Pengikut

Khamis, Januari 24, 2013

MAULIDUR Rasul: Pesan Nabi tentang sembelih haiwan


CATATAN ini dibuat pada pagi 12 Rabi’ul Awal, pada saat sebagian muslim sedang merayakan Maulidur Rasul, sambutan hari lahir Nabi Muhammad s.a.w.  Setiap adanya Maulidur Rasul kita disaran untuk kasih atau cinta Nabi s.a.w.  Cara mengasihi baginda Nabi s.a.w. pula dengan mengamalkan ajaran atau sunahnya.  Maka hari ini saya catat perihal penyembelihan haiwan atau binatang untuk dimakan.  Hari-hari entah berapa puluh ribu haiwan disembelih untuk dijadikan makanan manusia.


Tidak keterlaluan dikatakan bahawa semua muslim pernah menyaksikan proses penyembelihan haiwan.  Haiwan berkenaan akan dijerat kakinya, ditarik depan dan belakang untuk merobohkannya, barulah diikat kedua-dua kakinya.  Setelah itu haiwan berkenaan akan dijagal termasuk ditindih sebelum lehernya dihiris dengan sebilah parang yang tajam!  Itulah teknik ‘melunakkan’ haiwan sebelum disembelih sama ada di kota besar yang banyak dihuni ahli ilmu atau di desa yang dikata tempat tinggal orang kurang ilmunya.

Bagus dipaparkan hadis Nabi s.a.w. “Apabila kamu membunuh, hendaklah baik-baik membunuh itu dan apabila kamu menyembelih, hendaklah baik-baik menyembelih itu, hendaklah kamu menajamkan pisaunya dan menyenangkan penyembelihannya.” (HSR Imam Ahmad dan Muslim)

Kematian memang menyakitkan, termasuk penyembelihan haiwan.  Oleh itu Islam tetap menjaga adab atau aturan penyembelihan haiwan sebagai sangat menghormati haiwan yang juga hamba Allah.  Sebab itulah Nabi s.a.w. berpesan agar melayan haiwan dengan baik sekalipun dalam proses membunuhnya.

Tafsir al-Azhar (1990) merakamkan kisah Prof. Dr Syeikh Abdurrahman Taj, mantan Rektor Al-Azhar yang melanjutkan pelajarannya ke Sarbone University di Perancis.  Beliau sengaja membuat lawatan ke atas rumah penyembilihan haiwan di negara yang banyak umat Kristian itu.  Pemerhatiannya ialah: Sebelum haiwan disembelih (dihiris lehernya), haiwan terlebih dahulu dipingsankan supaya mudah tukang sembelih melaksanakan tugasnya.  Juga untuk mengelak haiwan berkenaan ‘melakukan tindakbalas kasar’ akibat kesakitan nyawa akan terlepas keluar.  Dengan melihat cara penyembelihan haiwan seperti itu, dia pun berani memakan daging yang disaji oleh tukang masak beragama Kristian di Perancis.

Pengalaman penulis tafsir al-Azhar juga hampir sama.  Tahun 1952, beliau ke Amerika Syarikat dan melawat pusat penyembelihan haiwan di An Arbord. Beliau mencatat, “Di sana orang menyembelih binatang ternak sebanyak 14,000 ekor dalam satu hari. Yang kelak dikirim ke kota-kota sekeliling dan setengahnya dikalengkan.  Penulis menyaksikan bagaimana cara menyembelih sapi.  Berpuluh ekor sapi yang akan disembelih dimasukkan dahulu ke dalam satu lori lalu didorongkan melalui satu ruangan yang ada gas.  Sebelum masuk sapi-sapi itu masih tegak, tetapi setelah keluar dari ruangan itu, mereka telah tertidur semuanya, tetapi tidak mati.

Satu demi satu dipotong leher sapi itu oleh tukang potong.  Geretangnya tidak banyak lagi, darahnya memancut keluar, lalu digantung dan dikuliti. (Tafsir al-Azhar muka surat 1628)

Antara cara orang Melayu Nusantara yang menjagal haiwan seperti catatan di atas dengan cara memingsankan terdahulu haiwan cara orang Amerika Kristian, beliau bertanya: “Mana yang lebih mendekati kehendak Rasulullah?”

Zaman sudah berubah dengan kian banyak orang belajar agama juga orang yang mendapat pengetahuan sains, tetapi teknik penyembelihan yang difahami daripada hadis Nabi itu hanya “…menajamkan pisau.”

Pemandangan yang ‘kurang perikemanusiaan’ terhadap haiwan sebelum disembelih mudah disaksikan pada hari-hari penyembelihan haiwan korban Iduladha saban tahun.  Mengapa orang-orang berilmu di Jabatan Haiwan dan Jabatan Agama Islam Negeri tidak berusaha berfikir dan bertindak ke arah kebaikan?  Orang Barat yang dikatakan syirik kepada Allah dan tidak beriman kepada Rasulullah s.a.w. boleh pula lebih ‘berperikemanusiaan’ berbanding kita yang telah beriman dengan kerasulan Muhammad s.a.w.

Manakah pemahaman bahawa Islam itu sejahtera dan Nabi itu membawa rahmat bagi sekalian alam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan