Pengikut

Selasa, Mei 05, 2015

ANAK muda sifatnya antipemerintah

foto hanya hiasan

DUNIA maya menolong kita mendapat maklumat dan menyelami pengetahuan Islam seseorang. Tidak perlu melalui jawaban dalam peperiksaan , namun daripada catatan dan luahan rasa tasawur Islamnya dapat dikesan.

Hal ini menggambarkan seseorang mengetahui dan memahami Islam berdasarkan pembacaan,  pendengaran dan penglbatan aktiviti hidupnya.  Secara peribadi saya pernah melalui pengalaman yang serupa seperti yang dilalui oleh kebanyakan anak muda yang bersemangat mengenai Islam.  Maka jangan kaget jika ada yang mudah-mudah menjanjikan dirinya bakal mati syahid hanya setelah beberapa kali menghadiri ceramah politik.

Saya pernah mengenali Islam dari jendela politik sebuah parti berjenama Islam. Beberapa tahun pada usia remaja, yang dipasak ialah Islam merupakan undang-undang hidup yang wajib dilaksanakan oleh pihak berkuasa.  Apabila pihak nonpartisan (pula) membawa saya  dalam satu majlis yang khalayaknya dipisahkan antara lelaki dan perempuan, saya terpegun dan berkata sendiri, ‘sepatutnya arahan pemisahan lelaki dan perempuan datangnya dari pihak berkuasa, bukan komuniti kecil kira-kira 15 orang’. 

Sejujurnya pemahaman saya waktu itu bahawa ucapan dan tuntutan supaya Isam dilaksanakan hanyalah sebagai ‘alat mendesak dan mengenakan’ atau bahan debat mencari salah pihak berkuasa, bukannya Islam untuk diamalkan bermula dari diri sendiri.  Itulah akibat seronok melihat pihak lain dipersalahkan disebabkan tidak menuruti ajaran Islam.

Maka tidak hairan apa yang saya alami 30 tahun dahulu dialami pula oleh generasi anak-anak saya. Tidak banyak perbedaan sepanjang 30 tahun terakhir ini jika memasuki Islam melalui jendela politik. Semuanya masih sama: sistem, status-quo pemerintah dan pembangkang, hujah-hujah antara pemerintah dan pembangkang….klise. Bagi anak muda sekarang, itu adalah permulaan sebagaimana saya dahulu, dan bagi saya kini semua itu adalah kebosanan!

Terlalu sukar mengubah pemikiran seseorang anak muda yang panas dengan idealismenya, sebagaimana susahnya saya dahulu menerima pendapat lain yang juga dikatakan gagasan Islam. Anak muda sentiasa meletakkan pemahamannya sebagai standard kebenaran, bukan al-Quran dan sunah walaupun mereka pernah berkali-kali mendengar ‘yang tertinggi adalah al-Quran dan Sunah’.

Puncanya, yang dewasa dan faham Islam ada kepentingan tertentu, sentiasa mengeksploitasi semangat tinggi anak muda (tetapi jahil agama).  Orang dewasa itu, tentulah dengan menampilkan watak orang beragama yang benar sentiasa memberi pengesahan kepada sikap dan tindakan anak muda sebagai jalan Islam.  Anak muda menjerit di jalanan, dikata berada di jalan Islam. Anak muda mencela pemerintah disahkan sebagai tindakan perjuangan suci. Anak muda menggelar orang yang tidak sefikiran dengan mereka sebagai munafik, diberi keabsahan anak muda yang beriman dan bertakwa.  Malangnya jiwa-jiwa muda ini tidak berani menjawab saranan-saranan al-Quran dan sunah (sedangkan mereka mendakwa yang peraturan tertinggi adalah al-Quran dan hadis nabi).

Mengapa susah sangat hendak mengesahkan sikap kita sebagai muslim yang beriman adalah dengan mudah ‘dengar dan patuh’ terhadap wahyu Allah. Sila rujuk sendiri Surah An-Nur ayat 51.  Sengaja saya tidak menuliskan maksud ayat itu, supaya orang membuka al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan