Pengikut

Sabtu, Februari 14, 2015

BELASUNGKAWA: TG Nik Aziz ulama dan politikus


BELASUNGKAWA. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah kembali ke rahmatullah pada 13 Februari 2015. Allahummagh fir lahu warhamhu wa’aafihi wa’fu’anhu.  Almarhum seorang agamawan dan politikus tersohor di Malaysia, terutama sejak tahun 1990 apabila parti politik yang disertainya PAS, berjaya memerintah Kelantan.  Almarhum menjadi Menteri Besarnya sejak tahun 1990 sehingga 2013.

Catatan ini merupakan pandangan peribadi saya sebagai orang biasa yang mengikuti pergerakan dan perkembangan beliau dari jauh. Masyarakat menerima dan mengakui beliah adalah ahli agama, dan disepakati berstatus ulama.  Selain perwatakan yang tipikal bagi ulama Melayu, iaitu berserban dan memakai baju panjang, beliau mengajarkan agama di merata tempat khasnya di Kota Bharu. Lama sebelum bergelar Menteri Besar kuliah mingguannya dipenuh khalayak dekat dan jauh.

Setelah menjadi Menteri Besar, beliau masih mempamer imej ulama yang sangat sederhana hidupnya. Beliau tinggal di rumahnya sendiri, tidak mengambil elaun rumah dan memotong sebagian wang gajinya untuk perjuangan yang diyakini. 

Yang menjadikan beliau istimewa ialah apa yang diceramahkan mengenai kehidupan yang sederhana berjaya diamalkan sekalipun beliau boleh mengubah cara hidupnya dengan gaya mewah. Kerna itulah statusnya sebagai ulama diterima kawan dan lawan. Maksudnya, selama ini tidak banyak orang yang sepertinya,banyak  yang akhirnya bermewah juga apabila peluang sudah di depan mata.

Sebagai ulama, buku-bukunya juga banyak di pasaran. Sebagian bukunya itu hasil ceramah yang ditulis semula. Kekaguman terhadap cara hidupnya menyebabkan banyak orang menjadi pengkagumnya.  Foto-fotonya ditampal di banyak tempat khasnya cermin-cermin kereta sebagai tanda mereka menjadi pengikut setia TG Nik Aziz.

Sebagai ahli politik, beliau tidak ada bedanya dengan mana-mana ahli politik lain.  Jika ahli politik lain bermain kata-kata, TG Nik Aziz juga sama.  Misalnya, beliau dengan tegas memberi amaran ‘akan meludah’ orang yang cuba membawa perpaduan antara parti Umno dan Pas.  Ini terjadi selepas Pilihan Raya ke-13 lalu.  Oleh kerna TG Nik Aziz merupakan ahli agama, cara politiknya sangat dikaitkan dengan agama.  Ini merupakan kelebihan orang agama sebagai ahli politik.  Beliau tidak segan membuat membuat dakwaan politik yang berbau agama, “Umno tolak Islam”.  Oleh kerna beliau adalah ulama, maka pengikut setianya menguatkan keyakinan hukum agama bahawa mereka yang menjadi ahli Umno telah menolak hukum-hukum Islam! Maka melawan Umno menjadi satu kewajiban agama atau jihad (?).

Kedudukannya sebagai ulama yang hidup sederhana itulah yang menjadi kekuatan politiknya, dan Pas sangat menumpang nama TG Nik Aziz untuk terus berkuasa di Kelantan dan melebarkan pengaruhnya terhadap Melayu luar Kelantan.  Modalnya ialah pemimpin Pas bersedia menjadikan Malaysia bersih daripada pembaziran dan penyelewengan. Mudah, lihat cara hidup pemimpin agungnnya: Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

TG Nik Aziz juga kuat mempertahankan kedudukan Pas bergabung dengan PKR dan DAP.  Apa saja yang dikatakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasti mendapat sokongan TG Nik Aziz.  Malah satu ketika TG Nik Aziz berselisih pendapat dengan Presiden Pas sendiri berkaitan Kerajaan Perpaduan (Pas dan Umno) yang wujud dalam minda Presiden Pas, Tuan Guru Hadi Awang.

Yang menjadikan kedudukan TG Nik Aziz sebagai ulama begitu diterima ialah kedudukannya sebagai ahli politik Melayu.  Elimen agama tidak bisa dipisahkan daripada tasawur hidup Melayu. Oleh itu apabila TG Nik Aziz berkedudukan tinggi dalam agama iaitu ulama, dan menjawat status tertinggi dalam Pas iaitu Mursyidul Am dan jawatan pentadbiran tertinggi negeri iaitu Menteri Besar, maka TG Nik Aziz sudah menjadi satu institusi.  Tidak dapat dinafikan TG Nik Aziz menjadi sebagian khazanah sejarah bangsa Melayu sebagaimana kedudukan Tunku Abdul Rahman Putra yang berjaya membawa kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957.


Oleh itu wajarlah kematiannya menjadi berita sedih bangsa Melayu di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan