PERMUSUHAN membawa perbalahan antara dua
pihak. Permusuhan juga telah menimbulkan
pemikiran buruk sangka. Setiap satu
pihak melihat apa yang dilakukan oleh pihak yang dimusuhinya sebagai satu
muslihat buruk atau kerja-kerja baik tetapi bertujuan jahat. Sejarah pada zaman Nabi s.a.w. sudah dirakam
dalam al-Quran sebagai pedoman orang-orang yang beriman kepada wahyu Allah dan
mahu menambil iktibar.
Dalam ayat 150 surah al-Baqarah, Allah
memerintahkan Nabi s.a.w. dan umat Islam (yang waktu itu di Madinah) supaya
memindahkan arah qiblat solat mereka dari menghadap Masjidil Aqsa (Baitul
Maqdis) di Palestin ke arah Kaabah di Makkah.
Oleh kerna permusuhan dan kebencian kaum Arab musyrik Makkah kepada umat
Islam, maka mereka membuat tafsiran buruk atau buruk sangka terhadap peristiwa
ini.
Kata As-Suddi r.a., “Ketika Rasulullah s.a.w. diperintahkan
memindahkan arah qiblat dari Baitul Maqdis ke arah Kaabah di Makkah,
orang-orang penyembah berhala di Makkah berkata, ‘Muhammad bingung dengan
agamanya. Sekarang dia menghadap ke arah
qiblat yang sama dengan kalian. Dia
sedar bahawa kalian lebih benar. Dia
bingung dan ingin masuk agama kalian’.
Dengan cerita yang dituturkan orang Makkah itu turunlah ayat 150 surah
al-aqarah itu. (HR Ibnu Jarir)
Punca buruk sangka penyembah berhala di Makkah
ialah tidak mahu berfikir mengenai apa yang diseru oleh Nabi s.a.w. Oleh kerana semangat memusuhi Nabi s.a.w. dan
umat Islam sangat tinggi, maka apa saja yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. atau
tindakan baginda akan ditafsir dengan pelbagai ayat yang membawa maksud buruk dan salah. Mereka menyebarkan pula ayat putar belit hasil
pemikiran buruk sangkanya kepada masyarakat agar sama-sama berfikiran buruk
kepada Nabi s.a.w.
Hari ini, atas nama kebebasan bersuara dan hak
asasi manusia banyaklah orang dengan mudah membuat tafsiran buruk kepada apa
saja yang datang daripada orang atau pihak yang tidak disukainya. Puncanya sama
seperti orang Arab penyembah berhala itu: Kebencian, permusuhan dan
perbalahan. Yang dikata sekian buruk
atau busuk bukanlah orang yang menyembah berhala, tetapi adalah orang-orang
yang sama mengaku beriman seperti dirinya juga.
Sama-sama solat dalam sebuah masjid, kemudian mereka menuju ke arah dua
kelompok, lalu saling berbual yang mengumpat kelompok yang tidak bersamanya.
Begitulah apabila sudah termasuk dalam perangkap
Yahudi-Nasrani, maka mereka dalam kelompok-kelompok yang saling bermusuhan atas
nama hak dan kebebasan. Menambah buruk
keadaan apabila setiap kelompok mendakwa paling beriman, yang memandang
kelompok lawannya sebagai kelompok kafir atau munafik. Setiap kali ketua-ketua mereka membaca ayat
al-Quran, mereka membayangkan mereka seperti umah pimpinan Nabi s.a.w. dan
memandang lawannya yang muslim sebagai berpemikiran kaum munafik pimpinan
Abdullah bin Ubai bin Salul!
Kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah pun akan
gagal jika masih menggunakan jalan Yahudi-Nasrani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan