Pengikut

Rabu, Januari 09, 2013

KALIMAH ALlah: Tanah Melayu bersedia seperti Indonesia?


MASIH menjadi perbincangan kepada umat Islam, kalimah ‘Allah’ boleh digunakan oleh orang Kristian atau sebaliknya.  Di Sabah dan Sarawak, dikatakan tidak menjadi isu kerna sudah lama diguna pakai, apa lagi di Indonesia.  Nampaknya di Tanah Melayu agak sensitif jika pihak gereja memanggil tuhannya, Allah! Oleh itu dalam kalangan ulama memasang hujah, antara membenarkan atau menghalangnya.

Lydia Kandou (Kristian) dan suaminya Jamal Mirdad (muslim)

Tidak ada seorang muslim pun yang suka kalimah nama Tuhan, iaitu Allah digunakan oleh penganut agama lain sebagai satu perkongsian Tuhan.  Apa lagi pemahaman sifat Allah yang difahamai oleh muslim sangat berbeda dengan pemahaman umat Kristian.  Namun, pasti semua muslim bersetuju jika dengan meluasnya penggunaan kalimah ‘Allah’, akan membuat mudahnya kerja-kerja dakwah terhadap pemganut agama lain.

Ulama yang memimpin Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang nampaknya bersetuju diperluaskan penggunaan kalimah Allah kepada kaum Kristian, dengan berhujah Islam tidak menghalang mereka yang bukan Islam menyebut kalimah Allah.  Malah beliau menggunakan ayat 64 surah Ali Imran. Kata Tuan Guru, “ Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam (ahli kitab) dengan penjelasannya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudia jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." (Ali-imran:64)”
–petikan daripada Harakahdaily 8 Januari 2013.

Namun bukan rahsia bahawa rakan-rakan ulama kepada Tuan Guru Haji Hadi tidak bersetuju dengan penyebaran kalimah ‘Allah’ kepada umat Kristian.  Antara yang menolak keputusan Tuan Guru Haji Hadi ialah Ustaz Dr Haron Din dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Orang awam  dan tidak ada kepentingan seperti saya, ada kalanya bersetuju dengan Tuan Guru Haji Hadi dan kepada Dr Haron juga.  Untuk tujuan dakwah, memang disokong, namun kebimbangannya ialah kerja dakwah tidaklah sekuat mana untuk mengekori penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam semua gereja.  Berbanding di Indonesia, rakyatnya sangat terbuka dalam dialog antara Islam dan Kristian, malah ada orang kuat Islam masuk Kristian dan begitu juga sebaliknya!  Di Malaysia, seorang muslim yang masuk Kristian satu ketika dahulu menjadi isu besar.  Oleh itu fahamlah, suasana di Indonesia dan Malaysia tidak sama.

Dalam al-Quran juga Allah membenarkan wanita Ahli Kitab (Nasrani dan Yahudi) dinikahi oleh lelaki muslim yang kuat agamanya (beriman, ustaz?).  Sekalipun begitu, tidak pernah berlaku seorang lelaki Melayu Islam menikahi seorang perempuan Kristian, kecuali wanita itu memeluk Islam terlebih dahulu.  Di Indonesia, bukan suatu yang janggal, malah penyanyi muslim Jamal Mirdad mempunyai isteri seorang Kristian, Lydia Kandou.  Tidak dapat saya bayangkan apa akan berlaku jika ada perkahwinan seperti yang dilakukan Jamal Mirdad di Malaysia!

Di Malaysia juga sukar menemui ulama yang mengiktiraf bahawa kaum Cina dan India beragama Kristian itu merupakan Ahli Kitab yang disebut dalam al-Quran.  Saya tidak pasti apakah Tuan Guru Haji Hadi telah memberi keabsahan bahawa umat Kristian di Malaysia adalah Ahli Kitab seperti kenyataan media yang saya cuplik di atas.

Apa lagi selepas ini?  Pada saya, apabila muslim sudah memberi hak kepada bukan Islam memberi nama ‘Allah’ kepada tuhan yang dipercayainya, maka menjadi hak mereka juga untuk menulis nama ‘Allah’ di mana-mana untuk tujuan peribadatan.  Agaknya, termasuk juga menjadi hak mereka nanti ada yang mengukir patung sebagai sembahan dan diberi nama ‘Allah’.  Ketika itu nanti pasti akan timbul kritikan  atau polemik baru terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam.

2 ulasan:

  1. klu dah isteri bukan islam ..suami islam apa lah namanya..patutlah pelbagai taufan,tsunami,ribut,gempa bumi,banjir yang dasyat dan banyak lagi jenis mala petaka kerap berlaku kerana salah satu penyebab masaalah nya seperti di atas..auzubillah..

    BalasPadam
  2. untuk menguji fakta ilmu kita perlu mengkaji sejarah sebelum kedatngan Islam di tanah arab. Segala bentuk hujah harus disertai dengan presedensnya. pada abad pertama masehi, orang kristian sdh bertapak di tanah arab.. jadi bahasa apa yang digunakan dalam upacara kebaktian mereka? Kalimah Allah ini adalah bahasa melayu kah? saling pinjam meminjam sdh menjadi satu tradisi sejak dahulu lagi antara ketiga agama Ibrahim ini. Orang melayu di Asia ini ramai juga yang memeluk Kristian. Agama adalah kebebasan hakiki dan bukan satu golongan.. Oleh itu, sejarah perlu diluruskan. Dan perkara ini bukanlah satu perkara besar, dan tidak perlu lagi diungkit-ungkit, kalau dibiarkan berlarutan boleh menggugat keamanan di asia tenggara..

    BalasPadam