Pengikut

Sabtu, Oktober 23, 2010

HADIS lubang biawak untuk Umno dan Pas

KERAP dibacakan hadis ‘lubang biawak’ oleh para ustaz.  Saya sudah mendengarnya sejak remaja, khasnya apabila ustaz membicarakan mengenai akhlak orang muda yang compang-camping.  Berikut hadisnya.

Maksud sabda nabi s.a.w: Kalian akan mengikuti adat tradisi umat sebelum kamu sejangkal demi sejengkal. Sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak (pun), kamu akan mengikutinya juga.  Para sahabat nabi bertanya: Wahai Rasulullah, apakah mereka itu orang-orang yahudi dan Nasrani?  Jawab baginda Rasulullah: Kalau bukan mereka, siapa lagi?
(Hadis riwayat Abu Said al Khudri dalam Syaikh Salim Bin Ied al Hilali, Ensikopedi Larangaan Mengikut al Quran dan As Sunnah. Jld 1, ms. 269)

Tidak banyak yang mahu menyebut erti hadis ini bukan sekadar urusan agama dan akhlak. Maksud saya dalam soal ekonomi  dan politik, bukan sosial sahaja.  Budaya atau cara hidup sesuatu umat bukan hanya soal akidah (kepercayaan ketuhanan), agama dan bidang sosial.  Oleh itu rugilah kita jika tidak menyoroti soal yang lebih besar dalam tasawur Yahudi dan Nasrani yang juga menjadi ikutan kaum muslimin.


Hari ini bukan main ‘ganasnya’ kita satu kaum muslim berantakan.  Muslim yang memerintah dengan senang-senang dikritik secara terbuka, dibantah secara ganas dengan mengadakan demontrasi dan sebagainya.  Pihak muslim yang memerintah juga sama ganasnya terhadap muslim yang berada di luar kandang pemikiran politiknya. Demi menyelamatkan kuasa atau merebut kuasa, berantakan tak sudah.

Perdebatan, perkelahian, pertuduhan, pertengkaran, pulau-memulau, jatuh-menjatuh dan pelbagai perbuatan buruk (mereka tidak kata buruk) sesama muslim bukan wasiat Rasulullah dan para ulama salaf.  Lebih buruk kedua-dua pihak saling mendakwa golongan beriman dan pihak yang dipuji dalam al Quran manakala lawan muslim lainnya adalah seperti kaum munafik yang dikutuk Allah.

Alasan masing-masing sangat mudah: demi demokrasi dan hak asasi.

Siapakah yang menyuruh kita memakai amalan demokrasi dan hak asasi sehingga semua perbalahan dan perselisihan yang diharamkan oleh dalam al-Quran dikatakan halal dan dijadikan satu pesta, budaya dan cara hidup baru?  Islam tidak membuang demokrasi dan hak asasi, tetapi adakah demokrasi Islam dan hak kebebasan itu membenarkan permusuhan sehingga kekuatan umat menjadi bonyot? Bobrok! Bejat!

Jelas, demokrasi yang kita gunakan betul-betul diambil daripada amalan tradisi atau budaya ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani.  Demokrasi Berparlimen di Malaysia berasaskan Britain, yang mengkanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan tahun 1956.  Britain itu Nasrani dan ditunjangi Yahudi. Kerana kita muslim menerima cara ahli kitab ini, atas nama kebebasan dan demokrasi maka sesama muslim berantakan.  Pernah di kaca TV seorang wakil bukan Islam di hadapan wakil Pas dan Umno bertanya kepada kedua-duanya: Mengapa Pas dan Umno bermusuh-musuhan walaupun sesama parti Islam.  Tidak ada jawaban di depan wakil bukan Islam dalam forum itu.

Kalaupun benar sistem demokrasi berparlimen itu sudah dilembagakan, tidakkah para pemimpin umat sedar bahawa al-Quran dan Sunnah mengatasi birokrasi ciptaan Yahudi dan Nasrani itu.  Tidakkah soal perpaduan sesama umah demi kesatuan umah menjadi keutamaan berbanding persaingan untuk siapa paling berkuasa.

Benar, benarlah adat Yahudi dan Nasrani melalui sistem politik demokrasi berparlimen dituruti dengan setulusnya oleh kita kaum muslim.  Sekalipun sedar perbalahan itu haram, dikira maksud masuk lubang biawak…., entah apa yang difikir oleh para ulama muslim.  Sangat malang kepada umah pula apabila ada segelintir berstatus orang agama, atau ulama menjadi pemain dalam perbalahan dan membejatkan kesatuan umah.  Golongan ini sanggup ranapkan kesatuan umah demi demokrasi yang dibina oleh Yahudi dan Nasrani.

Maka syaitan pun tertawa sepuas-puasa hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan