Pengikut

Isnin, Mei 04, 2015

KEMPEN politik dan amal yang sia-sia

foto hanya hiasan

KATA ahli sejarah sistem demokrasi bermula pada ribuan tahun dahulu di zaman Yunani, di kota Athens. Seperti yang difahami orang zaman sekarang, demokrasi di Athens juga memberi ruang rakyat terlibat dalam pemerintahan.  Di negara kita, demokrasi merupakan warisan penjajah British. Malah sistem demokrasi berparlimen yang diadakan pilihan raya memilih wakil rakyat persis apa yang ada di Britain.

Parti politik memilih calon untuk bertanding dalam pilihan raya, mahu menjadi wakil ke Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).  Di situlah kuasa rakyat. Rakyat memberi undi untuk menentukan siapa wakil mereka. Di situlah rakyat diladeni sebaik-baiknya supaya mereka memberi undi. Di situlah calon wakil rakyat akan berbuat apa saja asalkan rakyat memberi undi kepadanya. Di situlah perkara baik dan buruk berlaku asalkan rakyat memilihnya sebagai wakil ke dewan mesyuarat Parlimen atau DUN.

Jadi apa masalahnya? Tidak ada masalah jika urusan berkempen atau mendapatkan sokongan tidak dinilai dari sudut agama.  Apabila sebilangan ahli politik dan pengikut-pengikutnya mendakwa berjuang dalam pilihan raya kerna Allah, tentulah hal ini satu yang baik.

Ada satu contoh mudah demokrasi telah menyebabkan muslim melakukan syirik dan amalnya menjadi sia-sia di sisi Allah. Artinya, kelak di akhirat tidak ada kesan baik. Tidak menjadi pahala sebagai modal baik pada hari semua amal ditimbang.  Lihat orang yang terlibat dalam proses mendapatkan undi sokongan secara sedar mesti mempamerkan ‘amal-amal kebajikannya’ sebagai bukti kepada rakyat.  Mereka bersolat dan menjadi imam pun dipromosikan supaya rakyat memilihnya yang dipotretkan berjiwa agama. Sejujurnya, katakan pada waktu kempen berkenaan calon-calon pergi ke rumah rakyat membawakan ole-ole. Adakah dalam hati tidak ada lintasan kata ‘ole-ole ini untuk kamu undi saya’.  Atau sebenarnya seperti dalam filem Madu Tiga P Ramlee, ‘baik ada makna tuu..’

Berbuka puasa, berdoa, solat, ziarah orang sakit, ziarah orang mati, beri bantuan keperluan hidup, memberi kata motivasi  dan apa juga sewaktu kempen pilihan raya itu benar-benar atas keikhlasan tanpa sebarang balasan atau memang ada niat mendapatkan undi supaya dirinya dipilih menjadi wakil rakyat?  Kebaikan-kebaikan itu  sebagiannya adalah ibadah khusus, yang lain sebagai amal soleh yang disukai Allah dan rasulnya.  Bagaimana semua itu dilakukan saat mengharapkan sokongan untuk berkuasa?

Lihatlah ayat akhir surah al-Kahfi (maksudnya), “Maka barang siapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia menyekutukan sesuatu dengan apa pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”   Amaran Allah jelas, jangan amal kebajikan disekutukan dengan sesuatu yang lain (mestilah bulat hanya kerna Allah).

Saya turunkan kupasan ayat ini daripada kuliah agama oleh seorang guru di masjid Al Abrar di desa saya. Sang guru menceritakan asbab turunnya ayat ini. Ketika  baginda Nabi s.a.w. memberitahu bahawa umat Islam di Madinah akan mengerjakan haji di Makkah, seorang sahabat yang berasal dari Makkah sangat gembira, kerna katanya dia sudah sangat rindukan kampung halamannya di Makkah.  Niatnya ialah apabila mengerjakan haji kelak, dapat juga pulang ke kampung asalnya bertemu ahli keluarga dan sebagainya. Lalu turunlah ayat 110 surah Al Kahfi itu!  Kata Sang Guru, niat haji yang disertakan  dengan pulang, maknanya ada tujuan lain, sudah tidak diterima, malah Allah kata syirik!


Berfikirlah wahai pengamal demokrasi.  Wallahu ‘aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan