Pengikut

Isnin, April 18, 2011

SUKARnya menemukan syahadah dalam kehidupan hari-hari


ENTAH  berapa banyak kali kita mendengar bahawa akidah merupakan pintu masuk ke dalam Islam. Apabila seseorang telah melalui pintu masuk Islam ini, sepatutnya berlaku perubahan hidup seseorang, berbeda sewaktu belum memasuki pintu ini.  Sebab itu ada kita mendengar seseorang yang telah memeluk Islam berkata bahawa hidupnya berbeda berbanding sewaktu sebelum menganut Islam.

 foto hanya hiasan

Apabila seseorang memeluk Islam, dia akan melafazkan (sebenarnya berikrar) bahawa Tidak ada Tuhan melainkan Allah (laa ilaha illallaah), dan tatkala sedang nazak akan berakhirnya hidup dia juga wajib mengikrarkan ayat yang sama seperti dia mula memeluk Islam dahulu.  Kisah seseorang memeluk Islam mengikrarkan syahadah bukan hanya untuk seseorang yang asalnya bukan Islam, malah sesiapa juga yang sedar mengapa dirinya berada dalam Islam, dia wajib terlebih dahulu mengikrarkan syahadah!

Dalam tempoh terdekat ini telah dua kali saya berkesempatan bercakap dan berdialog dengan remaja untuk saya menduga apakah erti  laa ilaaha illallaah dan apakah kaitan dengan kehidupan sehari-harian, misalnya pakaian seseorang yang kemas atau selekeh.  Ya, kira-kira separuh daripada mereka tahu erti lafaz syahadah dalam Bahasa Melayu, tetapi semua tidak tahu apa-apa kaitan syahadah itu dalam kehidupan sehari-harian, termasuk soal makan minum, berpakaian atau dalam pergaulan.  Jika mereka tidak mengerti hendak mengaitkan syahadah dengan kehidupan, bolehkah berlaku perubahan hidup atau membawa imej Islam?

Tidak keterlaluan jika sesiapa juga membuat kaji selidik terhadap masyarakat awam muslim, akan menemui kesimpulan seperti yang saya temui.

Remaja-remaja berkenaan seolah-oleh menemui  satu pengetahuan yang asing apabila saya memberitahu semua ruang kehidupan peribadi atau bermasyarakat (dalam dunia mereka sebagai anak dan bersama rakan sebaya) sepatutnya dalam lingkungan ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah.  Mereka bagai tidak percaya dapat dikaitkan situasi berkenaan dengan ikrar itu:

1         Berpakaian kemas atau selekeh
2         Cara-cara menunggang motorsikal yang sebagiannya tidak memakai topi keledar
3         Bergaul sesama teman sama ada yang sejenis atau berlawanan jenis
4         Menyediakan bilik yang kemas atau berselerak (demikian beberapa contoh)

Tidak mudah untuk membina keyakinan baru dalam kehidupan yang selama ini dianggap terpisah dengan ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah.  Kepada yang mengetahui psikologi seseorang dan metodologi pengajaran dan pemelajaran (P&P), untuk membina keyakinan baru yang besar sebagaimana kesan akidah dalam hidup sebenarnya perlu kembali memulakan dari anak tangga pertama.

Begitulah sukarnya mahu mengubah paradigm seseorang, bukan dengan cara  merentas di mana-mana ada kesempatan. 

Berapa banyak peribadi yang begitu teruja dengan sedikit ilmu yang baru diterima sehingga beremosi terhadap sekitarannya!  Itulah kesan dakwah secara merentas di mana ada kesempatan.  Ertinya peribadi itu tidak ditemukan titik mulanya untuk memahami ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah, tetapi terus diajarkan soal fikah atau perdebatan aliran-aliran pemikiran dalam Islam.  Kasihanlah peribadi yang menerima dakwah rentas ini, mereka menderita tanpa mereka sedari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan