sebagai nelayan dengan Paklang Jusuh juga sebagai nelayan untuk tempoh sebulan. Berapa ratus kilo ikan dapat ditangkap oleh kedua-dua manusia berlainan disiplin ilmu dan pengalaman?

Jika ujian ini masih menunjukkan Paklang Jusuh dengan mudah mengatasi kehebatan nama Tan Sri Datuk Ramona, itulah hakikat bahawa setiap manusia telah memilih lapangan kerjaya dengan ilmu masing-masing. Ini juga membawa kesimpulan bahawa jangan sesekali memberi tanggapan orang lain berilmu atau bodoh dengan kaca mata yang dipakai oleh penilai. Menilai seseorang berilmu atau tidak harus menggunakan kaca mata yang adil menurut budaya masyarakat yang dinilai. Jangan main-main kerana Allah sudah berpesan dalam alquran supaya berlaku adil sekalipun benci kepada pihak-pihak berkenaan.

Bolehkah disiplin ilmu seseorang diceroboh oleh pihak lain? Tidak faham! Bolehkah Paklang Jusuh naik ke mahkamah menjadi peguam sedangkan dirinya seorang nelayan? Jika Tan Sri Datuk Ramona seorang peguam terkenal boleh menaiki bot dan memancng ikan di laut menceroboh dunia nelayan, mangapa Paklang Jusuh dihalang menjadi pembicara di galeri mahkamah? Untuk Paklang Jusuh mewakili mana-mana pihak di mahkamah memang ada halangan undang-undang, namun jika Paklang Jusuh didakwa di mahkamah atas apa-apa tuduhan, Paklang Jusuh boleh memilih membela diri tanpa menggunakan khidmat peguam! Ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penggulung sidang mahkamah dalam kes yang dihadapi dahulu, sedangkan Anwar tidak memiliki ijazah undang-undang.

Ada kalanya dunia begitu kejam meletakkan jenis-jenis pekerjaan sebagai berstatus tinggi atau rendah. Kerjaya peguam, akauntan, arkitek dan doktor (sekadar beberapa jenama kerjaya) dilabel kerjaya profesional berstatus tinggi. Maka anak-anak kecil diasuh agar bercita-cita sehebat itu. Kerja sebagai peniaga pasar malam, petani, guru dan nelayan digolongkan bukan profesional kerana dianggap sesiapa saja dapat terjun ke dunia pekerjaan berkenaan tanpa halangan budaya dan undang-undang. Misalnya jika Tan Sri Datuk Ramona ditarik lesen guamannya kerana rasuah, Tan Sri berkenaan akan menukar pakaian peguam dan terus saja bekerja sebagai nelayan bersama Paklang Jusuh. Namun jika Paklang Jusuh bosan menjadi nelayan dia tidak boleh dengan sesuka hati membuka syarikat guaman.

Profesional ialah kemahiran dalam sesuatu bidang. Paklang Jusuh adalah seorang nelayan profesional sekalipun tidak mempunyai Ijazah dalam bidang perikanan. Beliau layak diberi gelaran Datuk setelah bergelumang dalam dunia perikanan lebih tiga puluh tahun. Masalahnya di negara kita tidak ada Majlis Nelayan seperti adanya Majlis Peguam!

Moral catatan ini ialah untuk membuka minda kita semua bahawa setiap orang telah dianugerahkan oleh Allah dengan kepakaran masing-masing. Dengan kepakaran atau ilmu itu seseorang dapat memahirkan diri dalam kerjayanya dan layak diiktiraf sebagai pakar. Lagi, ilmu itu pula bukan sepatutnya dikepung oleh sesuatu peraturan atau budaya elit. Orang-orang yang dikatakan pandai dan bijak di kota-kota wajib membuka minda dan mula memberi pengiktirafan kepada kerjaya masyarakat desa. Jangan sesekali menganggap mereka tolol kerana tidak punya kelayakan akademik dan persatuan-persatuan yang mengelitkan kerjaya mereka.

Setiap disiplin ilmu juga bukan mutlak milik segolongan sehingga seorang petani yang menjadi imam dan memberi ceramah hal ibadah dianggap menceroboh dunia para agamawan. Jika seorang ulama setiap hujung minggu turun ke laut kerana ketagih memancing ikan yang tentunya sudah memiliki ilmu memancing ikan, maka ulama wajib menerima jika ada nelayan membaca khutbah atau memberi kuliah tafsir setiap minggu di surau, tentu kerana si nelayan itu mempunyai kemahiran dan faham keperluan masyarakat desanya. Kalau ijazah masih dijadikan ukuran, dunia kejam terhadap ilmu tafsir alquran seorang nelayan yang ditekuni berpuluh tahun.

Untuk rekod, pentafsir enslikopedia al Azhar, Buya Hamka bukanlah seorang terdidik secara formal dalam ‘agama’, namun almarhum benar-benar seorang profesional. Mujur juga tidak ada Majlis Agama yang mengehadkan keahlian berdasarkan kelulusan tertentu.

Jumaat, Mac 28, 2008

DIALOG dan debat

APAKAH dialog dan perdebatan? Secara umum wacana ini bersifat keilmuan dan ditunaikan secara tanggung jawab. Dialog adalah perbincangan sekurang-kurangnya antara dua pihak. Tidak semestinya dialog berlaku dalam suasana berbeda pendapat yang saling memberi informasi dan hujah. Dialog bisa saja dalam suasana sependapat, dan ini bermakna saling memberi sumbangan maklumat. Dapatlah dikatakan dialog sebagai forum yang menemukan kepelbagaian.

Perdebatan pula jelas lebih radikal dan menjurus perbincangan antara dua atau beberapa pihak yang berbeda pendapat. Setiap pihak mempunyai hujah dan akan mempertahankan hujah-hujahnya. Selalunya dalam perdebatan, setiap pihak akan mematahkan hujah lawan atau membuktikan hujah lawan sebagai salah, kemudian pematah hujah akan mengemukakan syor daripada pihaknya untuk diguna pakai. Perdebatan ini kerap berlaku dalam Dewan Rakyat antara pihak-pihak yang berlawanan.

Sama ada dialog atau perdebatan, kedua-dua wacana ini merupakan aktiviti ilmiah dalam memantap pemikiran dan membina ketrampilan minda. Wacana ilmu ini satu kerja mulia yang diguna pakai dalam mana-mana institusi pendidikan. Di luar gelanggang kolej dan universiti juga kerap ditemui wacana berkenaan dan selalunya dikerumuni oleh khalayak yang sangat cintakan ilmu dan keberkesanan hujah. Hanya mereka yang ketandusan ilmu dan bobrok daya keintelektualannya akan melarikan diri daripada keunggulan wacana ilmiah ini.

Bisakah dialog dan perdebatan berlaku secara individu? Bunyinya bagai aneh, namun seseorang yang jujur dalam menemukan ilmu, akan berlaku jujur membina dialog atau perdebatan dalam diri sendiri. Misalnya jika seseorang mengkaji system demokrasi, dia wajib mempelajari system-sistem lain yang pernah diguna atau sedang digunakan. Kita sukar membuktikan kebaikan sistem demokrasi tanpa membandingkan dengan sistem Islam, feudal dan komunisme.

Dalam memahami Islam yang disandar kepada alquran dan sunah, kerap kita temui ayat mengenai akidah yahudi dan nasrani. Tidak cukup dengan membaca ayat itu untuk mengetahui apakah sebenarnya ‘ahli-ahli kitab’ itu, melainkan terus terjun mendalami agama mereka untuk mengetahui lanjutan kehendak alquran. Mempelajari dan mengetahui siapa ahli kitab itu akan membentuk kemantapan kepercayaan mengapa kita memilih Islam. Dalam apa-apa juga ilmu pengkajian, orang yang hanya memegang aliran atau ilmu sepihak akan dianggap syok sendiri. Ini akan membantuk sikap fanatik atau taksub, suatu hal yang tidak dianjurkan oleh Islam.

Hari ini dunia ilmu bukan hanya berpusat di Barat. Seperti juga mempelajari Islam, bukan hanya dari dunia Arab atau India. Ilmu sudah bersifat sejagat dan dunia menjadi satu perkampungan yang besar. Janganlah menganggap mendapat ijazah Islam dari universiti Barat dianggap belajar daripada orientalis. Fatwa-fatwa fikah juga bukan semestinya sah hanya jika dikeluarkan oleh ulama dari Arab. Saya meminjam huraian oleh Buya Hamka dalam Tafsir al Azhar ketika membahas ijtihad. Antaranya Buya Hamka menjelaskan sosio budaya dan masa telah melatari fatwa. Misalnya, ulama Arab yang tidak mengetahui sawah padi di Nusantara lebih cenderung mengharamkan belut yang dilihatnya seperti ular, tetapi tidak pada ulama Nusantara yang saban hari bergelumang dengan hasil sawah.

Erti kepada wacana ini ialah ilmu adalah pelbagai dan melakukan dialog merupakan pertembungan pendapat yang sihat dalam usaha memahami dunia yang kepelbagaian. Keengganan membuka minda untuk melihat ilmu di luar kandangnya akan menjadikan seseorang atau pihak berkenaan dikurung sindrom syok sendiri. Dirinya sahaja yang betul dan semua di luar dari kandangnya salah dan tolol. Inilah kemandulan dan malapetaka jika kaedah sepihak dianut oleh banyak manusia.

Khamis, Mac 27, 2008

PENDEMOKRASIAN ilmu

SEBELUMNYA saya telah menyebut mengenai tanda keruntuhan politik demokrasi alafeudal. Setelah itu saya menyatakan akan sampai ketikanya pegangan feudal agama juga akan bergegar. Malah bunga-bunga keluh kesah aliran feudal agama sedang dirasai di mana-mana. Kepada yang membutakan mata dan minda daripada sejarah, mereka dalam rangka syok sendiri. Pemikiran mereka umpama pembina dan pengendali kapal mewah Titanic. Mereka penuh kepercayaan bahawa kapal mewah itu tidak akan pecah dan tenggelam biar apa cabarannya. Pembesar feudal agama juga dalam syok sendiri yang menganggap tembok besarnya tidak akan bergegar biarpun para penganut kian terbuka dan berminda demokrat.
Kekebalan feudal agama sudah dipecahkan dan pemikiran rasional yang terbuka sudah menerobosi segala ruang. Jika langit terbuka untuk segala ilmu merangkumi ekonomi, politik dan sosial, apakah yang menghalang masyarakat tua dan muda daripada membuka khazanah ilmu agama yang selama ini disimpan rapi. Dahulu para agamawan bisa-bisa saja mengenakan fatwa supaya jangan belajar agama dengan membaca, kini jika mereka berkata demikian itulah bahan ketawa masyarakat. Orang sedang berbicara bagaimana kuasa ilmu ada pada mata dan minda yang membaca, si lebai bercakap mengenai jangan membaca!

Apa lagi kata si agamawan feudal mengenai amal-amal tradisi yang sudah diislamkan berkurun-kurun. Hari ini ada antara mereka yang melopong apabila sudah ada insan yang berani membedakan antara tuntutan adat dan agama. Lebih malang kepada si feudalis apabila generasi intelektual sudah berjaya melepaskan daripada ikatan beku berkurun, akhirnya mereka memilih jalan fitrah: Alquran dan sunah. Dahulu, beratus tahun masyarakat dibenarkan membaca alquran dan sunah, tetapi difatwakan agar menghadap agamawan kerana masalah bahasa. Hari ini dengan kemajuan intelektual dan teknologi, alquran dan sunah serta tafsirannya dapat diakses di mana-mana. Maka sedang bermulalah pendemokrasian ilmu agama di kalangan generasi bersifat intelektual. Generasi intelektual bukan semestinya berdisiplin dalam ‘agama’ malah merupakan ahli-ahli sains, teknokrat, pentadbir, ekonomis dan aktivis sosial.

Pemikiran kritis generasi intelektual bukan mahu mencabar tradisi alam feudal agama, tetapi semua yang sedang berlaku adalah fitrah kemanusiaan. Kebekuan dalam kongkongan bukan fitrah, tetapi keterbukaan dan dialog adalah fitrah sosial. Wacana ilmu dapat disepikan daripada muncul dalam akhbar dan majalah, tetapi tidak di alam siber. Malah dengan keterbukaan minda masyarakat, informasi dari alam siber lebih kukuh dan bersifat ilmiah kerana dasar dan ruang terbuka dalam membicarakan pelbagai hal.

Jangkaan pakar, lima tahun akan datang (tahun 2013) zaman maklumat sudah terlalu jauh berubah daripada yang sedang kita rasai sekarang. Indikatornya ialah iklan akan berpindah ke alam siber sepenuhnya lima tahun dari sekarang. Ini bermakna, masyarakat akan lebih menghadap maklumat di alam siber berbanding secara fizikal di akhbar, TV dan majalah. Apa akan jadi dengan tembok feudal agama yang selama ini diperkukuh dengan pelbagai fatwa. Apa akan jadi dengan agamawan yang masih mempertahankan kaedah tradisi ratusan tahun, sedangkan pelbagai fakta dan hujah diperdebatkan secara terbuka. Kalau sesiapa antara para agamawan masih lesu dan bergayut kepada fatwa lama dengan harapan generasi intelektual akan terus menyembah mereka, akan berulanglah sejarah golongan paderi di Eropah disudutkan. Tidakkah kita sedang berfikir kepantasan maklumat dan perubahan minda manusia sejagat?

Rabu, Mac 26, 2008

FOTO seribu makna

Bakar panji-panji negara kerana amarah. Ini bukan budaya Melayu kita.


Kerana apa sehingga perkataan 'natang' atau 'binatang' digunakan untuk menggambarkan protes? Adakah sudah hilang kewarasan dalam menyampaikan mesej? Penghinaan sebegitu besar kepada institusi yang sangat dihormati bukan budaya Melayu kita.
Hayatilah Rukun Negara:
Kepercayaan kepada tuhan
Kesetiaan kepada raja dan negara
Keluhuran perlembagaan
Kedaulatan undang-undang
Kesopanan dan kesusilaan



Selasa, Mac 25, 2008

APA lagi wahai orang politik?

APA lagi wahai orang politik? Ini pertanyaan daripada rakyat terbanyak di bawahan. Sepanjang pilihan raya rakyat sudah diajak menentukan parti atau calon mana yang hendak diundi. Banyak sudah tenaga, fikiran dan wang ringgit dicurahkan untuk menjayakan PRU12. Entah berapa banyak modal rakyat biasa turut dihanguskan dalam pilihan raya selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri menggunakan berjuta-juta ringgit.
Sekarang masanya rakyat mahu ketenangan, kesantunan dan keharmonian. Tidak ada huru-hara daripada rakyat dan semua menerima menang dan kalah dengan biasa saja. Rakyat sedang memerhati dan menilai apa yang sedang dan akan dibuat oleh pihak-pihak yang menang. Setakat ini cukuplah, janganlah menajak rakyat berpolemik dalam politik yang punya seribu penafsiran.

Mengapa jawatan MB Terengganu menjadi isu lagi. Barisan Nasional sudah menang di sana dan sesiapa pun yang menjadi MB bukanlah menjadi masalah dan isu kepada rakyat banyak. Benar istana ada hak melantik sesiapa menjadi MB, dan istana sudah melaksanakan tugasnya. MB Terengganu bukanlah orang lain, bukanlah daripada parti bukan BN. Datuk Ahmad adalah anggota BN, orang Umno yang sudah berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Sepatutnya mana-mana pihak menyokong saja Datuk Ahmad sebagai MB, habis cerita. MB daripada BN akan melantik Exco-exconya daripada BN juga. Yang memerintah Terengganu parti BN juga, bukan selain itu dan ini sudah mencapai objektif BN semasa PRU12 yang lalu. BN akan berkuasa sehingga PRU13 kelak yang mungkin tahun 2012. Lama lagi.

Datuk Idris? Tiada siapa menafikan sumbangan kepada BN dan kerajaan Terengganu. Sepatutnya orang politik bersedia untuk tiba-tiba naik berkuasa dan begitu juga sebaliknya. Datuk Haji Hadi juga pernah menjadi MB selama empat tahun. Itulah hakikat apabila Pas kalah maka Presiden Pas itu pun sekadar menjadi ahli biasa di DUN. Datuk Idris pun orang politik, maka dia harus bersedia dan pasrah, mungkin benar rezekinya menjadi MB setakat itu saja.

Baru saja politik negara digegar dengan suara rakyat mahukan perubahan dan mengajar mereka yang tidak perduli suara rakyat bawahan. Kini hanya kerana pertukaran peribadi ke jawatan MB sudah meleret-leret entah ke mana. Rakyat mahu bekerja di laut, di sawah, di kilang dan di mana-mana. Rakyat mahu mendengar apa cerita pelaksanaan janji lima tahun akan datang. Perbalahan siapa menjadi MB bukan termasuk janji kemeriahan politik setelah tamat PRU12.

Semua orang politik yang menang sebenarnya diperhatikan dari segala sudut oleh rakyat. Episod di Terengganu juga akan dinilai oleh rakyat satu negara, bukan orang Terengganu saja. Berpada-padalah dan waspadalah aduhai bapa-bapaku orang politik. Orang Melayu mahukan keamanan di Tanah Melayu ini, mahukan kedamaian dan keselamatan. Cukuplah itu, cukuplah…. Kalian sudah dewasa dan patut menjadi contoh kepada yang masih muda. Berbalah ini, adakah mahu diwariskan kepada generasi seterusnya?

Isnin, Mac 24, 2008

KE MANA feudalisme agama?

MENTERI Penerangan yang baru memulakan langkah dengan mengiktiraf peranan penulis blog dalam membina pendangan umum negara. Ini adalah hakikat apabila kerajaan sendiri mengalakkan rakyat meneroka teknologi maklumat (ICT). Malah banyak pegawai kerajaan dihantar ke lembah silikon di Bangalore India untuk menimba pengalaman bagaimana ICT dikendalikan dalam pembangunan masa depan India.
Seperti catatan sebelum ini, asalnya sekitar pertengahan abad ke-15 negara-negara Eropah pemandang sepi dengan peranan mesin cetak. Bagi golongan pemerintah dan elit yang establish waktu itu, kebanjiran buku dan majalah sehingga ke kaki lima tidak akan mengubah status quo yang selama ini dipegang. Hasilnya apa? Pembacaan meluas golongan muda telah menyebabkan munculnya zaman renaissance sehingga membuka buku baru bagi sejarah Eropah. Bermulalah status quo dilanggar dan berlakulah perdebatan antara yang kuno dan idea-idea baru. Siapa yang kalah? Yang kalah ialah golongan jumud yang mempertahankan status quo tanpa ilmu, yang bergantung semata-mata kepada tradisi dan kebanggaan feudal zaman silam.

Maka kalau masyarakat di negara ini bersikap seperti golongan establish Eropah, yang membutakan mata dan memekakkan telinga dengan perkembangan informasi yang sangat lancer, jadilah tsunami dalam banyak hal. Sukar untuk dinafikan bahawa perubahan paradigma masyarakat muda dan di kota adalah hasil didikan langit terbuka. Kepada golongan ini norma-norma lama sedang dalam penilaian dan diadili. Ya, status quo politik negara sedang dalam perubahan hasil pemikiran langit terbuka.

Apa lagi yang akan dilanda tsunami selepas ini? Jawabnya pemikiran agama yang selama ini kukuh membuat tembok dengan pelbagai institusi, sedang dilanda kecurigaan terhadap gerakan pemikiran tajdid global. Kalau tidak kerana keresahan dan mula tercabar status quonya, tidak perlu ada kumpulan-kumpulan berseminar dan kemudian membuat resolusi yang bersifat enemies terhadap golongan yang membawa idea baru. Blog ini juga tidak terkecuali daripada cuba diacah-acah oleh golongan yang mula kepanasan.

Apa pilihannya? Semua pihak perlu berada di medan sebenar sebagaimana Menteri Penerangan kita. Kalau kerajaan masih dalam peti sejuk, kerajaan akan menjadi bahan tawa. Golongan agamawan dan tradisi pergerakan mereka juga mesti keluar daripada kepompong status quo, bersama-sama meneroka arus dan wajib belajar mendengar dan meneliti setiap idea dan hujah. Tamatlah sudah zaman mengangguk-angguk kepala sahaja pada setiap sesi pembelajaran. Ini bukan zaman feudal agama yang mengkultuskan peribadi para imam dan kiyai sebagai manusia terbaik di sisi tuhan. Orang sudah pada tahu dan sadar bahawa teori feudal dalam beragama adalah teori karut dan hanya membodohkan warga yang tulus beragama.

Kaum intelektual dan pembawa panji-panji tajdid, silakan terus berjuang kerana pemikiran umah sudah terbuka dan mahu dilayan secara demokrasi, bukan feudal seperti zaman Maulana Shah Jahan di Kesultanan Melayu Melaka.

Ahad, Mac 23, 2008

IQRA' bacalah, kembaralah...

WAHYU pertama Iqra, apa lagi kalau bukan dinamakan anjuran membaca kepada umah. Membaca sangat berkait dengan keilmuan. Maka membaca ertinya menambah ilmu. Cara menambah ilmu bukan sahaja membaca secara harfiah, malah berterusan kepada membuat penyelidikan, perbincangan, perdebatan dan penulisan. Namun semua itu berasas daripada membaca. Tanpa ada budaya pembacaan yang kuat, seseorang akan terkontang-kanting dalam pergulatan ilmu yang pelbagai.

Kalau tidak membaca, ertinya tiada asas kepada penerokaan ilmu. Tahu membaca tetapi tidak mahu menjadikan aktiviti itu sebagai budaya hidup, bererti berundur ke belakang dan duduk bersama kumpulan manusia buta huruf. Orang malas membaca dan buta huruf memang masih boleh hidup dan menikmati kepelbagaian, tetapi jelas membentuk jurang dengan manusia yang kaki baca. Orang malas membaca hanya menghafal simbol-simbol penting supaya ada kelangsungan hidup, itu saja.
Di mana-mana pun apabila insan sedang belajar, gesaannya ialah kuatkan membaca. Belajar atau menuntut ilmu memang perlukan guru sebagai panduan, tetapi guru bukanlah sumber muktamad dalam pencarian ilmu. Tidak ada satu manusia pun yang diakui sebagai satu enslikopedia hidup. Malah seorang penulis sebuah buku juga tidak dapat menuturkan semula semua perkataan dan baris ayat daripada buku yang dikarangnya. Akhirnya dia juga kembali membaca hasil karyanya sendiri. Maka guru juga tidak terkecuali daripada memberi galakan kepada semua anak muridnya agar memiliki buku atau kitab-kitab tertentu untuk dijadikan pembacaan, dijadikan rujukan dalam perguruannya anak-anak muridnya.

Apa gunanya ilmuan atau ulama menulis buku kalau bukan untuk dibaca oleh orang lain. Bayangkan banyaknya buku ditulis pada zaman kegemilangan tamadun Islam di Baghdad sebelum kejatuhannya. Umah menangis dan kesal apabila membaca catatan sejarah air sungai Furat menjadi hitam kerana tinta pada kitab-kitab yang dihumban ke sungai oleh tentera-tentera buta huruf Monggol tahun 1258 masehi. Bayangkan berapa ribu kitab, sumber rujukan, punca ilmu yang tidak ada pendua itu lenyap begitu saja. Kepada kita di Nusantara, terbakarnya kapal The Fame pada zaman British juga seperti berulangnya kitab-kitab dihumban ke sungai Furat. The Fame yang sarat dengan buku atau kitab dari seluruh Nusantara konon untuk di bawa ke Eropah, terbakar dan tenggelam di Selat Melaka.

Penciptaan mesin cetak di Eropah kurun ke-15 asalnya dianggap sebagai perkara kecil. Apabila beribu-ribu buku dan Bible dicetak dan dibaca oleh banyak manusia, maka renaissance muncul dan mencabar peradaban semasa. Apa itu? Semuanya kerana manusia yang dahulunya tertimbus dalam kebodohan telah terbuka mindanya kerana pembacaan yang pelbagai. Salut untuk Gutternberg yang mencipta mesin cetak itu kerana telah menjadikan berjuta-juta manusia secara mudah mendapat ilmu. Kesannya memang bukan kepalang, agama Kristian terbelah dua: Katholik dan Protesten. Yang lain, bangsa-bangsa di Eropah daripada tidur saja dalam dunia bodoh akhirnya bingkas dengan keilmuan dan menakluk dunia.

Di celah-celah kerancakan budaya keilmuan yang berasas kepada pembacaan ini, ada manusia yang masih berfikiran zaman bahari. Segelintir manusia yang mula kehilangan pengaruh kerana kuatnya manusia membaca mula memberi ancaman terhadap kekuatan hasil pembacaan. Di balik mereka mengakui perlunya membaca, para pembaca diancam akan meneroka dunia sesat dan kekalutan apabila ‘mencari ilmu tanpa berguru’. Pada zaman maklumat di hujung jari, golongan kecil ini masih menggunakan satu-satunya kaedah belajar menghadap guru vis-à-vis. Sebuah kitab dibaca di hadapan guru dan diterangkan satu persatu seperti kita sedang mengenal alif ba ta. Tanpa belajar secara vis-a-vis ini ilmu yang dimiliki bagai tidak diterima! Patutlah ada kelompok hasil pembelajaran ini meneruskan dunia jumud dan syok sendiri tanpa sebab.

Tulisan ini memang menyahut dan menyambung kempen supaya manusia menjadikan membaca buku sebagai budaya penting manusia bertamadun. Belajar di kolej atau universiti setelah menempuhi tiga atau empat tahun bukan berakhirnya proses pengumpulan ilmu, tetapi hanya sebagian daripada penerokaan ilmu yang melaut. Sesiapa yang berbangga dengan sijil, diploma dan ijazahnya saja akan menjadi usang dan buta huruf juga pada masa hadapan. Pemikiran wajib diasah, sentiasa dibangunkan dengan kritis dan kreatif supaya sesuai dengan kehendak semasa.

Benar orang yang berilmu tidak semestinya bijak, tetapi kebijakan itu tidak terserlah jika tidak berasaskan ilmu. Mematikan diri tidak mahu menambah pengetahuan semasa hanya meletakkan seseorang di jurang kebekuan. Pada saat dunia sains dan teknologi berkembang pantas ada yang tidak tahu untuk apa perkembangan teknologi. Sekarang perang maklumat berlaku di mana-mana. Perhatikan saja dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang terakhir. Masyarakat kota atau wilayah berkota mempunyai penduduk yang lebih bermaklumat telah sepakat memberi satu mesej paling jelas tentang bentuk pentadbiran yang menepati standard kecemerlangan. Di balik itu, masyarakat desa yang masih terpinggir daripada arus maklumat, meneruskan tradisi penerimaan standard pentadbiran alafeudalisme.

Sebagai rumusan, pembacaan sebagai penerimaan maklumat akan terus berkembang dan tidak mampu dihalang lagi. Sesiapapun akhirnya mesti menerima pembacaan daripada pelbagai sumber akan membentuk wacana ilmiah yang pelbagai. Baik semua pihak mengakui dan meraikan kerancakan membaca daripada pelbagai sumber. Mengekang dan mengugut proses pembacaan hanya akan ditertawakan oleh kanak-kanak!

EMEL 11: Semayam lagi..bosan.

SAYA hanya hendak menjawab yang paling asas dalam emel antisalafi. Itupun setelah mengenalpasti betapa kelirunya dia dalam memahami wahyu dan pewahyuan. Antisalafi tidak akan faham apa yang saya tulis kerana memang dia bukan jenis yang hendak faham. Tulisan ini untuk menerangkan bagaimana kebodohan akan tersebar dan cuba dipaksakan kepada masyarakat. Maka saya rasa terpanggil untuk menangkis kerja-kerja yang menyusahkan umah dalam memahami agama.

Setelah semua hujah saya tidak sedikitpun mampu dijawab akhirnya dia mencabar saya memberi dalil atau bukti firman Allah yang menyebut “Allah bersemayam di Arasy”. Pembaca kena faham kehendak antisalafi ini. Maksud dia ialah beri bukti yang mutlak (bukan bermaksud) “Allah bersemayam di Arasy”. Saya istighfar dahulu sebab tidak terfikir ke tahap itu dia mencari helah dalam usaha mendakwa saya salah. Memang tidak ada sebaris pun ayat sebegitu dalam alquran sebab semua ayat alquran dalam bahasa Arab sedangkan “Allah bersemayam di Arasy” adalah terjemahan dalam bahasa Melayu. Saya minta maaf kerana hendak menulis ayat Arab dalam tulisan rumi. Antisalafi seolah-olah menuduh saya membaca ayat 4 surah as-Sajdah seperti ini: “Allaahul lazii khalaqas samaawaati wal ardhi wamaa baina humaa fii sittati ayyamin tsummas semayam alal arsy.”

Antisalafi memarahi saya pandai-pandai menukar kalimah astawa kepada semayam. Seolah-olahnya saya membaca alquran seperti yang saya catat. Lucu benar! Kamus Dewan memang memberi erti ‘semayam’ sebagai ‘duduk’. Namun budaya Melayu memberi hak yang berbeda kepada kata ‘semayam’ dan ‘duduk’.

Kita orang Nusantara terpaksa membuat terjemahan alquran daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Semua kalimah Arab yang mempunyai erti dalam bahasa Melayu mesti diterjemah ke bahasa Melayu supaya alquran yang difahami oleh bangsa Arab dapat difahami bersama oleh bangsa Melayu. Mana-mana perkataan Arab yang tidak ada dalam istilah Melayu akan terus dikekalkan dan diterima sebagai istilah pinjaman dalam Bahasa Melayu.

Kembali kepada ayat 4 surah as-Sajdah; Tsummas tawaa alal Arsy, Kalimah tsumma (kemudian) astawa (semayam) ala (atas) Arsy (Arsy) juga. Kalau diterjemah secara harfiah menjadi ‘kemudian bersemayam atas Arasy. Terjemahan permulaan ayat berkenaan ialah “Allah yang menciptakan langit dan bumi, serta antara kedua-duanya, kemudian Dia bersemayam di Arasy". Terjemahan ini sudah dijadikan terjemahan sejadi. Terjemahaan sejadi inilah yang menjadikan terjemahan alquran benar-benar hidup dalam kalangan bangsa Melayu sehingga dirasakan seperti Allah berfirman itu dalam Bahasa Melayu, sebab alquran telah dibumikan di Nusantara. Insya Allah saya akan menulis apakah erti membumikan alquran.

Semua kitab terjemahan alquran bahasa Melayu mencatat semayam sebagai ganti astawa / istiwa. Perkataan ‘semayam’ merupakan semulia-mulia perkataan untuk dipadankan dengan kalimah astawa. Penterjemahan ‘astawa’ kepada ‘semayam’ ini sebagai usaha memberi kefahaman kepada pembaca Melayu. Namun semua muslim sudah diikat dengan ayat 11 surah Syura dan ayat 4 surah al-Ikhlas yang mengatakan ‘Allah tidak sebanding atau setara dengan apa-apa’, maka membaca terjemahan ini: ‘Allah bersemayam di Arasy’ tidak langsung membayangkan Allah duduk seperti seorang raja di singgahsana. Kita orang Melayu seperti ulama salaf telah sedia maklum erti astawa / semayam (dengan kebesaraan Allah yang tersendiri). Kalau hal ini masih didebatkan, itu terpulanglah.

Perkara ini sudah beres sejak ratusan tahun lalu, tidak berbangkit pun. Cuma apabila ada orang macam antisalafi belajar di Jordan dan mengkaji akidah manhaj Muktazilah, bertemulah dengan frasa ayat “Allah wujud tanpa bertempat” maka bermulalah dikatakan orang Melayu menukar kalimah ‘astawa’ dengan ‘semayam’ yang ertinya duduk. Kepada golongan ini duduk bererti Allah duduk seperti manusia. Membayangkan Allah seperti manusia sudah menyamai kepercayaan bangsa Yahudi. Yahudi kafir maka siapa yang berkata Allah semayam (duduk) di Arasy, kafirlah seperti Yahudi itu. Pembaca boleh memeriksa semula contoh emel dia yang lepas-lepas.

Orang yang membayangan Allah duduk seperti manusia memang dia ‘mujasimah’ atau yang membayangkan Allah berjisim seperti manusia. Namun pemahaman akidah kita dari kecil pun tidak pernah diajar oleh ibu bapa atau guru-guru bahawa Allah dibayangkan seperti raja yang duduk di singgah sana. Guru dan ibu bapa secara mudah menerangkan ‘Allah tidak sama seperti apa yang dibayangkan oleh otak kita’. Ini menyamai prinsip ayat 11 surah syura dan ayat 4 surah al-Ikhlas.

Kadang saya seperti menyesal menulis hal ini kerana hanya pengulangan, tetapi mungkin ini akan menambah maklumat kepada pembaca lain. Sebarang kritikan, mestilah berdasarkan mana-mana tulisan saya yang tertera bukan andaian bahawa saya telah berkata dan menulis sesuatu sedangkan saya tidak terlibat langsung dengan wacana itu. Pembetulan terhadap tulisan ini amat saya hargai.

Wa.

EMEL 10: Ustaz pun kaki buli

Ini emel antisalafi yang terbaru.



Semoga Allah membuka hati hamba-hambanya untuk menerima kebenaran.



Nak tambah sikit....Ulama Salaf meletakkan makna Istawa yang layak bagi Allah.


Saya cabar awak. bawakan satu je cukup, kata-kata seorang ulama Salaf yang kata Allah Jalasa atau Julus, seperti yg didakwa oleh kamu wahai mubin.Kenapa pandai-pandai terjemah istiwa dengan bersemayam haaaaaa?? Ada tau bahasa arab ka?Ke ustaz ni lebih pandai dari ulama salaf...?? Ulama Salaf tak ada sebut pun Allah 'Jalasa' atau 'Julus'(Duduk atau Bersemayam).



Pandai-pandai je tokok tambah dan tukar.SAYA NAK KAMU BAWA KAN DALIL DARI FIRMAN ALLAH, SABDA NABI, KATA-KATA SAHABAT DAN KATA-KATA ULAMA SALAF YANG MENGATAKAN BAHAWA ALLAH 'JALASA' ATAU 'JULUS' ATAU 'JALSAH'(DUDUK/BERSEMAYAM)!!!SEPERTI YANG KAMU DAKWA.

Saya dah bagi dalil kesemuanya bahawa Allah tidak duduk/bersemayam dalam artikel-artikel yang dihantar.Tengok tak kamus dewan dll.apakah makna bersemayam tu???Haiya, jangan la kelirukan org ramai makna istiwa ialah bersemayam..........Ada belajar bahasa arab kaaaaaaaaaaaaaaaaa???Ada belajar aqidah at-Tohawiyah yang merupakan ulama salaf tu?Kami berpegang teguh dengan aqidah nabi, sahabat, salaf, khalaf dan semua aqidah ulama.Bukan aqidah Wahabi dan Ibn Taimiyah yang sesat yang kononnya mengaku mengikut salaf, tapi menentang aqidah dan fahaman ulama salaf



Komen saya ialah.

Antisalafi yang berpangkalan di Jabatan Mufti ini seorang pembuli siber. Oleh itu apabila dia sudah tidak terdaya membuli kerana tak tahu hujah dia akan membuli dari sudut lain. Sebab itu dia mempersoalkan pengetahuan saya mengenai Bahasa Arab dan Tohawiah. Dia nak asak saya bahawa saya tolol dalam dua hal itu. Dengan itu saya dianggap pesalah. Itu rukun pembuli.


Artikel atau kertas kerja? Dulu semasa guna emel ahbhma@yahoo.com ada dia hantar mengenai sifat 20, lepas itu adalah tambahan dua tiga baris Allah wujud tanpa bertempat. Dia tambah lagilah salafi sesat dan kafir. Kalau dia kata itu kertas kerja ilmiah dia, itu sajalah. Ada yang terbaru dalam emel kata dia hantar kertas kerja, auta seorang bergelar ustaz. Berkali-kali saya tekan attachments, tidak ada apa-apa pun. Ingat, ini juga salah satu rukun kaki buli: Pembohong.


Sebenarnya saya langsung tidak percaya antisalafi bergelar al Fadhil Ustaz ini mampu menulis secara ilmiah. Melihat gaya penulisan dalam emelnya saja, saya sudah mengagak pola pemikirannya yang kacau bilau. Cara pemilihan font tulisan dan menyusun perkataan untuk menyatakan mesej, ini menyamai hasil kerja budak sekolah rendah. Periksa semula semua emel yang saya paparkan di sini. Sebab itulah kalau saya membalas emelnya supaya terangkan lebih mendalam sesuatu perkara, dia tak membalasnya. Dia memang pembuli yang kering kontang. Kalau selama ini kita dengar pembuli ialah budak-budak nakal tak ada pendidikan agama, antisalafi ini ialah pembuli alaf baru yang bergelar al Fadhil Ustaz!


Jawaban mengenai kalimah astawa atau semayam dalam posting selepas ini.

Sabtu, Mac 22, 2008

EMEL 9: Terbuka, nilai sendiri.

Saya paparkan emel saya kepada antisalafi dan jawabannya tanpa edit. Para pembaca boleh membuat nilaian sendiri.

From: Nurulmubin Siraj mubinsiraj@yahoo.com
To: antisalafi mileniam74@yahoo.com
Sent: Thursday, March 20, 2008 11:07:55 AM
Subject: kenangan lalu...

Salam Yang Mulia al Fadhil Ahmad Hafiz al Baqaniy. Pertamanya saya minta maaf sebab emel ini bukan balasan khas daripada emel awak. Tapi saya hanya memenuhi kehendak awak yang beria-ia sangat nak bincang bab akidah.

Saya bukan anti kerja awak mengajar akidah. Yang saya anti dan benci ialah kerja awak mengkafirkan orang Islam. Awak dengan mudah menuduh entah siapa-siapa sebagai sesat dan kafir. Ini semua kerja meresahkan umah. Kalau awak khususkan tuduhan misalnya kepada Mat Jonid atau Haji Sentor dan 10 orang pengikutnya, itu lebih baik.

Saya benci cara awak mendakwah orang bukan tidak bersebab. Pada bulan Disember 2006 dan awal tahun 2007, awak ambil mualaf yang sebelum ini saya ajar mengenai Islam. Dia bersih dan ikhlas mahu belajar Islam, tapi awak ajar dia mengkafirkan orang. Malangnya awak langsung tak bekalkan ilmu. Ego awak, tak mengaku semua ini.

Tarikh 21 Disember 2006, saya paksa dia datang ke rumah saya. Saya tak minta pun dia cakap apa-apa, mulutnya sendiri cakap ada ulama kafirkan orang, salafi sesat dan kafir dan Mufti Perlis kafir. Saya hanya membalas supaya dia buktikan cakap-cakapnya. Apa jadi? Senyap dan akhirnya menangis. Opps tidak cukup sekadar itu. Saya tidak lupa kata-katanya, “Kalau macam ini sangat susah jadi orang Islam.” Kalau awak ada akal tahulah awak bahawa waktu itu dia menyesal masuk Islam. Baginya masuk Islam sangat mengelirukan, menyusahkan! Hei Ahmad Hafiz al Baqaniy, apa awak tahu semua ini. Ini semua kerja awaklah.

Siapa yang tenangkan fikirannya yang kacau? Saya, bukan awak! Saya yang memujuk dia supaya bersabar. Saya kata ini cubaan dan hasutan setan supaya kembali kufur. Selepas saya terangkan apa yang berlaklu dia tenang, normal. Kemudian saya tulis surat kepada awak supaya jangan ajarkan hal yang mengelirukan pemikiran sebab dia baru masuk Islam. Ada awak perduli surat saya. Awak anggap saya macam bodoh saja. Apabila budak itu kembali ke Dungun, awak ajar semula bab mengkafirkan orang. Buat perangai lama. Siapa yang ajar dia begitu kalau bukan awak. Tengok SMS dia kepada rakannya mengenai saya setelah awak hasut:

23.02.07 jam 11.00 pm
Mei2 x tau ape2..Ana tau..Mike ingat dia dpt ilmu semuanya btl. Dlm hadis riwayat Imam muslim dan imam bukhari..Rasulullah bersabda belajar ilmu dgn cr bertalaqi bkn belajar dgn buku..Dia pn nak degil ana pn xtau nk buat ape. Semua perkara ni rumit dan anti xlh fhm krn ana berselisih fhm dgn dia. Walaupn ana ialah mualaf ana tau pihak yg mana betul. Akhir zaman, dlm hadis nabi dh bersabda, byk penyelewengan dlm agama… Ada org yg munafik iman cuba menperdayakan org Islam..Ana xtipu..Klu mei2 nk berpihak dgn mike, ana xkisah. Lambat laun mei2 akan tau siapa yg btl.
–peace no war-


Saya terjemah yang biru itu. “Adik tak tau apa-apa. Mubin ingat dia dapat ilmu semuanya betul.” dan “Dia (Mubin) pun nak degil dengan ana pun tidak tahu nak buat apa”.

Inilah hasil belajar di Dungun dengan awak. Awak boleh kata saya bukan ustaz dan bodoh akidah, tak layak mengajar seorang mualaf. Tapi dengan bukti ini terus terang saya kata awaklah yang lebih bodoh tak tahu apa nak diajarkan kepada saudara baru. Asal saja jumpa orang nak belajar Islam, awak masukkan fahaman awak yang suka kafirkan orang. Bagi awak, kalau seseorang sudah boleh kafirkan salafi kira jelaslah akidahnya. Belajar akidah cara tolol!

Tak jelas lagi beza antara saya dengan awak? Saya suka perdamaian, tak kafirkan orang, ngajar orang dengan berhikmah, beri ilmu mengikut kemampuan. Sebaliknya awak suka tuduh sesat dan kafir salafi, ngajar orang ikut suka awak saja, tidak perduli apa kemampuan orang itu pun.

Saya syukur sebab surat saya kepada pelajar ini kemudian menyebabkan dia sedar, bertaubat tidak menuduh siapa sesat dan kafir. Sampai sekarang saya tak salahkan dia ke Dungun, tak salahkan apa manhaj yang dia pegang. Sekarang pun dia berhubungan baik dengan saya sekeluarga. Awak tak perlu rosakkan dia lagi, dua kali sudah saya neutralkan sikapnya supaya berlapang dada. Ini semua hasil kerja awak. (Siapa yang tegakkan benang basah?).

Sekarang isunya ialah awak yang masih suka menyebarkan tuduhan sesat dan kafir. Awak tidak berubah pun. Saya yakin kalau saya hantar seorang lagi mualaf kepada awak, dia akan menjadi seperti yang pertama itu.

Ustaz apa awak ni? Cara awak macam pengikut Abdullah orang Habsyah di Lubnan itu. Awak tak perduli akhlak dan adab. Sepanjang awak menghantar emel kepada saya pun ciri-ciri pelik awak banyak terdedah. Saya lebih banyak memberi penjelasan kepada awak, tapi awak mengubah ke topik lain. Tak tahu nak jawablah tu, tuduh saya dalam bab lain pula. Ini semua kerja orang jahil dalam berdialog. Benda yang saya tak tulis, awak pula kata saya yang buat.

Awak dah masuk perangkap yang awak pasang. Saya ulang dalam emel ini, asalnya awak sengaja nak mengenakan saya. Hantar emel tak ada nama, ugut atas nama Jabatan Agama dan Jabatan Mufti. Itu kerja penakut dan bodoh! Tak sangka orang digelar al Fadhil buat kerja macam itu. Baiklah jadi macam saya, bukan bergelar ustaz lebih berani dan jujur, tahu cara berdialog tak melencong ke topik lain.

Tension ke? Tak perlu tension, ini hanya permainan yang awak mahu! Saja saya buat emel ini supaya awak sedar apa yang awak buat. Kalau terus ego dan bongkak, tak mengaku salah awak, suka hati awaklah. Nak sebut benang basah lagi? Awak lebih tahu erti dosa dan pahala, syurga dan neraka.
Bye….


(Jawaban antisalafi mileniam74@yahoo.com )

Macam ini lah ustaz oi.....

Allah yang memberi hidayah kepada kita untuk terima kebenaran.Kalau tak terima kebenaran, jawablah dengan Allah diakhirat nanti.

Rajin-rajin la lawat laman web kami yang menceritakan banyak tentang kebenaran aqidah dan bahaya Wahabi.Moga terbuka untuk menerimanya.Kalau tak faham tanya jela, jangan segan-segan yerk.......
1-
abu-syafiq.blogspot.com
2-
al-ghari.blogspot.com
3-
jihadwahabi.blogspot.com
4-
bankwahabi.blogspot.com
5-
http://ahlsunnah.over-blog.com/

Dan banyak lagi laman wab yang benar dan sihat. jangan asyik lawat laman web Wahabi yang sesat je.Rajin-rajin la lawat laman web kami ni.Semoga Allah membuka hidayah kita semua.Amin...

SEMOGA BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT DENGAN AQIDAH PARA NABI
Jangan marah sangat.sebab marah tu dari syaitan.

Jumaat, Mac 21, 2008

POTRET Maulidur rasul kita

UNTUK apa meraikan kelahiran Rasulullah yang dikenali sebagai maulidur rasul? Kalau untuk mengenang dan mengingat nama Muhammad s.a.w. sebenarnya dalam solat kita berselawat dan menyebut nama baginda. Ini bermakna setiap kali solat, kita menyebut dan mengingat nama Junjungan Besar Nabi Muhammad. Agaknya kerana sudah kerap menyebut nama nabi dalam solat akhirnya bagai tidak terasa kita berkali-kali membesarkan nama nabi agung ini. Maka ditunggu-tunggu juga tarikh 12 Rabiul Awal untuk meraikan dan membesarkan nama baginda.

Tulisan ini tidak berhasrat membahas sambutan maulidur rasul itu boleh atau tidak, bidah atau tidak. Soal yang wajib diteroka oleh kita semua sebagai umat Muhammad ialah sejauhmana kefahaman kita terhadap ajaran atau sunah yang dibawanya. Memang baginda seorang nabi yang hebat, maka peribadi kita sebagai manusia biasa tidak termampu hendak mengikuti semua sunah baginda. Betul, bukan semua yang dilakukan oleh baginda mampu dilakukan oleh kita, sekalipun yang bergelar pak kiyai atau pak imam. Siapa antara imam-imam kita yang kakinya bengkak kerana berdiri lama solat malam? Ini bermakna, kekuatan baginda berdiri berjam-jam, sujudnya lama sehingga Saydatina Ai’syah menyangka Rasulullah wafat sewaktu sujud, itu bukan suatu yang mesti kita contohi sebagai melengkapkan amalan sunah nabi. Itu dikhususkan kepada baginda sebagai nabi.

Bagaimana prinsip-prinsip amal ibadah nabi? Kita kerap mendengar orang membacakan hadis yang membawa erti solatlah sebagaimana kita melihat nabi solat. Setelah itu adakah kita telah memeriksa semua bacaan dan pergerakan solat kita sepadan dengan solat baginda. Jarang kita didedahkan oleh guru agama kita setiap bacaan dan pergerakan berdasarkan hadis-hadis sahih. Anak-anak kita dikursus solat oleh pihak-pihak berkenaan juga sekadar mewarisi bagaimana kita mewarisi pembelajaran daripada orang tua.

Memang berat, terutama apabila mengetahui baginda Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat berjemaah, sedangkan kebanyakan kita meletakkan solat berjemaah sebagai waktu yang paling tidak berguna dalam hidup. Setelah semua urusan kerja dan keluarga selesai kemudian terdengar azan Isyak, maka barulah ke masjid untuk berjemaah. Kita jarang sangat menyusun jadual kerja dan keluarga yang memasukkan agenda solat berjemaah di masjid.

Bagaimana nabi melayani masyarakat termasuk yang munafik dan bukan Islam? Kita jarang menyoal diri sendiri mengenai dakwah kepada orang bukan Islam, sedangkan nabi meletakkan sasaran kerja utamanya menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Ada yang agamawan ini nampaknya lebih bertungkus lumus berdakwah kepada yang Islam sehingga habis dikorek pemikiran dan pemahaman umah, semata-mata untuk dibuktikan sasaran dakwahnya itu masih Islam atau sudah kafir.

Kalau Rasulullah mengabaikan dakwah kepada bukan Islam, entah berapa juta orang Islam saja hari ini. Kita terlalu mengasingkan diri daripada bukan Islam terutama dalam hal kepercayaan agama. Memang secara umum mereka tidak berminat dengan Islam, namun perilaku muslim terhadap bukan Islam wajib menggambarkan satu gambaran atau imej dakwah kepada mereka. Senyuman, kejujuran dan perilaku yang Islami terhadap mereka adalah dakwah. Jika berkali-kali kita mengucapkan, “semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu” kepada rakan bukan muslim, satu masa dia terpanggil untuk tahu apa sebenarnya yang kita doakan untuknya.

Adakah Rasulullah menghina orang bukan Islam? Tidak, tetapi kita memberi gelaran aneh kepada warga bukan Islam seperti Apek kepada seorang lelaki Cina yang tua. Malah ada kalanya kita mengumpat mereka kerana mereka tidak sebangsa dan tidak seagama dengan kita. Kita rasa megah sebagai muslim dengan membandingkan terhadap mereka yang tidak muslim. Ini antara punca lambatnya kefahaman Islam berkembang di kalangan bukan Islam.

Namun hari ini seronok berarak, berbaju cantik, membawa sepanduk laksana tunjuk perasaan, memaparkan rasa cinta dan kagum terhadap peribadi Rasulullah. Untuk memenuhi agenda maulidur rasul, yang selama ini tidak bertudung kepala, hari inilah bertudung kepala. Tetapi yang lelaki kaki rokok tidak pula berpuasa rokok sebagai menghormati maulidur rasul. Kebanyakan habis di situ, mereka yang tidak perduli solat berjemaah, sekalipun melaungkan cinta nabi, berselawat dengan banyak sekali, masa solat mereka di rumah juga. Ini namanya retorik, dan tidak ada satu bukti besar aktiviti semasa maulidur rasul memberi satu kesan positif sebagai satu titik mula dalam kehidupan dirinya yang muslim.

Merasa cinta dan berguru kepada nabi tidak hanya berakhir pada tanggal akhir bulan maulud. Hal ini sepatutnya satu agenda besar dalam hidup yang tidak kunjung akhir selagi hayat dikandung badan. Marilah meski sedikit waktu untuk kita meneliti sunah nabi dalam mana-mana ibadah, semoga yang kecil ini menjadi satu mercu tanda kecintaan kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. Syukurlah, kerana kita sedar hanya sebagai orang kecil.