Pengikut

Isnin, Mac 11, 2013

DAHULU saya pun menulis dalam Harakah

BUKAN baru pada zaman internet saya menulis isu negara. Sebagai orang muda yang punya idealisme (kadang-kadang patut dibaca antiestablishment anak muda), saya memilih akhbar antikerajaan seperti Harakah, Watan dan Mingguan Tanahair untuk menghantar hasil tulisan.  Akhbar antikerajaan yang masih kekal ialah Harakah, sementara Watan dan Mingguan Tanahair sudah lama berkubur.

Tulisan di atas merupakan laopran satu forum politik di Jitra Kedah antara wakil Pas, Ustaz Fadzil Noor, wakil Umno Encik Adam Kadir dan wakil Gerakan Dr Goh Cheng Teik pada 15 September 1988. Dalam tulisan ini memang saya lebih memberi liputan apa yang diucapkan oleh Ustaz Fadzil.  Kerana forum ini tertutup dan saya yakin pihak Harakah tidak dapat menghantar wakil untuk membuat liputan, maka saya yakin tulisan saya pasti disiar oleh Harakah. 

Tulisan dalam harakah ini mengenai pergolakan dalam kalangan orang Melayu. Namun apabila saya lebih menyorot mengenai masalah dalam Umno hasil Pemilihan Umno tahun 1987, tentulah tulisan saya memberi kelebihan politik kepada Pas, maka Harakah menyiarkannya.

Sebenarnya saya pun tak suka Mingguan Tanahair (MT) memilih tajuk Fadzil Noor tinggalkan sunnah, sebab itu bukanlah tujuan saya menulis di situ.  Maksud saya, masyarakat tidak faham maksud sunah yang sebenar dan apabila Ustaz Fadzil Noor menyebut 'jubah dan serban bukan tanda sunah nabi' editor Mingguan Tanahair memilih tajuk begitu.  Begitulah jadi penulis, editor lebih berkuasa. Namun saya banyak berterima kasih kepada MT sebab hampir semua tulisan yang saya hantar disiar sama ada bentuk skala satu muka surat atau eceran yang bersiri.

Akhbar watan merupakan akhbar yang pertama sekali menyiarkan tulisan saya.  Apabila tulisan saya dalam 'Surat Pembaca' mengenai debat hukuman sebat enam kali di Kelantan disiar, saya tersedar bahawa minda saya laku dalam dunia penyiaran.  Oleh pelbagai isu saya tulis dalam Watan termasuk peristiwa penembakan kapal dagang Malaysia Promex Saga dibedil (atau terbedil) kapal perang Amerika di perairan Okinawa Jepun.  Tulisan saya menyangkut tindakan Amerika itu sebagai respon PM YAB Dr Mahathir Mohamad yang membuat lawatan ke USSR (Russia) negara yang menjadi musuh Amerika dalam Perang Dingin.

Adakah saya menulis di Utusan Malaysia dan Berita Harian? jawabnya ya juga, tapi tidak banyak sebab idealisme tulisan saya tahun 80-an banyak condong kepada parti pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan