Pengikut

Isnin, Oktober 04, 2010

MAKA berduyun-duyunlah solat hajat....

YANG mudah ialah mengikut sahaja apa yang disarankan oleh seseorang.  Untuk menambah kepuasan yang diikuti itu betul, hanya perlu sandarkan kepada peribadi yang mempelawa kita melakukan itu dan ini.  Mudahnya, lihat siapa orangnya dan terimalah apa yang disarankan, kemungkinan betul sangat tinggi.

Itulah sangkaan atau kebenaran berdasarkan agakan.  Berapa banyak pendirian kita dalam hidup rupa-rupanya hanya bersandarkan sangkaan atau dugaan, bukan keputusan kita setelah melihat ketepatan berdasarkan hujah.  Begitulah entah berapa lama kita menerima sahaja tanpa membahas betul atau salahnya, walaupun apa yang kita terima itu terpaksa memakan kos wang ringgit.  Malah kadang-kadang setelah tahu perkara yang dilakukan tak berguna, tetapi kerana ada kos, dilihat sebagai perkiraan lain.  Mengkaji tabiat manusia, banyak juga manusia yang suka membayar sesuatu atau memilih yang tinggi bayarannya untuk dilihat sebagai bergaya.  Bergaya kerana dianggap kaya dan mewah.


Hal sangkaan, disangka betul dan sah…, lihat maksud firman Allah dalam surah Yunus ayat 36: Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan kebenaran (iktikad).  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Berapa lama kita menyangka penerimaan beragama berdasarkan sangkaan, selama itulah kita tidak meletakkan agama berdasarkan ilmu.  Orang menyangka melakukan solat hajat ketika terlalu ingin mendapatkan sesuatu itu sebagai ajaran tulen agama, maka berduyun-duyunlah mereka melakukannya.  Mereka sangka Rasulullah dan para sahabatnya melakukan solat hajat berduyun-duyun.  Mereka sangka sebaik-baik penerimaan permohonan adalah dalam solat hajat yang meriah itu. 

Perhatikan cara solat hajat itu dilaksanakan sebagaimana yang diajarkan oleh si pengendali.  Setiap orang seperti mempunyai versinya tersendiri, tidak pernah membawakan dalil hadis-hadis Rasulullah, walhal antara maksud hadis nabi yang diketahui ialah: Solatlah kamu sebagaimana melihat aku solat. Hadis riwayat Bukhari.

Ada satu hadis (tarafnya tidak sahih) digunakan sebagai sandaran untuk melakukan solat hajat iaitu hadis riwayat Imam Ahmad bermaksud: Rasulullah bersabda ‘sesiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa saja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahu pun lambat.

Dalam buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (2008) dicatatkan  mengenai ulama-ulama hadis yang menerangkan putusnya sanad hadis ini kerana ada perawi bernama  Yahya bin Abi Kathir (seorang tabi at-Tabi’en) meriwayatkan terus hadis itu daripada seorang sahabat nabi bernama Yususf bin Abdullah.  Sepatutnya untuk sanad yang bersambung mestilah ada seorang bertaraf Tabi’en antara Yahya  dan Yusuf.

Maka difahamilah, keadaan solat hajat ala-Malaysia tidak ada dilakukan oleh para generasi salaf iaitu dalam tempoh kira-kira 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah.  Yang banyak difahami ialah solat sunat mutlak sebanyak dua rakaat, bukan dikhaskan namanya solat hajat.  Maka jelas solat sunat ini tidak dilakukan secara berjamaah.

Wallahu aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan