Pengikut

Selasa, Januari 01, 2013

SAMBUT tahun baru, umur kian kuncup!


BERAPA banyak manusia yang teruja dengan tanggal 01 Januari saban tahun, sebab dikatakan adalah hari istimewa iaitu hari pertama tahun baru.  Maka banyak yang membuat azam baru untuk dicapai pada tahun berkenaan.

Berganti tahun bermakna bertambahlah usia atau semakin berkuranglah usia yang ada.  Arti lain, semakin dekat menghampiri kematian, sekalipun mendapat ucapan kata-kata manis, “semoga dipanjangkan usia”.  Menyedari hakikat ini, antara kita ada yang berazam untuk menambah amalan atau memperbanyakan ibadah sebagai bekalan hari akhirat.

merapatkan saf solat

Bukan kita tidak melakukan amal ibadah atau amal salih, sebaik-baiknya perbaikilah amal salih kita dahulu.  Perhatikan adakah amal salih yang selama ini kita lakukan tinggi kualitinya, iaitu menepati sunah nabi  atau ‘kehendak hati dan orang ramai’. Melakukan banyak amalan semata-mata mengejar pahala sedangkan tidak menuruti sunah nabi, telah berlaku pada zaman kehidupan nabi dahulu.  Dan ini menjadi panduan kita agar melakukan amal ibadah atau amal salih menepati peraturan sunah.

Maksud hadis: “Sekelompok orang berkumpul membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan solat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada Rasulullah s.a.w.  Maka baginda berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu?! Aku solat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimana amalan solat selama ini?  Jika hanya berjamaah dalam Solat Jumaat, maka tambahkan kualiti solat dengan berjamaah untuk solat fardu yang lain.  Bagaimana dengan yang sudah berjamaah untuk semua solat fardunya?  Perhatikan bagaimana kedudukan kita dalam saf, adakah sentiasa merapat antara ahli jamaah atau masih merenggangkan diri?  Maka perbaikilah kualiti solat jamaah dengan merapati antara satu sama lain.  Bukan luar biasa jika kita cuba merapati ahli jamaah lain sehingga menyentuh bahu atau kakinya, maka ada yang bergerak merengangkan diri.

Bagaimana menjaga solat agar tidak terputus (seperti putus puasa)?  Selama ini ada yang tidak berapa menghiraukan amalan meletakkan sutrah atau penghadang.  Bahawa baginda nabi telah menjelaskan solat bias terputus apabila dilintasi orang di hadapannya.  Perbaikilah kualiti solat itu dengan kita bersolat yang mempunyai penghadang di hadapannya atau sutrah.  Solatlah dengan merapati dinding, tiang atau apa saja yang bias dijadikan penghadang.  Bukankah selama ini orang tidak begitu menghiraukan amaran nabi mengenai ‘solat yang terputus’?

Kemudian, kita mahu memperbaiki kualiti akhlak atau peribadi.  Tidak ada contoh lain kecuali akhlak Rasulullah atau nabi s.a.w..  Apa akhlak nabi untuk diteliti dan diamalkan.  Jawabnya, ajaran al-Quran adalah akhlak baginda nabi.  Oleh itu dengan mengamalkan ajaran al-Quran, maka kita mengikuti akhlak nabi yang kita cintai.

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah r.a tentang akhlak Rasulullah s.a.w.  Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi s.a.w  adalah al-quran." (HR Muslim).

Maaf merupakan perbuatan yang sukar dilakukan kerna berlawanan dengan hawa nafsu manusia.  Lawan maaf adalah dendam, sedangkan ajaran al-Quran adalah menyuruh memaafkan kesalahan orang lain.  Perhatikan maksud firman Allah ayat 37 surah as-Syura: “…..dan apabila mereka marah segera memberi maaf….”  Ayat 40 surah yang sama pula bermaksud: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah.  Sungguh, Dia tidak menyukai orang yang zalim.”

Selamat Tahun 2013, semoga benar kita berazam untuk lebih dekat kepada taqwa!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan