Pengikut

Khamis, April 14, 2011

TIDAK ada silibus menterjemah al-Quran


CATATAN sebagian pengalaman hidup.  Baru-baru ini saya berkesempatan menyantuni  kumpulan pelajar menengah.  Ada satu kumpulan  18 orang yang belajar akademik biasa dan ditambah Bahasa Arab. 

Dalam kumpulan berkenaan saya mendapati kesemua mereka merupakan pelajar yang telah bersekolah agama rendah selama enam tahun.  Apabila berada di sekolah menengah dengan keputusan USPRnya yang baik mereka dikumpulkan dalam satu kelas khas.


Saya hanya menguji sama ada mereka memahami semua maksud ayat surah al-Fatihah dalam Bahasa Melayu.  Malangnya semua tidak dapat menterjemah sama ada secara harfiah atau terjemahan sejadi seperti yang kedapatan pada semua al-Quran terjemahan.

Kesimpulannya, bukan salah pelajar-pelajar berkenaan, kerana tidak ada silibus atau topik dalam sekolah agama rendah atau subjek Bahasa Arab untuk menterjemah al-Quran.  Saya selalu mengandaikan bahawa selama enam tahun di sekolah agama rendah pasti telah diajar apa erti bacaan-bacaan dalam solat dan doa dalam bahasa Melayu supaya mereka mengerti apa yang dilafazkan dalam solat.  Itu tidak terjadi sama sekali.

Mengapa begitu akhirnya?  Budaya beragama di negara kita tidak merasa satu tanggung jawab untuk memahami dan beramal berdasarkan al-Quran, melainkan menceduk sedikit sebanyak yang bersesuaian dengan adat beragama sekian lama.  Sebab itulah peranan ustaz sangat penting dalam mengajarkan agama, kerana kebanyakan orang awam tidak mengetahui langsung apa yang terkandung dalam al-Quran.

Budaya orang-orang beragama (yang diikuti oleh orang banyak) ialah membaca berlagu dengan tajwid yang betul.  Tanpa menafikan kepentingan bacaan bertajwid, tetapi akhirnya melupakan tujuan al-Quran diturunkan untuk panduan semua manusia.  Mana ada slot di TV atau radio berkenaan menterjemah al-Quran dalam Bahasa Melayu?  Mana ada ustaz membuka pusat fardu ain (swasta) untuk menterjemah al-Quran?  Mana ada pegawai agama dalam jabatan pelajaran atau jabatan agama negeri berfikir perlunya ada sistem menterjemah al-Quran dalam Bahasa Melayu supaya orang Melayu dapat mengamalkan ajaran al-Quran?

Jaga-jaga, akibat lain apabila ada orang yang mengetahui isi al-Quran yang berlawanan dengan kebiasaan beragama para agamawan (dan pengikut mereka), akan disyaki belajar agama iaitu memahami al-Quran tanpa berguru!  Itulah ayat benteng untuk menunjukkan orang yang mengetahui isi kandungan al-Quran sebagai lemah, tidak ada kelayakan atau tidak boleh dipercayai.  Semua ini dengan satu harapan, tidak ada pendedahan bahawa amalan beragamanya selama ini berlawanan dengan maksud mana-mana ayat dalam al-Quran.

1 ulasan:

  1. Tak bid'ah ke... adakan silibus menterjemah Al-Qur'an.? Ni benda baru ni...setiap yang di ada-adakan dalam agama katanya sesat...? masuk neraka tak ?

    BalasPadam