Pengikut

Selasa, Februari 17, 2015

MENGAPA bertakbir di hadapan jenazah?


ANTARA parti politik dan agama, mana yang mahu diutamakan? Tentulah agama.  Parti hanyalah satu persatuan manusia dalam usaha mendapatkan sesuatu.  Ada kes lama. Setelah selesai solat jenazah mereka bertakbir seperti dalam ceramah. Saya ada lokus standi sebab jenazah itu abang saya. Saya menyatakan supaya ahli parti menjawab persoalan bertakbir di hadapan jenazah, adakah itu sunah atau bid’ah?  Saya fikir jawabannya mudah. Jawablah sunah, atau jawablah bid’ah. Habis cerita.

Apabila dijawab meleret-leret, dan tidak pun sampai menentukan statusnya sebagai sunah atau tidak, penjawabnya ada masalah.  Dia menghadapi pertembungan antara kecintaan kepada parti atau agama. Dia berilmu atau faham hal sunah dan bid’ah, dan tahu kedudukan bertakbir di hadapan jenazah.

Dia tahu tidak ada nas atau dalil bahawa Nabi dan para sahabat bertakbir di hadapan jenazah. Dia tahu bahawa urusan kematian adalah urusan agama, dan urusan ini mesti dikembalikan sebagaimana Rasulullah mengajarkannya. Sejak seseorang mati, dia dimandikan, dikafankan, disolati, dikuburkan dan didoakan….., semua urusan agama. Maka janganlah cuba mencelahkan di antaranya dengan kalimah keduniaan seperti ‘hidup parti atau Satu Malaysia!’  Jadi, jika sekumpulan yang baru selesai mensolati jenazah melaungkan ‘Allahu Akbar’ di depan jenazah, itu laungan ritual  ibadah, bukan keduniaan. Sunah atau bid’ah?

Yang menjawab dengan memutar ke sana-sini, tidak lain lebih mencintai parti daripada agama.  Dengan membina ayat yang indah untuk mewajarkan takbir di hadapan jenazah, harap-harap perbuatan sebagian ahli parti yang bertakbir di hadapan jenazah tidak disalahkan.  Itu tujuannya.

Saya akui juga isunya kecil, tetapi kesannya besar terhadap sikap seseorang apabila bertembung antara kepentingan parti atau agama. Kesimpulannya, sebagian orang berparti politik sudah sampai mengutamakan parti daripada kebenaran agama.  Itulah taksub namanya, sekalipun parti disebut parti agama. Hakikatnya taksub kepada parti, bangsa, pemimpin, ideologi dan lain-lain dengan membelakangkan kebenaran Islam (al-Quran dan Sunah) adalah asabiyah jahiliah yang diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya.


Wallahu ‘aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan