Pengikut

Rabu, Mei 18, 2011

MARAH yang menjadi gedung fitnah


FITNAH yang difahami oleh masyarakat Melayu bukanlah sama seperti maksud fitnah dalam al-Quran. Maksud fitnah dalam al-Quran ialah bencana seperti permusuhan dan peperangan, tetapi erti fitnah dalam masyarakat Timur ialah tuduhan buruk atau sangkaan buruk yang tidak dapat dibuktikan.

Fitnah atau sangkaan buruk muncul kerana perasaan benci yang dalam.  Sebaliknya, kalau perasaan berkasih-sayang, pasti antara sesama kita akan bersangka baik dan melindungi orang yang kita sayangi daripada keceluparan lidah kita.  Kerana benci, mudah sahaja perasaan menjadi marah dan mudah pula pemikiran buruk membuat pelbagai andaian buruk semata-mata untuk memuaskan perasaan marah itu.


Perselisihan bisa saja berlaku di mana-mana. Dari ruang makan dalam sebuah rumah antara suami-isteri hinggalah ke Majlis Parlimen antara ahli-ahli politik.  Semakin dalam jurang perbedaan pendapat, semakin terbuka untuk membuat sangkaan buruk kepada orang yang tidak disukai.  Menambah-nambah sangkaan buruk terhadap orang yang dibenci, bertambah seronoklah perasaan hingga apabila melihat orang yang dibenci hidup merana dan sengsara, itulah kepuasan kepada yang lawannya.  Pada dirinya, itu bukanlah satu fitnah, tetapi satu perkara yang diduga dan disahkan.  Sebab itulah seseorang yang membuat tuduhan-tuduhan tidak merasakan dirinya sedang memfitnah atau melemahkan peribadi orang yang dibenci.  Baginya, tindakan itu dianggap suci untuk menyelamatkan orang lain daripada terpengaruh dengan perangai buruknya.

Benarkan orang yang dikatakan buruk itu sesungguhnya buruk atau keji, dan yang menyatakan orang itu buruk adalah manusia yang sangat terpuji?  Ini bukan mengkritik tindakan ahli-ahli politik yang senantiasa mempunyai musuh, yang sangat terbuka dengan agenda tuduhan-tuduhan.  Antara suami isteri, atau dalam sebuah keluarga pun terdedah kepada andaian yang membawa tuduhan, yang asasnya ialah ‘kebencian’ terhadap seseorang.  Seorang isteri yang sudah lesu menyayangi suaminya akan terdedah untuk buruk sangka terhadap aktiviti suaminya di luar rumah.  Andaian-andaian tertentu  itulah yang membawa fitnah terhadap suaminya.  Begitu jugalah sebaliknya si suami kepada isteri.

Antara pendukung aliran agama juga terdedah kepada perbuatan buruk sangka.  Puncanya perasaan benci terhadap orang-orang yang tidak sefahaman dalam beragama.  Timbul perasaan megah atau bangga dalam diri sendiri, menganggap orang lain sebagai bebal, jahil dan sengaja tidak mahu mengikut alirannya yang sangat dipercayai benar atau sah.  Maka timbullah pelbagai andaian buruk atau fitnah sesama orang yang memperjuangkan agama.

Apakah kedudukan fitnah atau buruk sangka di sisi Allah?  Satu maksud firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12  sangat jelas mengenainya. “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan jangan antara kamu mengunjing (mengumpat) sebagian yang lain.  Apakah ada antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?  Tentu kamu merasa jijik.  Dan bertakwalah kepada Allah,  sungguh Allah maha penerima taubat dan penyayang.”

Kita semua akan kembali kepada-Nya.  Kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana.


Sabtu, Mei 14, 2011

AKIBAT saf solat bengkok dan tidak rapat


SOALAN:
SAYA ingin mendapatkan penjelasan berkenaan peraturan susunan saf yang betul semasa solat jemaah seperti solat Jumaat. Saya perhatikan walaupun masih ada ruang di dalam dewan masjid atau kawasan bangunan masjid, ramai yang lebih suka berada di luar masjid dan kawasan bangunan masjid seperti di tepi longkang, jalan, pagar tempat letak kereta dan lain-lain yang jauh dan terputus dari saf dalam masjid.
Bukan sahaja saf demikian tidak bersambungan dari saf-saf lain tetapi juga syak dan tidak pasti kebersihannya tempat-tempat demikian. Juga adakah pahala berjemaah diperoleh dengan keadaan saf sedemikian?

JAWAPAN:
Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita.

Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata. Lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah SAW dan athar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan solat. (riwayat al-Bukhari, Kitab: Azan, Bab: Iqamah al-solah min tamam al-solah, no:723, Muslim, Kitab: al-solah, bab: taswiyah al-sufuf wa iqamatiha… no:973).

Hadis yang lain daripada Anas bin Malik: adalah Rasulullah SAW memalingkan wajah baginda ke arah kami (menoleh ke arah kami) sebelum baginda bertakbir seraya berkata: luruskan dan betulkan saf kalian. (al-Bukhari, Kitab:Azan, Bab: Taswiyah al-sufuf…,no:718, Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-sufuf…, no:975).

Dalam hadis yang lain, daripada al-Nu’man bin Bashir telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.” (Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-Sufuf…, no:978, Abu Daud, Kitab: al-Solah, bab: Taswiyah al-Sufuf, No: 663, al-Tarmidzi, Kitab: al-Solah, Bab: Ma ja fi iqamati al-Saf, no: 227.)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan”. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm: 443)

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Imam al-Nawawi. Beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika bersaf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati”.

Sementara Qadi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan, “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (iktidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai.

Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya”.

Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajipan.

Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jemaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Umar bin Khattab r.a. pernah memukul Abu Uthman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm:447).

Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian”. (al-Bukhari, no: 724)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas bahawa kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan saf dalam solat. Solat yang ditunaikan tanpa meneliti kepada kelurusan saf serta tautannya dengan saf-saf yang lain akan menyebabkan hilangnya fadilat solat berjemaah.

Yang paling malang ialah Allah SWT memalingkan wajahnya daripada golongan yang tidak mempedulikan kesempurnaan saf. Sedangkan solat itu ditunaikan untuk menghadap Allah SWT, komunikasi seorang hamba kepada penciptanya secara langsung, tapi malangnya Allah memalingkan Rahmat dan Kasih sayang-Nya.
Sekiranya saf yang dibentuk terputus dari imam tanpa sebarang punca atau alasan syarie, maka solat jemaahnya tidak sah. Lebih-lebih lagi masih ada ruang yang diisi di dalam dewan solat atau yang boleh menggabungkan antara saf-saf dalam masjid atau surau.

Adapun solat mesti dilaksanakan di tempat yang bersih, kerana salah satu syarat sah solat ialah mendirikan solat di tempat yang bersih dari najis. Masalahnya sekarang orang datang solat seperti melepaskan batuk di tangga, datang lewat, duduk tepi kereta atau longkang, bila iqamat mereka solat di mana dia suka dan senang untuk dia keluar. Mereka yang datang betul-betul untuk solat tidak akan buat begitu.

(sumber: utusan.com.my )

Khamis, Mei 12, 2011

PERKAUMAN merosakkan Islam


KISAHNYA seorang pegawai pendidikan di sebuah sekolah berorientasikan agama (Islam) yang ditugaskan mengurus pasukan sukan yang kesemuanya berketurunan Cina, bukan beragama Islam.  Menurutnya, dia terasa rugi dan bagai tidak ada nilai apa-apa jika membuat perbelanjaan yang lebih daripada poket peribadinya kerana memberi sesuatu kepada orang bukan Islam.  Mudahnya untuk memahami pemahaman pegawai ini ialah: Menyumbang tenaga, pemikiran dan wang/harta kepada orang bukan Islam adalah sia-sia, tidak ada nilai. Pendek kata, Allah tidak memandang pengorbanan seseorang muslim kepada orang bukan Islam!


Pemahaman ini bukanlah terpencil, malah sejak saya kanak-kanak lagi sudah mendengar fahaman ini.  Guru saya yang mengajar sejarah di Tingkatan Enam dulu pun pernah berfatwa boleh mengambil apa juga barang milik kaum Cina! Ada satu peristiwa sebuah kereta Nissan 130Y yang dipandu seorang lelaki Cina terbabas di hadapan sekolah, guru sejarah ini antara yang bersama pelajar-pelajar (yang tidak berakhlak) mengopak kereta itu dan mengambil apa sahaja barang yang boleh dibawa keluar. Waktu itu si pemandu sudah bergegas ke balai polis untuk membuat laporan hal kemalangannya.

Pemahaman seperti di atas merupakan cetusan perkauman atau nasionalisme.  Jiwa perkauman yang membenci bangsa/kaum lain, yang dianggap menjadi ancaman kaumnya menyebabkan mereka lupa mengenai keluasan dan keadilan Islam yang dijamin oleh Allah. Entah siapalah guru agamanya yang mengajarkan supaya tidak berbakti kepada orang bukan Islam, kerana kalau terpaksa atas nama kerja pun dianggap sebagai sia-sia. Agaknya kalau dalam tugas yang (kononnya) terpaksa dan ditakdir mati, maka mati katak sahaja nilainya.

Lihatlah jaminan Allah kepada muslim yang bersosialisasi dengan orang bukan Islam.  Semuanya tidak sia-sia.

Surah al-Mumtahanah ayat 8, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.”

Sesungguhnya mereka yang bertindak kerana perkauman dan dilabelkan pula sebagai Islam, nyata member imej buruk Islam kepada masyarakat bukan Islam.  Pada waktu yang lain, kita yang Islam mahu dilayan yang adil dan berkualiti oleh orang bukan Islam, tetapi kita yang Islam melayan secara sambil lewa terhadap bukan Islam.

Eloklah yang berpemikiran salah ini bertaubat, dengan tidak menganggap ini hal remeh-temeh atau khilafiah!

Selasa, Mei 10, 2011

MANA hadiah untuk yang patuh undang-undang?


ORANG yang menunggang motorsikal ada yang memakai topi keledar kerana mematuhi undang-undang, dan ada yang tidak memakainya sebagai menganggap perkara remeh-temeh.  Kedua-dua orang ini tidak terlibat dalam mana-mana kemalangan yang boleh membuktikan antara faedah memakai topi keledar dan risiko tidak memakainya.  Di mana lagi bukti faedah si pemakai topi keledar?


Di mana-mana ada peraturan atau undang-undang, dan hakikatnya tidak semua manusia telah dan sedang mematuhi semua peraturan.  Di balik hakikat tidak semua mematuhi peraturan, tidak pula semua yang melanggar peraturan itu dikenakan hukuman!  Malah ayat yang biasa didengar ialah ‘sedangkan hukum Allah pun dilanggar, inikan pula hukum manusia’.  Ayat ini menggambarkan ada segolongan manusia yang secara sedar melanggar undang-undang itu dengan alasan ada undang-undang yang lebih hebat pun tidak dihiraukan oleh manusia.

Perhatikan pengguna-pengguna jalan raya yang banyak ingkar peraturan had laju, tetapi ada juga yang mematuhinya.  Sekolah juga ada peraturan untuk murid-muridnya.  Banyak murid yang patuh, tetapi masih ada yang sengaja melanggar paraturan.  Jika ada hukuman untuk yang melanggar undang-undang, sepatutnya mesti ada habuan atau hadiah kepada yang mematuhi undang-undang.  Dalam kehidupan manusia, yang sangat berguna ialah memenuhi kehendak peraturan tetapi malangnya tidak ada peruntukan dalam undang-undang memberi hadiah kepada yang patuh undang-undang.  Itulah dunia yang sangat terbatas kemampuannya.  Dunia hanya mampu menghukum pesalah, tetapi tidak upaya memberi hadiah kepada yang tidak bersalah.

Di mana lagi ada keadilan yang hakiki terhadap persoalan di atas?  Siapa yang tidak percaya keagungan Allah dan kekayaan-Nya untuk memberi balasan di akhirat kelak, dia akan merana dan merasa rugi sepanjang masa.  Kepada yang beriman kepada hari akhirat, yang yakin bahawa Allah akan membalas semua kebaikan di dunia (yang tidak dihiraukan di dunia), mereka senantiasa gembira dan menunggu hari pembalasan yang sangat adil.

Lihat maksud firman Allah dalam surah Luqman ayat 16: (Kata Luqman) Wahai anakku, sesungguhnya, jika ada (suatu perbuatan) sekalipun seberat biji sawi serta ia (perbuatan itu) tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah maha halus, lagi maha teliti.

Kesimpulannya, akidah dan keimanan yang kukuh berjaya mengawal tingkah laku manusia sekalipun dalam urusan yan sangat keduniaan. Apabila Allah menyatakan hidup manusia untuk mengabdi kepada-Nya, maka seluruh kehidupannya adalah dalam bidang ketaatan kepada-Nya, termasuk semasa bekerja, belajar, beriadah, melancong dan sebagainya.  Selalunya orang hanya digambarkan amal salih hanya yang ada kaitan dengan ibadah atau agama, tetapi dalam Islam semua hal dalam perhitungan Allah.

Isnin, Mei 09, 2011

FIR'AUN orang pertama tidak percaya Allah di langit


Oleh: Muhammad asrie Sobri, Jabatan Mufti Perlis

ALLAH berfirman dalam al-Quran surah Ghafir ayat 36-37:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ (36) أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا وَكَذَلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ (37)
Maksudnya: Dan Firaun pula berkata: Hai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya) (Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta! Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta dia dihalangi dari jalan yang benar dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.

Persoalan:
Kenapakah Fir'aun –Laknat ALLAH atasnya- hendak membina bangunan tinggi supaya dia boleh mencapai pintu-pintu langit sambil mendakwa Musa a.s berdusta? Apakah perkara yang Fir'aun tuduh Musa a.s berdusta akannya sehingga Fir'aun perlu naik ke langit untuk membuktikan kepada kaumnya yang Musa a.s berdusta? Apakah yang Musa a.s beritahu kepada Fir'aun sehingga dia begitu berang dan mendakwa Musa a.s dusta dan dia perlu naik ke langit untuk mempercayai kata-kata Musa a.s itu?
Jawab Imam Ahli Tafsir, Imam Al-Tabari (rh) [w.310 H]:
وقوله: (وَإِنِّي لأظُنُّهُ كَاذِبًا) يقول: وإني لأظنّ موسى كاذبا فيما يقول ويدّعي من أن له في السماء ربا أرسله إلينا.
Maksudnya: "dan firman-Nya (berkenaan kata-kata Fir'aun): " dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!", maksud katanya (Fir'aun) adalah: "dan sesungguhnya aku percaya Musa ini pendusta dalam apa yang dia katakana dan dakwakan BAHAWA DIA MEMPUNYAI TUHAN DI LANGIT YANG MENGUTUSNYA"
[Rujuk: Tafsir al-Tabari, juz 21 m.s 387, Tahqiq: Ahmad Syakir, cet Muassasah al-Risalah, cet Pertama, lihat juga: Tafsir ayat 38 Surah al-Qasas].

Kata Imam Abul Hasan al-Asy'ari (rh) [w.324 H] dalam kitab beliau, al-Ibanah:
كذب موسى عليه السلام في قوله: إن الله سبحانه فوق السماوات
Maksudnya: "Dia (Fir'aun) mendustakan Musa a.s berkenaan perkataan baginda: Bahawa ALLAH s.wt berada di atas langit".

Maka sejarah mencatatkan bahawa, makhluk pertama yang ingkar keberadaan ALLAH di atas Arasy di atas langit ketujuh adalah: Fir'aun –Laknat ALLAH atasnya-

Kata al-Imam Ibn al-Qayyim (rh) dalam Nuniah beliau:
فإمام كل معطل في نفسه ... فرعون مع نمرود مع هامان
Maksudnya: "Maka Imam setiap Mu'attil itu pada dirinya adalah Fir'aun bersama Namrud dan juga Haman"

Oleh itu, ketahuilah wahai setiap muslim dan muslimah, Tuhan kamu; ALLAH itu Maha Tinggi, Tinggi pada Kemuliaan-Nya, Kekuasaan-Nya, dan ZAT-NYA kerana Dia meninggi di atas Arasy di atas langit ketujuh dengan ketinggian yang layak bagi zat-Nya tidak menyamai Makhluk sedikit pun .


Jumaat, Mei 06, 2011

MASJID al-Mujahidin pekan Bagan Terap


Pekan Bagan Terap merupakan satu kawasan di daerah Sabak Bernam Selangor.  Terdapat sebuah masjid yang merupakan pusat kegiatan agama Islam dan komuniti masyarakat setempat.  Masjid al-Mujahidin telah dibuka dengan rasminya oleh Tuanku Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj ibni almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah al-Haj Atiqillah pada hari Jumaat 10 Syaaban 1412H bersamaan 14 Februari 1992.


Masjid al-Mujahidin boleh menampung hampir 1000 jemaah pada satu masa menjadi tumpuan umat Islam melakukan solat berjamaah setiap solat fardu.  Jumlah jemaah solat Jumaat dan sewaktu solat sunat Tarawih menjadi berpuluh-puluh kali ganda berbanding solat fardu lima waktu.

Menurut Setiausaha masjid En Khasmawai bin Saidon, sumber kewangan masjid yang utama ialah daripada sumbangan orang ramai.  Berdasarkan rekod kutipan bulanan, sumbangan ini melebihi RM1000.00 pada setiap bulan, selain mempunyai beberapa ekar tanah wakaf yang ditanam kelapa sawit.

Masjid ini mencatat sejarahnya sendiri pada bulan Ramadan tahun lepas (2010), dikunjungi oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj ibn almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj.  Baginda telah mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat jelata dan menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin.

Dari sudut pentadbiran, Masjid al-Mujahidin diterajui oleh Ustaz Ahmad bin Abdul selaku Pemangku Nadzir untuk sesi 2011/12.



Jumaat, April 29, 2011

MENYESAL kerna menjadi manusia!


AL-QURAN terkandung sejarah zaman lampau, juga gambaran masa depan di negeri akhirat kelak.  Untuk apa semua ini kepada umat Islam?  Tidak lain sebagai peringatan daripada sejarah dan ancaman nasib masa depan!

Mari kita perhatikan gambaran masa depan yang dinyatakan oleh Allah.  Gambaran ini suatu yang pasti berlaku dan satu ancaman paling besar kepada setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Maksud surah al-Hijr ayat 2:  Orang-orang kafir itu seringkali (kelak di akhirat) menginginkan sekiranya mereka dahulu (sewaktu di dunia) menjadi muslim.

Maksud surah  an-Naba ayat 40:  sesungguhnya Kami telah memberi peringatan kepada kamu (orang kafir) azab yanag dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya, dan orang kafir berkata  “Alangkah baiknya andai dahulu (sewaktu di dunia) aku menjadi tanah (sahaja).”

Maksud surah as-sajadah ayat 12: Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhannya (mereka merayu) “Ya Tuhan kami, (sekarang di akhirat) kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah (ke dunia) nescaya kami akan mengerjakan kebajikan.  Sesungguhnya kami sekarang telah yakin.”

Allah memaparkan imej manusia pada masa depan di akhirat semata-mata sebagai ancaman kepada kita yang membaca al-Quran, yang beriman pasti berlakunya hari akhirat sebagai medan pembalasan baik dan buruk.  Tentulah Allah mahukan mereka yang muslim (beriman kepada Allah dan rasul-Nya) bersiap sedia sewaktu di dunia ini lagi supaya tidak menjadi seperti orang-orang kafir dan ahli maksiat.  Orang-orang kafir dan ahli maksiat sebenarnya telah mendapat peringatan di dunia ini mengenai zaman pembalasan di akhirat, tetapi mereka memperolok-olok adanya zaman itu, atau mereka merasakan zaman pembalasan itu sebagai tidak sungguh-sungguh!

Lihatlah penyesalan mereka: Kalaulah mereka dahulu (di dunia) menjadi muslim.  Alanglah baiknya (di dunia) dahulu kami dijadikan tanah saja (bukan manusia yang dipertanggungjawabkan). Ya Tuhan, kembalikan kami ke dunia untuk melakukan kebajikan (kerja-kerja baik atau tidak melakukan dosa)!

Namun begitulah, al-Quran sudah beratus-ratus tahun memberi peringatan kepada manusia, khasnya yang muslim mengenai zaman pembalasan dan penyesalan orang-orang yang ingkar.  Sekalipun jelas ancaman dan nasihat ini namun  banyak yang muslim pun bagai tidak ada bedanya dengan mereka yang nyata ingkar atau kafir terhadap Allah.

Jika diperhalusi, nyata Allah juga menyatakan mereka yang berfikir untuk beriman dan bersedia mengenai zaman pembalasan itu merupakan golongan minoriti!  Ya, beruntunglah jika kita berada dalam kelompok minoriti yang akan mendapat sebaik-baik kelegaan di akhirat sana.