Pengikut

Ahad, April 03, 2011

RASUAH berbilion ringgit, potong saja tangan mereka!


HARI ini dipaparkan mengenai lelaki dan perempuan yang mencuri wang berbilion-bilion ringgit.  Mereka disyaki, dan sedang dalam proses pembuktian.  Kelak daripada 62 orang, mustahil tidak satu orang pun yang akan didapati bersalah mencuri wang dalam bentuk rasuah!

Suka saya bertanya, siapakah mereka?  Adakah mereka orang lelaki dan perempuan yang bukan muslim?  Jika selama ini kebanyakan  anggota kakitangan awam adalah Melayu, sekalipun nama-nama mereka belum disiarkan, kemungkinan besar mereka (dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia)  adalah  Melayu muslim! 

Kemudiaan, apa ertinya mereka muslim?  Mereka adalah yang berwatakan sebagai orang Islam, yang namanya pun daripada istilah Arab.  Kalau perempuan, bertudung kepala kerana mengikut kecenderungan wanita muslim yang mematuhi ayat 31 surah an-Nuur.  Yang lelaki, setiap Jumaat mereka solat Jumaat yang pasti mendengar seruan khatib supaya bertakwa, mematuhi perintah dan larangan Allah.  Anak-anak mereka pun diajar supaya membaca al-Quran dan bersolat.  Pada bulan Ramadan, mereka pun berpuasa dan bertarawih sebagaimana orang yang tidak pun mengambil wang haram!  Barangkali daripada mereka itu ada yang sudah menunaikan fardu haji atau ibadah umrah.

Semua keindahan hidup sebagai muslim bersama masyarakat muslim lain tidak berjaya menghalang kegiatan dosa besar di sisi Allah.  Semua kerna wang!  Saya yakin amat, jika yang disogok itu seketul daging babi, sekalipun diupah RM satu juta, mereka tidak akan memakannya atas sebab hukumnya haram!  Demikianlah wang hasil curi tidak dipandang hina  dan jijik, tetapi seketul daging babi dianggap sehabis-habis kesalahan besar.

Jika mereka didapati bersalah, mahu dihukum apa?  Mereka punya banyak wang, yang tujuh keturunan pun tidak habis buat kos makan di kedai nasi kandar.

Ada analogi yang pantas difikirkan.  Mereka itu, tidak sanggup memakan secebis daging babi biar berapa bayarannya.  Saya percaya, sebaliknya mereka sanggup membayar berapa saja asalkan tangannya tidak dipotong!

Potonglah tangan mereka.  Katakan ada 50 orang yang bersalah itu, potonglah semua tangan mereka.  Biar mereka menjadi OKU dan dipandang oleh masyarakat sebagai bahan pendidikan.  Membanteras kejahatan mencuri sudah tidak boleh disurahkan dalam puisi, cerpen atau ceramah agama.  Masyarakat perlu diajar dengan kesan fizikal akibat mencuri.  Apa lagi potonglah tangan mereka dan sewaktu tangan-tangan mereka akan dipotong, siarkan secara lanusung dalam mana-mana siaran televisyen.

Amerika marah? Apa peduli negara lain. Bukankah negara kita merdeka yang semua pemimpin mengatakan boleh menentukan apa yang terbaik untuk negara sendiri. 

Potonglah, sebab Allah yang menjadikan manusia termasuk tangannya sekali. Kalau Allah sudah mahu tangan itu dipotong, potong saja.

Maksud surah al-Ma’idah ayat 38: Orang lelaki atau perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya (sebagai)  balasan atas perbuatan yang mereka lakukan dan sebagai siksaan daripada Allah.  Dan Allah maha perkasa lagi maha bijaksana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan