FITNAH yang difahami oleh masyarakat Melayu bukanlah sama seperti maksud fitnah dalam al-Quran. Maksud fitnah dalam al-Quran ialah bencana seperti permusuhan dan peperangan, tetapi erti fitnah dalam masyarakat Timur ialah tuduhan buruk atau sangkaan buruk yang tidak dapat dibuktikan.
Fitnah atau sangkaan buruk muncul kerana perasaan benci yang dalam. Sebaliknya, kalau perasaan berkasih-sayang, pasti antara sesama kita akan bersangka baik dan melindungi orang yang kita sayangi daripada keceluparan lidah kita. Kerana benci, mudah sahaja perasaan menjadi marah dan mudah pula pemikiran buruk membuat pelbagai andaian buruk semata-mata untuk memuaskan perasaan marah itu.
Perselisihan bisa saja berlaku di mana-mana. Dari ruang makan dalam sebuah rumah antara suami-isteri hinggalah ke Majlis Parlimen antara ahli-ahli politik. Semakin dalam jurang perbedaan pendapat, semakin terbuka untuk membuat sangkaan buruk kepada orang yang tidak disukai. Menambah-nambah sangkaan buruk terhadap orang yang dibenci, bertambah seronoklah perasaan hingga apabila melihat orang yang dibenci hidup merana dan sengsara, itulah kepuasan kepada yang lawannya. Pada dirinya, itu bukanlah satu fitnah, tetapi satu perkara yang diduga dan disahkan. Sebab itulah seseorang yang membuat tuduhan-tuduhan tidak merasakan dirinya sedang memfitnah atau melemahkan peribadi orang yang dibenci. Baginya, tindakan itu dianggap suci untuk menyelamatkan orang lain daripada terpengaruh dengan perangai buruknya.
Benarkan orang yang dikatakan buruk itu sesungguhnya buruk atau keji, dan yang menyatakan orang itu buruk adalah manusia yang sangat terpuji? Ini bukan mengkritik tindakan ahli-ahli politik yang senantiasa mempunyai musuh, yang sangat terbuka dengan agenda tuduhan-tuduhan. Antara suami isteri, atau dalam sebuah keluarga pun terdedah kepada andaian yang membawa tuduhan, yang asasnya ialah ‘kebencian’ terhadap seseorang. Seorang isteri yang sudah lesu menyayangi suaminya akan terdedah untuk buruk sangka terhadap aktiviti suaminya di luar rumah. Andaian-andaian tertentu itulah yang membawa fitnah terhadap suaminya. Begitu jugalah sebaliknya si suami kepada isteri.
Antara pendukung aliran agama juga terdedah kepada perbuatan buruk sangka. Puncanya perasaan benci terhadap orang-orang yang tidak sefahaman dalam beragama. Timbul perasaan megah atau bangga dalam diri sendiri, menganggap orang lain sebagai bebal, jahil dan sengaja tidak mahu mengikut alirannya yang sangat dipercayai benar atau sah. Maka timbullah pelbagai andaian buruk atau fitnah sesama orang yang memperjuangkan agama.
Apakah kedudukan fitnah atau buruk sangka di sisi Allah? Satu maksud firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12 sangat jelas mengenainya. “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan jangan antara kamu mengunjing (mengumpat) sebagian yang lain. Apakah ada antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah maha penerima taubat dan penyayang.”
Kita semua akan kembali kepada-Nya. Kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana.
I'm following you on googlefriendconnection!
BalasPadamGood luck!