LIHATLAH betapa hebatnya penjajahan Barat terhadap kita sebagai umat Islam bangsa Melayu. Sekalipun kita diberi kemerdekaan, namun pemikiran kita tetap dalam asuhan dan ketetapan yang dikehendaki Barat. Barat yang memberi acuan pemikiran kita wajib mengikut blok, sama ada blok kanan atau kiri. Barat (baca British) yang menetapkan apabila seseorang menyokong blok kanan, maka segala-gala yang datang dari sebelah kanan dikaitkan dengan penyokongnya. Begitulah juga jika seseorang berada atau cenderung terhadap blok kiri, maka segala yang ada di blok kanan sudah menjadi musuhnya. Yang di blok kiri adalah pegangannya.
Tidak ada dalam kamus pemikiran Barat bahawa seorang yang berada dalam blok kanan juga menerima pemikiran sebelah kiri. Itulah yang diajarkan olah Barat sebelum negara mencapai kemerdekaan, dan hari ini banyak antara kita yang menjadikan satu akidah pemikiran.
Jadi apa bedanya dengan konsep berkabilah sebagaimana bangsa Arab zaman jahiliah dahulu. Tidak ada perbedaan kan? Itulah sebabnya konsep pemikiran Barat sebenarnya pemikiran jahiliah.
Menurut kaedah al-Quran dan Sunah, muslim wajib taat kepada pemerintah, sedangkan menurut kerangka pemikiran Barat, menjadi penentang pemerintah diraikan. Oleh kerna sebagian besar negara Islam termasuk Malaysia menerima sistem demokrasi berpilihan raya seperti yang diamalkan di British maka banyak yang meletakkan Islam sebagai salah satu blok pemikiran.
Sama ada dalam demokrasi atau negara teologi, asal saja muslim seseorang terikat dengan wahyu-wahyu Allah dan sunah Nabi s.a.w. Sebab itulah ketaatan muslim kepada pemerintah tetap tidak terlerai sekalipun Barat membuka ruang untuk rakyatnya menjadi pembangkang dan pengkritik yang lantang! Seperti dalam bab hijab, sekalipun demokrasi memberi ruang muslimah untuk membuka hijabnya, adakah para ulama membenarkan mereka membuka hijab atas nama kebebasan demokrasi? Nampaknya tidak! Tetapi nampaknya mereka 'membenarkan' kritikan dan umpat terhadap pemerintah muslim sekalipun asasnya tidak boleh begitu? Mengapa dalam hal aurat muslimah, mereka kekal berpegang ketetapan alquran, dalam bab politik mereka meletakkan ke tepi ayat 59 surah an-Nisa'?
Ketaatan muslim yang beriman kepada pemerintah bukan taat membuta tuli. Taat membuta tuli itu pemikiran Barat atau kabilah Arab jahiliah. Sangat jelas bahawa Islam hanya memberi arahan agar muslim taat dalam perkara makruf.
“Tidak
ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Sang Khalik” (HR. Ahmad,
dishahihkan oleh Syaikh Al-Bany dalam Shahih Al-Jami')
Namun secara dasarnya, muslim wajib mentaati pemerintah. Dan jika ada perintah yang maksiat, tidak ada ketaatan dalam bab berkenaan sahaja. Mudah bicara, tidak ada perkongsian perkara maksiat atau haram sekalipun berada di bawah satu bumbung institusi. Ini barulah dinamakan kemerdekaan bersikap dan pemikiran.
Itulah kaedahnya dalam bermuamalah dengan pemerintah, yang menjadikan pemerintah terus berwibawa dan masyarakat dalam aman. Hari ini masyarakat muslim berkecamuk dan saling salah-menyalah antara satu sama lain disebabkan mewarisi kerangka pemikiran Barat.
Yalah, menggunakan kaedah al-Quran dan sunah dalam pentadbiran dan politik sangat minoriti. Malah sesiapa yang berpegang begitu menjadi bahan sorak!
Begitulah Barat terus menjajah pemikiran umat.
Satu penulisan yang boleh dijadikan bahan untuk renongan dan perbincangan. Saya percaya kita dengan tidak sedar telah lama di jajah dari segi pemikiran dan pandangan
BalasPadam