foto hisan |
TELAH banyak bencana atau fitnah akibat pemimpin
muslim sesebuah negara dinasihati atau dicerca secara terbuka. Bagi demokrasi
Barat itulah kebebasan bersuara dan hak setiap rakyat berkata-kata mengenai
pemimpinnya. Namun Islam tidak mengajarkan begitu!
Pemimpin muslim sama juga jiran atau kenalan muslim
yang lain, yang perlu dilayan dengan kasih sayang. Jika jiran, kenalan atau
sesiapa juga tidak boleh didedahkan keburukannya, maka begitu jugalah pemimpin
sesebuah negara.
Allah memberikan kaedah bagi orang yang layak untuk
menegur pemerintah. Nabi Musa diarah untuk menegur Firaun dengan lemah lembut,
walhal Firaun telah mendakwa sebagai tuhan dan sangat kejam iaitu membunuh
bayi-bayi lelaki. Antara sifat manusia
untuk menerima pandangan atau nasihat ialah daripada orang yang diterimanya sebagai
‘sahabat’. Maksud ‘sahabat’ ialah yang bicaranya tenang dan tidak mendedahkan
keaiban orang lain. Begitulah yang Allah perintahkan kepada Nabi Musa dan Harun
terhadap Firaun.
Maksud firman Allah dalam al-Quran, “Pergilah
kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui
batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan
kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia ingat atau takut.” (Surah Thaha, 20:
43-44)
Ada satu (salah satunya) hadis yang dapat dijadikan
panduan kepada yang berminat menasihati pemerintah besar seperti Raja atau
Presiden negara. Seorang sahabat Hisyam bin Hakim r.a. telah memarahi seorang
sahabat lain iaitu ‘Iyadh bin Ghanm r.a..
Kisahnya ‘Iyadh telah memukul seorang Gabenor atau pemerintah kerana dia
melihat Gabenor itu melakukan kesalahan. Perbuatan itu dilakukan di depan
khalayak ramai atau terbuka.
Hadis ‘Iyadh bin Ghanm radiallahu ‘anhu: Maksudnya:
Daripada jalan Abdullah bin Ahmad daripada ayahnya (Imam Ahmad) kata beliau
(Abdullah bin Ahmad): telah dikhabarkan kepada kami Abul Mughirah kata beliau:
telah dikhabarkan kepada kami Safwan daripada Syuraih bin ‘Ubaid daripada
Jubair bin Nufair kata beliau: ‘Iyadh bin Ghanm telah memukul Gabenor Dara
(penguasa wilayah Dara) lalu Hisyam bin Hakim r.a. telah memarahi beliau (‘Iyadh)
dengan ucapan yang kasar sehingga
menyebabkan ‘Iyadh pula menjadi marah.
Lalu
setelah beberapa malam datanglah Hisyam kepada ‘Iyadh untuk memohon maaf. ‘Iyadh berkata kepada Hisyam: “Tidakkah kamu
mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling
berat azabnya (di akhirat) ialah orang yang paling berat seksaannya terhadap
manusia yang lain di dunia?”
Maka Hisyam
berkata kepada ‘Iyadh, “Kami telah mendengar apa yang kamu dengar dan kami juga
telah melihat apa yang kamu lihat, namun tidakkah engkau pula mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang hendak menasihati orang yang mempunyai
kekuasaan am (pemerintah) maka janganlah dia lakukan secara terang-terangan
tetapi hendaklah dia bersendiri dengannya (berjumpa empat mata), jika dia (pemerintah)
menerima nasihat itu maka itulah yang dikehendaki, namun jika tidak (diterima
nasihatnya) maka seseorang itu telah melaksanakan tanggungjawabnya”. (Hadis ini dikeluarkan Imam Ahmad dalam
Musnad)
Sebaliknya, jika pemimpin ditegur secara terbuka
sama ada dengan ucapan atau melalui tulisan terbuka, pemimpin telah diaibkan
dan maruahnya jatuh. Kesan daripadanya
ialah masyarakat kurang memberi hormat sedangkan Allah telah memerintahkan
rakyat mentaati pemimpin muslim. Ini bermaksud teguran terbuka itu membuat sebagian rakyat yang jahil melanggar perintah Allah dalam ayat 59 surah an-Nisa.
Wallahu ‘aklam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan