Pengikut

Sabtu, Mei 14, 2011

AKIBAT saf solat bengkok dan tidak rapat


SOALAN:
SAYA ingin mendapatkan penjelasan berkenaan peraturan susunan saf yang betul semasa solat jemaah seperti solat Jumaat. Saya perhatikan walaupun masih ada ruang di dalam dewan masjid atau kawasan bangunan masjid, ramai yang lebih suka berada di luar masjid dan kawasan bangunan masjid seperti di tepi longkang, jalan, pagar tempat letak kereta dan lain-lain yang jauh dan terputus dari saf dalam masjid.
Bukan sahaja saf demikian tidak bersambungan dari saf-saf lain tetapi juga syak dan tidak pasti kebersihannya tempat-tempat demikian. Juga adakah pahala berjemaah diperoleh dengan keadaan saf sedemikian?

JAWAPAN:
Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita.

Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata. Lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah SAW dan athar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan solat. (riwayat al-Bukhari, Kitab: Azan, Bab: Iqamah al-solah min tamam al-solah, no:723, Muslim, Kitab: al-solah, bab: taswiyah al-sufuf wa iqamatiha… no:973).

Hadis yang lain daripada Anas bin Malik: adalah Rasulullah SAW memalingkan wajah baginda ke arah kami (menoleh ke arah kami) sebelum baginda bertakbir seraya berkata: luruskan dan betulkan saf kalian. (al-Bukhari, Kitab:Azan, Bab: Taswiyah al-sufuf…,no:718, Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-sufuf…, no:975).

Dalam hadis yang lain, daripada al-Nu’man bin Bashir telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.” (Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-Sufuf…, no:978, Abu Daud, Kitab: al-Solah, bab: Taswiyah al-Sufuf, No: 663, al-Tarmidzi, Kitab: al-Solah, Bab: Ma ja fi iqamati al-Saf, no: 227.)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan”. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm: 443)

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Imam al-Nawawi. Beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika bersaf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati”.

Sementara Qadi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan, “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (iktidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai.

Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya”.

Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajipan.

Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jemaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Umar bin Khattab r.a. pernah memukul Abu Uthman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm:447).

Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian”. (al-Bukhari, no: 724)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas bahawa kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan saf dalam solat. Solat yang ditunaikan tanpa meneliti kepada kelurusan saf serta tautannya dengan saf-saf yang lain akan menyebabkan hilangnya fadilat solat berjemaah.

Yang paling malang ialah Allah SWT memalingkan wajahnya daripada golongan yang tidak mempedulikan kesempurnaan saf. Sedangkan solat itu ditunaikan untuk menghadap Allah SWT, komunikasi seorang hamba kepada penciptanya secara langsung, tapi malangnya Allah memalingkan Rahmat dan Kasih sayang-Nya.
Sekiranya saf yang dibentuk terputus dari imam tanpa sebarang punca atau alasan syarie, maka solat jemaahnya tidak sah. Lebih-lebih lagi masih ada ruang yang diisi di dalam dewan solat atau yang boleh menggabungkan antara saf-saf dalam masjid atau surau.

Adapun solat mesti dilaksanakan di tempat yang bersih, kerana salah satu syarat sah solat ialah mendirikan solat di tempat yang bersih dari najis. Masalahnya sekarang orang datang solat seperti melepaskan batuk di tangga, datang lewat, duduk tepi kereta atau longkang, bila iqamat mereka solat di mana dia suka dan senang untuk dia keluar. Mereka yang datang betul-betul untuk solat tidak akan buat begitu.

(sumber: utusan.com.my )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan