DALAM forum malam Jumaat di kaca TV. Seorang panel
menegaskan supaya jangan bicara soal remeh-temeh dalam agama seperti baca qunut
atau tidak, tahlil itu sunah atau tidak!
Katanya lagi fokus utama sepatutnya berdakwah supaya orang Islam
menunaikan solat. Klise! Sejak puluhan tahun, tema dan ayat yang sama
diutarakan sebagai reaksi adanya diskusi berkaitan sunah dan bid’ah. Secara peribadi saya, sejak tahun 1986 lagi,
itulah yang diucapkan termasuk oleh rakan-rakan senior saya dalam usrah dahulu.
Adakah orang yang bicarakan sunah dan bid’ah
sebenarnya mengabaikan atau melalaikan dakwah supaya orang melaksanakan
solat?
Adakah apabila sejak ditulis berkaitan sunah dan
bid’ah dalam media, maka sudah kurang seruan supaya anak muda melakukan solat?
Adakah apabila ustaz menyebut pentingnya sunah dan
bahaya bid’ah, maka ustaz-ustaz ini sudah tidak perduli soal krisis akidah yang
mengakibatkan anak-anak dan remaja tidak menunaikan solat?
Berterus-terang saja, sebagian orang yang membuat
ayat ‘jangan bicarakan sunah dan bid’ah, sebaliknya berdakwahlah supaya
orang solat sebab banyak sangat anak muda yang tidak solat’ sebenarnya
membuat ayat melarikan diri dalam isu sunah.
Dia seolah-oleh sedang memberitahu khalayak bahawa urusan dakwah supaya
anak muda menunaikan solat tidak ada dalam sunah nabi s.a.w.!
Adalah dusta sama sekali orang yang menyatakan
pentingnya sunah dan busuknya bid’ah merupakan orang yang melalaikan seruan
supaya anak muda solat. Malah, orang
yang sayangkan sunah dan bencikan bid’ah itulah yang sangat tegas mendakwah
supaya orang solat, malah pegangan mereka bab hukum solat berjamaah itu jauh
lebih mantap berbanding dengan orang yang melalaikan pentingnya sunah.
Kemudian, satu lagi sindiran kepada ustaz atau orang
yang menyebut sunah dan bid’ah, ialah mereka hanya sibuk perkara bid’ah tetapi
melupakan maksiat orang muda atau pemerintahan yang zalim! Ini pun satu lagi pelarian isu sunah atas
sebab yang dia sendiri tahu.
Adakah skop sunah yang diperjuangkan tidak termasuk
menyatakan sikap terhadap dosa pergaulan bebas dan rasuah?
Adakah ustaz-ustaz yang mendakwahkan pentingnya
melakukan sunah dalam ibadah merupakan orang yang jahil terhadap kemungkaran
dalam sosial, ekonomi dan politik?
Hakikatnya, apabila apa yang selama ini dibuktikan
sebagai tidak menepati apa yang Rasulullah seru (sedangkan selama ini mereka
membentuk imej Islam), maka di situlah mereka mula berasa tercabar imej
dirinya. Maka mulalah mereka membuat
helah-helah dan mempengaruhi orang lain agar tidak menyahut seruan kembali
kepada ajaran al-Quran dan Sunah.
Taktik yang selama ini berkesan untuk menghalang
orang menyatakan cinta sunah dan benci bid’ah ialah ‘wahabi’. Dan mereka memberi maksud wahabi sebagai ‘kerjanya
hanya membid’ahkan amalan orang’.
Jika tidak tersentuh dengan pendedahan ayat-ayat alquran dan hadis
sahih, mengapa perlu sesak nafas dan berpeluh?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan