ADA beberapa golongan dalam kalangan umat Islam
memberi maklum-balas berkaitan
hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. sebagai sumber kedua hukum atau syariat
Islam.
Pihak pertama, ialah yang mengambil hadis-hadis
yang sahih atau tepat sebagai ucapan atau pengesahan daripada Nabi s.a.w.
Selain ucapan baginda, hadis juga berkenaan para sahabat yang menceritakan
hal-hal Nabi s.a.w. Pihak ini meneliti
status sesuatu hadis sebelum mengambil hadis berkenaan sebagai sumber hukum
kedua. Hadis-hadis yang dikategori sebagai
palsu atau daif dipinggirkan atau tidak dijadikan sumber hukum.
Pihak kedua ialah menerima apa saja hadis Nabi
s.a.w. sebagai sumber hukum kedua selepas al-Quran. Pihak ini kurang membuat penelitian status
sesuatu hadis atas sebab tiada yang pakar.
Mereka juga tidak mahu ada kekeliruan dalam masyarakat apabila sesuatu
amalan atau hukum yang telah mantap diamalkan ditolak kerana bersumberkan hadis
daif atau palsu. Pihak ini boleh mengambil mana-mana hadis sebagai panduan
tanpa mengira statusnya.
Pihak ketiga ialah yang menolak sepenuhnya hadis
sebagai sumber hukum dalam syariat Islam.
Mereka hanya menerima al-Quran sebagai hukum dalam Islam. Bagi mereka hadis merupakan cerita rekaan
yang disabitkan kepada Nabi s.a.w. dan punca perpecahan umat Islam hari ini.
Sumber pertama hukum iaitu al-Quran ada menjelaskan
kedudukan Rasulullah atau Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penjelas hukum-hukum
dalam al-Quran. Malah Allah telah memberi jaminan bahawa penjelasan hukum
baginda Nabi s.a.w. bukanlah atas kehendak peribadi Nabi s.a.w. sebagai manusia
biasa, malah keabsahan daripada Allah.
Maksud ayat 65 surah an-Nisa’: Maka demi
Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad)
sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian
tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang engkau berikan,
dan mereka menerima sepenuhnya.
Maksud ayat 80 surah an-Nisa’: Sesiapa yang mentaai Rasul (Muhammad) maka
sesungguhnya dia telah mentaati Allah.
Dan sesiapa berpaling (daripada ketaatan itu) maka (ketahuilah) Kami
tidak mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi pemelihara mereka.
Maksud ayat 20 surah al-Anfal: Wahai
orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, dan janganlah
kamu berpaling daripada-Nya, padahal kamu mendengar (perintah-perintah-Nya).
Maksud ayat 51 surah Al-Nuur, Sesungguhnya
perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak
kepada kitab Allah dan sunah Rasul-Nya sebagai hakim memutuskan perselisihan antara mereka, mereka
berkata ‘kami dengar dan taat’. Mereka
itulah orang-orang yang mendapat kejayaan.
Hadis-hadis adalah sebagai penerang kepada hukum
dalam al-Quran. Beberapa ayat al-Quran menyatakan solat, namun tiada penjelasan
kaedah solat itu dilakukan. Oleh itu
Nabi s.a.w. telah mengajarkan kepada umatnya cara-cara melakukan solat. Sangat masyhur ucapan baginda berkenaan solat
(maksudnya), “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (Riwayat
al-Bukhari). Daripada itu
ditemukan hadis-hadis sahih bagaimana bermulanya baginda melakukan solat hingga
akhirnya, termasuk bacaan-bacaan pada setiap kedudukan diri dalam solat.
Oleh itu penerimaan hadis sahih menjadi satu
kewajiban kepada umat Islam sebagai sumber hukum dalam agama. Daripada hadis-hadis sahih inilah disimpulkan
sebagai sunah Nabi s.a.w. atau perjalanan hidup nabi.
Menjadi satu kemestian pula wujud kalangan
cerdik-pandai Islam menyaring kedudukan hadis-hadis yang banyak. Kerja ini
untuk memastikan hanya hadis yang sahih menjadi panduan umat, manakala hadis
palsu dan daif diasingkan ke tempat lain.
Penyaringan ini mesti dilakukan kerna besar dan panjangnya sejarah umat
Islam sejak kewafatan baginda Nabi s.a.w., yang menyaksikan wujud golongan
sengaja mencipta ayat pilihan untuk kepentingannya, tetapi disandarkan sebagai
kata-kata baginda Nabi s.a.w.
Kesimpulannya, hadis sahih adalah sumber kedua
hukum selepas al-Quran. Umat Islam mestilah hanya menerima hadis yang sahih
untuk mengekalkan ketulenan dan kesegaran ajaran Islam.
w.a.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan