Pengikut

Selasa, Januari 06, 2015

MAULIDUR-Rasul: cemburu sang suami

Maulid nabi di Jawa Tengah

SETIAP kali sambutan Maulidur-rasul kita diseru mencintai baginda Rasulullah dan mengamalkan sunahnya. Mencintai Rasulullah bermakna sayang kepada diri, peribadi dan kata-kata baginda. Mengamalkan sunah Rasululah bermakna menggunapakai jalan ibadah dan prinsip hidup yang dilalui oleh baginda. Ibadah memang kena ikut baginda Nabi seratus peratus, manakala bab kehidupan atau keduniaan kita tidak diikat seperti kepatuhan dalam ibadah.

Maksud satu hadis sahih. Menurut A’isyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “jika sesuatu itu termasuk urusan dunia kamu, maka uruslah ia. Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah)

Ini kisah suami sayangkan isterinya.  Si suami sentiasa menunaikan kehendak si isteri disebabkan sayang. Isteri pun faham, tidaklah pula sengaja meminta yang bukan-bukan atau yang menyebabkan suaminya susah menunaikan permintaannya. Jadi bertambah kasih si suami kepada interinya. Beberapa lama kemudian tanpa diduga si isteri tersua rakan sekolahnya. Rakan sejak sekolah rendah hingga sekolah menengah. Dia lelaki. Si lelaki ini pun faham wanita itu isteri orang. Si perempuan pun tahu kedudukannya sebagai isteri yang dikasihi suami. Suaminya pun tahu sejarah mereka, dan percaya tidak berlaku keburukan hubungan antara kedua-duanya.

Jika tersua di kota kedua-duanya hanya bersapa dan bertanya khabar. Tetapi ada kalanya lelaki itu berdiri di depan pagar rumah perempuan itu, sekadar bertanya khabar dan perkembangan semasa. Ada kalanya peristiwa di depan pagar rumah sewaktu suami di rumah atau tidak di rumah. Sekadar itu saja.  Jujur cerita, tidak ada hubungan ‘asmara’ antara perempuan berstatus isteri dengan mantan rakan sekolahnya.

Lama-lama si suami rasa tidak enak juga dengan kelakuan teman isterinya.  Walaupun kekadar bersapa dan berbasa-basi biasa di depan pagar rumah.  Suami yang sayangkan isteri pastilah cemburu. Cemburu, tidak mahu isterinya sebagai intan payung dalam hidupnya ‘diusik’ lelaki lain sekalipun dalam hatinya yakin hubungan mereka bukan ada hal asmara-cinta.  Malah dengan jujur hatinya tahu dan yakin peribadi lelaki itu tidak akan melakukan khianat terhadap dirinya sebagai suami kepada mantan rakan sekolahnya.

Hati suami tetap cemburu dan gelisah. Mudah cakap, dia tidak mahu ada lelaki itu melintas atau berhenti di depan pagar rumahnya!  Tidak mahu kehidupan isterinya diceroboh atas nama apa pun oleh seorang lelaki. Tidak, demi kasih sayang terhadap isterinya.

Bandingkan kita yang menyatakan cinta kepada baginda Nabi s.a.w. dan mahu menjalani sunahnya, adakah perasaan cemburu terhadap pencerobohan terhadap sunah nabi kita?

Pencerobohan terhadap sunah Nabi ialah rekaan-rekaan perkara agama yang tidak tidak berlaku pada zaman hidup Nabi s.a.w. Jelasnya, baginda Nabi s.a.w. tidak mengajarkan bentuk, tatacara atau konsep ibadah sebegitu, tetapi orang-orang yang hidup selepas kewafatan Nabi s.a.w. (termasuk zaman kini).  Ibadah rekaan itu bertujuan menambah rasa pengabdian hamba kepada Tuhannya, sama seperti konsep ibadah yang tulen daripada Nabi s.a.w. Itulah bid’ah yang menyalahi sunah Nabi kita.

Perkara bid’ah telah disebut sebagai salah satu wasiat Nabi s.a.w.

Dalam satu hadis sahih, menurut ‘Irbadh bin Sariyah (maksudnya): Rasulullah mengimami kami solat Subuh, kemudian baginda berpaling ke belakang dan menghadap kami, lalu baginda menasihati kami dengan nasihat yang mendalam sehingga menitiskan air mata dan menusuk hati. Kami berkata, “wahai Rasulullah, nampaknya ini seperti nasihat perpisahan. Berwasiatlah kepada kami.”
Baginda s.a.w. pun bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah, taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun pemimpin kamu seorang hamba abdi berkulit hitam. Sesiapa antara kamu yang masih hidup setelah ketiadaanku, dia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu, kamu hendaklah berpegang teguh kepada sunahku dan sunah khulafa al-rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan geraham (amalkan sunah dengan kuat).  Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara baru, kerna setiap perkara baru itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”
(Riwayat Abu Dawud)

Kata Imam al-Syatibi dalam kitab al-I’tisom yang memberi maksud bid’ah, “jalan yang direka dalam agama, yang menyerupai syariah. Tujuan mengamalkannya adalah untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.”

Bid’ah adalah pencerobohan dalam sunah Nabi s.a.w. Seperti cerita kasih sayang suami-isteri di atas, kehadiran seorang lelaki adalah pencerobohan kedamaian cinta  suami isteri itu. Si suami cemburu dan mahu lelaki itu menjauhi isterinya.  Bagi kita kaum muslim yang cintakan nabi dan menjalankan ibadah menurut sunah, pastilah cemburu dengan kehadiran bid’ah di mana-mana juga ruang ibadah.  Muslim pasti mahu bid’ah menjauhi ibadah kita.


Jika kita tidak cemburu dengan bid’ah dalam ibadah, sama seperti suami yang tidak cemburu isterinya dihadiri seorang lelaki!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan