Pengikut

Sabtu, Januari 19, 2013

MAULIDUR Rasul: Buktikan taat kepada Nabi s.a.w.


PADA setiap bulan Rabi’ul Awal, kebanyakan muslim akan meerayakan hari kelahiran baginda Nabi s.a.w.  Di balik banyaknya orang merayakan maulidur rasul, tidak kurang pula yang membantah perayaan itu dengan hujah perayaan itu bukanlah ajaran asal Islam.  Debat atau dialog Maulidur rasul bagai tidak ada sudahnya sebab masing-masing punya pengikut yang akan mempertahankan sikap dan pendirian sampai bila-bila.


Dalam debat mahu atau tidak kepada Maulidur rasul, yang nyata tidak dibantah-bantah oleh kedua-dua pihak ialah kewajiban mencintai Rasul atau Nabi Muhammad s.a.w.  Hujah wajib cinta atau taat kepada Junjungan Nabi s.a.w. pula sangat jelas dalam al-Quran ayat 24 surah At- Taubah (maksudnya): “Katakanlah: ‘Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

Ayat 80 surah An-Nisa’ pula, “Sesiapa yang mentaati Rasul, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.”

Di situ Allah nyata memberi amaran keras jika meninggalkan Allah dan rasul-Nya disebabkan lebih mencintai ibu bapa, anak-anak, isteri, kaum keluarga atau harta kekayaan.  Maksudnya, jika kecintaan kepada yang disebutkan itu menyebabkan tidak taat kepada Allah dan rasul-Nya, ya Awas!  (Dan barangkali kita memang selalu tewas kerna  meletakkan cinta kepada Allah dan rasul-Nya entah nombor berapa.)

Baginda Nabi s.a.w. sendiri meminta setiap muslim lebih mencintai baginda berbanding yang lain, termasuk peribadi muslim itu sendiri.  Mudahnya, wajib lebih mencintai Nabi s.a.w. berbanding diri sendiri.  Dan ini dilakukan oleh para sahabat baginda.

Maksud sabda Nabi s.a.w. “Salah seorang di antara kalian tidak akan beriman sampai aku lebih dia cintai daripada anaknya, orang tuanya bahkan seluruh manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Ini pula kata Saidina Abu Bakr r.a. “Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah s.a.w. amalkan kecuali aku mengamalkannya kerna aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (HR. Abu Daud).

Nyata sekali sahabat baginda itu membuktikan rasa cinta kepada Nabi s.a.w. dengan melaksanakan apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.  Bagi kita yang sudah ditinggalkan lama oleh Nabi dan para sahabatnya, juga tetap diwajibkan melaksanakan kewajiban taat kepada Allah dan rasul-Nya, termasuk menunaikan apa yang disebut oleh Nabi s.a.w., iaitu ‘tidak beriman dia sehingga lebih mencintai Nabi berbanding yang lain’

Kalaulah Allah dan Nabi-Nya tidak lagi diutamakan dalam kecintaan para muslim, pasti Islam tidak berdiri kukuh atau tulen lagi.  Kehendak-kehendak ibu bapa, anak-anak, isteri dan ahli masyarakat dalam beragama lebih diutamakan berbanding kehendak Allah dan rasul-Nya.  Setiap zaman dan generasi manusia ada kehendak-kehendaknya sendiri yang pasti tidak sama dengan kehendak Allah dan rasul-Nya.  Kehendak-kehendak setiap generasi pula berbeda-beda bagi setiap wilayah atau negara.  Maka pasti sudah lama agama Allah ini musnah, dan sumber utama agama berpindah daripada al-Quran dan as-Sunnah kepada orang-orang yang berpengaruh dalam masyarakat!

Sebab itulah, baginda Nabi s.a.w. berwanti-wanti agar mengamalkan sunah baginda nabi dalam beragama.  Lihat sabda baginda “Berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ur rasyidin yang mendapatkan petunjuk (dalam ilmu dan amal). Pegang teguhlah sunnah tersebut dengan gigi geraham kalian.” (HR. Abu Daud, At Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Sunah nabi itu pula ialah amalan ibadah yanag jelas daripada nabi dan yang menyalahi sunah ialah amalan yang dikatakan agama, walhal jelas pula tidak ada contoh daripada baginda Nabi s.a.w.  Amalan yang tidak ada contoh daripada nabi, jelas tidak berguna di sisi Allah biar betapa hebat dan indah sekali sifat dan banyak pelakunya.  Maksud sabda nabi, “Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan ajaran kami, maka amalan tersebut tertolak.” (HR. Muslim).

Semoga mulai bulan Rabi’ul Awal tahun ini, semakin kita sedar kewajiban taat atau cinta kepada Allah dan rasul-Nya.

5 ulasan:

  1. perkongsian yang bermaanfaat. syukron:)

    BalasPadam
  2. perkongsian yg menarik..

    BalasPadam
  3. perkongsian yg menarik..

    BalasPadam
  4. maaf komen banyak kali. technical problm.

    BalasPadam