Pengikut

Sabtu, Januari 26, 2013

YANG menang ditiru oleh yang kalah


CERITA pihak yang menang dan kalah.  Kehidupan memang persaingan malah permusuhan yang membawa satu pihak menang dan kalah.  Yang menang akan mendapat segala-galanya, dan yang kalah hilang tuntas semua yang ada.  Harga diri pun hilang sama ada terpaksa  atau direlakan.

Kata seorang ahli sosiologi Islam zaman dahlu, Ibnu Khaldun dalam kitab ‘Mukadimah’: “Orang yang kalah selalu meniru orang yang menang, baik dalam lambangnya, atau dalam cara berpakaian, atau kebiasaannya dan sekalian gerak-geri dalam adat-istiadatnya.  Sebabnya ialah kerna jiwa itu selalu percaya bahawa kesempurnaan hanya ada pada orang yang telah mengalahkannya itu, lalu dia menjadi penurut peniru.  Baik oleh kerna telah sangat tertanam rasa pemujaan, atau kerna kesalahan berfikir, bahawa keputusan bukanlah kerna kekalahan yang wajar, melainkan kerna tekanan rasa rendah diri dan yang menang selalu benar.”


Cuba perhatikan keadaan kita untuk melihat adakah kita menang atau kalah. Kita membina sekolah kebangsaan untuk membina satu bangsaa satu negara. Di samping itu dibenarkan juga sekolah jenis kebangsaan Cina.  Jika bangsa Melayu menang, semakin lama sekolah kebangsaan Cina  semakin hilang pengaruhnya, maka sepatutnya kian beransur ditutup setelah 50 tahun.  Namun sebaliknya berlaku, 31396 murid Melayu (tahun 2012) dihantar ke sekolah berkenaan kerna percaya di sana ada kekuatan yang tidak diperoleh di sekolah kebangsaan sebagai sekolah satu bangsa satu negara!  Siapa yang kalah dan menang?

Lihat juga orang-orang yang dikatakan berkuasa, berharta dan kuat ekonominya, bahasa apakah yang menjadi pilhan mereka?  Jika mereka menjadi bangga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka menanglah bangsa peribumi yang bahasanya dipentaskan untuk satu negara.  Jika mereka tidak lagi menggunakan bahasa Melayu, maka kalahlah bangsa peribumi sebagai teras negara bangsa Malaysia.

Dalam bersiasah juga kita boleh mengesan siapa yang menang dan kalah.  Semua pihak atau partai mempunyai ideologi, citra dan prinsip tersendiri. Partai yang menang, segala yang dimiliki akan menjadi ikutan kepada pihak yang dikalahkan.  Sebaliknya, pihak yang kalah akan senantiasa merelakan prinsipnya dihilangkan tanpa apa-apa tukaran yang menguntungkan.

Teringat dan terkesan dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi dalam satu bicara, “Jika orang Melayu yang beragama Islam ini berjaya dalam ekonomi sebagaimana kejayaan orang Cina, saya yakin orang bukan Islam (bukan Melayu) akan masuk Islam kerna melihat contoh kejayaan orang Melayu.”

Bangsa yang kalah perlukan berisan pemimpin yang percaya bangsa tidak selamanya kalah dan ada putarannya, menang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan