Pengikut

Selasa, Mac 05, 2013

BERITA dusta memang lazat!


BERAPA banyak berita dusta yang didengar hari ini?  Dan berapa banyak pula berita dusta pada esok hari dan seterusnya?  Hakikatnya berita dusta ada di mana-mana dan penyebarnya juga mungkin saja diri kita sendiri atau orang-orang yang dekat dengan kita. 

Mengapa kita suka mendengar berita dusta?  Sebabnya dalam fikiran kita sudah padat bersarang anggapan buruk terhadap sesuatu.  Maka asal saja ada berita yang ‘tidak enak’ berkenaan hal dia, tentu akal fikiran kita pantas menyambut dengan sangkaan buruk yang panjang mengenainya.  Jika kita tidak bermasalah dengannya, tidak ada anggapan buruk. Maka mudah saja kita menerima berita berkenaan dia menjadi ‘seadanya saja’, tidak sangka buruk lagi!

Ada sebab lain berita dusta menjadi hidangan lazat, iaitu kerja tukang fitnah.  Kepakarannya mengulas dengan rinci sesuatu berita yang masih belum jelas atau tuntas, menjadikan berita itu satu kelazatan deria.  Telah berlaku kepada isteri Rasulullah s.a.w., iaitu ‘Aisyah binti Abu Bakr saat kehilangan kalung dan kemudian beliau tertinggal oleh konvoinya.  Kemudian ‘Aisyah ditemui seorang pemuda iaitu Syafwan, yang membawanya kepada konvoi Rasulullah.  Nah, ini berita!  Isteri muda Rasulullah s.a.w. berjalan dengan lelaki muda (walau ‘Aisyah di atas unta dan Safwan berjalan kaki).

Pada saat Sabah menjadi 'isu berdarah' dengan waris kesultanan Sulu, 
gambar seperti ini akan ditafsir sebagian plot berkenaan, 
walhal hanya andaian yang  tidak atau belum dipastikan 
benar atau salahnya.

Maka gegerlah masyarakat.  Orang yang selama ini beriman kepada Rasulullah s.a.w. pun turut terpaut dengan berita ‘Aisyah, sehingga Allah memberitahu hal sebenar.  Surah an-Nur ayat 11, “Sungguh orang-orang yang membawa berita dusta itu adalah daripada kalangan kamu juga.  Janganlah kamu mengira berita dusta itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik (juga) bagi kamu.  Setiap seorang daripada mereka mendapat balasan dosa yang dikerjakan.  Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyebaran berita dusta itu baginya siksaan yang besar.”

Aeri ayat 12 pula, “Mengapa pada waktu kamu mendengar berita dusta itu lelaki dan perempuan yang beriman tidak BERSANGKA BAIK terhadap diri mereka sendiri dan tidak berkata ‘ini adalah berita dusta’.

Sebenarnya Allah menempelak sebagian hamba-hamba yang beriman waktu itu.  Selama ini mereka sangat bersangka baik kepada Rasulullah dan keluarganya, tetapi pada peristiwa itu sebagian mereka mendengar dan menyebarkan berita dusta yang dibawa oleh si munafik!

Ada satu pengajaran yang berguna dalam kehidupan kita.

Pertama:  Dalam perkara yang jelas mengenai orang yang baik akhlaknya, jika timbul cerita buruk maka berita itu sangat perlu diteliti.  Malah bersangka baik dahulu sangat dituntut.

Kedua:  Pihak musuh (contohnya munafik)  memang telah padat dengan buruk sangkanya.  Oleh itu jika ada kejadian yang ‘aneh’ ini menjadi peluang kepadanya membuat tafsiran yang buruk.  Golongan seperti ini sebenarnya dapat dikenal dengan kebiasaannya, suka membuat tafsiran buruk apa saja untuk mencapai niat jahat kepada orang/pihak yang tidak disukainya.

Inilah pengajaran al-Quran. Jika orang mengatakan kebobrokan masyarakat muslim akibat tidak mengamalkan ajaran al-Quran, maka eloklah sedaya upaya kembali kepada ajarannya.  Kepada yang telah mendakwa bersikap dan memperjuangkan Islam, jauh lebih elok jika dirinya terdahulu menepati ajaran al-Quran.

Apa yang kita mahu?  Jangan menjadi tukang cerita atau tafsir keburukan.  Itu sudah jelas arahan Allah.  Bayangkan berapa banyak kedamaian masyarakat jika 50 peratus orang yang selama ini menjadi penjaja berita dusta, kini menghantikannya kerna beriman dengan al-Quran.

Masalah utama ialah kecenderungan ahli masyarakat yang berpengaruh dalam politik kepartaian.  Politik ini sangat terjebak kepada buruk sangka antara partai dan orang-orang yang tidak disukainya.  Kemudian orang bawah-bawah kerap menjadi penyebarnya.  Malanglah jika orang yang menyebarkan berita dusta termasuk seperti Si Munafik zaman Nabi s.a.w. yang tidak mendapat rahmat keampunan.  Namun beruntunglah jika yang telah terjebak segera bertaubat kemudian mendapat rahmat keampunan Allah.  Seperti maksud firman Allah dalam ayat 14  surah an-Nur, “Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada  kamu semua di dunia dan akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerna pembicaraan dusta itu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan