PANDANGAN Sifu Abdul Naser seorang pendakwah
keturunan Cina dalam akhbar Sinar harian mengenai wanita tidak bertudung dan
kerja dakwah tentu saja dipandang dengan rasa kaget. Beliau sendiri mengakui
hal itu. Tanpa disedari, kempen supaya wanita muslim bertudung sebagai mematuhi
perintah Allah dalam surah an-Nuur ayat 31 telah membawa
pemikiran baru: Wanita muslim tak bertudung tidak sempurna keislamannya!
foto hiasan |
Sebaik mana pun wanita muslim jika belum bertudung
kepala, dilihat dengan sinis dan mesti ada seruan kepadanya agar bertudung
dahulu sebelum bercakap atau melakukan kerja-kerja kebajikan.
Selincah mana dan secelupar mana pun mulut artis wanita
muslim, jika dia sudah bertudung kepala dia diterima sebagai artis wanita yang
sudah berhijrah di jalan Allah.
Setinggi mana pun jawatan seseorang dalam hirarki
kepemimpinan, jika isteri atau anak-anak perempuannya tidak bertudung kepada,
dia tetap dianggap seorang yang gagal kerana tidak berjaya memimpin isteri dan
anak perempuannya menjadi wanita solihah.
Dalam segmen agama pun, contoh yang sering diberi
bagi menggambarkan keingkaran terhadap hukum Allah ialah wanita muslim
mendedahkan rambutnya.
Mudahnya, asalkan bertudung kepala seakan-akan
semua hal pada wanita muslim itu dikira beres.
Disebabkan premis pandangan begitu, kaum wanita semua golongan dan
peringkat usia menjadikan pemakaian tudung kepala satu kemestian. Pakaian pada
badan dan bahagian kaki, kemudian. Yang utama dan mesti ialah pemakaian tudung.
Akibatnya, pemakaian tudung kepala sudah menjadi
salah adat dan satu seni busana wanita Melayu Islam. Dengan tidak menafikan
sebagian mereka memakai tudung kepala menepati syarat ayat 31 surah an-Nur,
yang lainnya bertudung kepala kerana adat dan seni.
Yang dikehendaki dalam agama ialah melabuhkan
pemakaian tudung kepala sehingga ke bahagian dada. Ini bererti busana itu bertujuan
menyembunyikan subjek-subjek wanita
muslim yang sering menjadi perhatian lelaki. Tentulah warnanya juga yang tidak
mengundang perhatian lelaki yang sifat asalnya memang mudah tertarik pada
wanita. Bentuk tubuh wanita, paras
wajah, cara pergerakan dan percakapannya sangat mudah menarik perhatian
lelaki. Hal-hal itulah yang mahu dijaga
oleh Islam.
Dengan itu busana bertudung yang bersendikan adat
dan seni busana moden ialah yang berikut:
Berwarna terang dan berkerlipan.
Hanya menutupi bahagian kepala, iaitu tidak melabuh sehingga
bawah dadanya.
Pemakainya memakai pakaian berlengan pendek dan berseluar
panjang yang ketat.
Si pemakai tidak membatasi pergaulan dengan mana-mana lelaki.
Maksudnya dia perempuan tetapi bergaul dengan lelaki sebagaimana lelaki bergaul
dengan lelaki.
Catatan ini bukan pula meminta wanita muslim yang
bertudung kepala disebabkan desakan masyarakat, tuntutan adat atau arus fesyen
semasa…… menanggalkan tudung kepalanya. Tidak. Catatan ini untuk pembaca
berfikir dan menilai jalan kehidupan masing-masing, sama ada kian menepati
perintah Allah dan rasul-Nya atau masih jauh lagi.
Catatan itu tidak juga memberi merit dan memuji
wanita muslim yang tidak memakai tudung kepala disebabkan tidak mahu bersifat
munafik, iaitu memakai tudung kepala yang bukan memenuhi perintah Allah. Mungkin ada yang berfikir, ‘lebih tidak
bertudung kepala kerna bertudung pun dikritik orang’.
Penulis ini tetap menghargai wanita muslim yang
melakukan amal kebajikan oleh mereka yang bertudung labuh, yang bertudung
singkat dan tidak bertudung pun. Penulis
ini tidak menolak kebaikan-kebaikan sama ada kata-kata atau hasil kerja oleh
mereka yang tidak bertudung. Teruskanlan amal-amal salih yang sedia dilakukan.
Setelah Allah memberi maklumat atau ilmu, muslim
memilih untuk hanya percaya, percaya tanpa melakukan dan percaya penuh
keyakinan (melaksanakan), akhirnya kita serahkan semua kepada Allah. Ada ayat al-Quran yang menyatakan ‘Allah
tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya’ (ayat 286
surah al-Baqarah). Oleh itu kita
menerima peribadi sahabat dan saudara muslim kita secara zahirnya dan bersangka
baik bahawa dia mematuhi juga pilihan yang diberi oleh Allah seperti dalam ayat
di atas. Kejujuran dan kata hatinya itulah yang Allah tahu dia sebenarnya hanya
mampu sekadar itu atau sebaliknya.
Wallahu ‘aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan