Pengikut

Khamis, April 07, 2011

ORANG tua tidak percaya bahan pelik dalam rokok


MINGGU lepas saya  tersua dan berbicara dengan seorang lelaki berumur lewat 70-an tetapi  fizikalnya masih kukuh.  Sambil melihat-lihat kebun sawitnya, dia menghabiskan rokoknya.  Dia suakan juga rokok kepada pakcik saya yang agak sebaya dengannya.  Dia tidak pun mempelawa saya, kerna mungkin dalam  sangkaan fikirannya, dahi saya memang tidak ada tanda penghisap rokok.


Dia meluahkan marahnya terhadap khutbah Jumaat beberapa minggu lalu yang menyatakan ‘keharaman’ menghisap rokok.  Dia menolak hukum haram terhadap rokok kerana selama ini (tentulah sejak dia remaja) difahami merokok hukumnya makruh!  Menurutnya lagi, selepas itu dia berjumpa dengan seorang ustaz untuk mendapatkan penjelasan maksud haram merokok.  Entah betul atau tidak, dia memaklumkan yang ustaz berkenaan tidak berkata banyak pun.  Jika begitu, saya faham tujuan ustaz itu lebih mendiamkan diri memandangkan tujuan lelaki warga emas itu berjumpanya hanya mahu membantah fatwa  haram rokok!

Ada falsafah yang berjaya saya kesan daripada peristiwa itu.  Apa yang utama sebenarnya adalah maklumat dan penerimaannya.  Memang tidak ada ayat Allah  yang jelas bab haramnya rokok seperti jelas haramnya daging babi.  Sementelahan pula aktiviti merokok sudah menjadi budaya sejak zaman-berzaman, sekalipun sejak itu juga dikatakan hukumnya makruh.  Pada kebiasaannya, orang agama akan meninggalkan perkara yang makruh tetapi tidak dapat meninggalkan rokok.  Jika orang agama yang sudah tua (hari ini) masih menghisap rokok, tidak lain kerana dahulu merokok lebih kepada amalan budaya.

Maklumat mengenai haramnya rokok sangat asing terhadap warga tua sekalipun  punya asas agama yang kuat.   Jika merokok dikaitkan dengan perbuatan membazir (amalan syaitan) dan dikatakan haram (surah al-Isra’ :2), tidaklah sekuat mana hendak meninggalkan tabiat yang sudah berkarat itu.  Penceramah menduga perokok muslim akan terus akur dengan hujah ayat al-Quran (surah a-Ahzab:36).  Oleh kerana dalam budaya masyarakat terdapat contoh-contoh pembaziran seperti pembaziran masa dan makanan, maka hujah haram merokok sebagai membazir tidak berkesan.

Kemudian dalam khutbah juga diserukan mengenai kandungan dalam rokok yang sangat asing kepada budaya Melayu.  Perkataan nikotin, tar, arsenik, karbon monoksida, bahan bakar roket, racun serangga, bahan pencuci lantai dan sebagainya dianggap tidak betul.  Mereka tidak percaya dan menganggap semua itu sebagai diada-adakan.  Penemuan darah babi dalam puntung rokok juga membawa bahan tawa baru. “Bodohlah yang buat rokok kalau meletakkan semua benda itu,” kata mereka yang tua-tua.

Hujah tidak merokok akan menguntungkan kewangan, juga satu hujah yang sangat tidak dipercayai.  Katakan dianalisakan sebulan RM250.00 atau setahun RM3000.00 atau 20 tahun yang tidak merokok boleh ada simpanan RM60,000.00, tidak diterima.  Mereka menerima teori menyimpan wang itu, tetapi bukan rahsia bahawa yang tidak merokok pun tidak ada simpanan bulanan RM250.00 itu!

Mahu apa lagi? Setakat ini sekotak rokok (24 batang) berharga RM10.00 masih mampu mereka beli. Oleh itu tabiat merokok masih bertahan dan ada penganut barunya.  Barangkali kalau secara drastik harganya menjadi RM100.00 dan kerajaan bersedia menanggung risiko tidak popular dalam pilihan raya, maka perokok mula berfikir akibat ekonominya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan