BANJIR adalah rutin tahunan rakyat, bukan satu
anjakan untuk pemikiran. Agaknya itulah
respon yang sesuai apabila cadangan kerajaan campuran Pas-BN di Kelantan
ditolak mentah-mentah oleh pemimpin kedua-dua pihak. Setiap kali banjir memang ada yang mati, sama
seperti setiap hari ada yang mati akibat kemalangan di jalan raya. Setiap kali
banjir ada kemusnahan. Kerajaan negeri dan persekutuan ada peruntukan untuk
disalurkan kepada rakyat. Itu semua telah difahami, jadi tidak ada sebab banjir
boleh mengubah pemikiran pemimpin dan rakyat.
Malah banjir menjadi satu lagi peluang untuk
berpolitik atau meneruskan persaingan siapa paling hebat berkuasa.
Tuduh-menuduh dan bangga-membangga bagi ahli-ahli politik dan pengikut mereka
sentiasa ada. Itulah antara rutin
banjir, sekalipun banjir kali ini dikatakan sangat dahsyat berbanding
tahun-tahun sebelumnya.
Yang menderita dan kerugian besar adalah rakyat,
bukan pemimpin dan pengikut tegar mereka. Semua pemimpin politik desa, daerah, negeri
dan negara adalah orang yang banyak wang.
Rumah mereka kukuh dan besar. Mereka tidak tinggal di kawasan tadahan
banjir. Sebab itu yang melarikan diri ke bukit, yang terperangkap di pusat
pemindahan dan kelaparan adalah rakyat biasa.
Kalaulah benar ada antara pemimpin politik yang menderita sama seperti
rakyat, sudah lama menjadi hebahan umum dan cerita-ceritanya diguna untuk
menaikkan imej dirinya, di samping mengutuk lawannya.
Maka tidak ada pemikiran ahli politik Melayu-Islam untuk
bersatu disebabkan membangunkan sebuah negeri Melayu!
Sebenarnya tanpa banjir pun bagi rakyat biasa sudah
lama mahukan parti politik Melayu-Islam bersatu. Rakyat tidak mendapat laba
yang besar sekalipun orang atau parti
yang diundinya menang pilihan raya.
Gajinya tidak naik disebabkan parti politik. Soal pembangunan di
sekitaran, semua sudah faham bahawa mana-mana pihak yang menang mesti
bertanggung jawab melaksanakan amanah itu.
Bukan sebab kalau parti itu kalah maka tidak ada liputan internet atau
diputuskan bekalan elektrik.
Yang hendak menjana harta dan mengukuhkannya ialah
ahli-ahli politik. Apabila dirinya menang menjadi wakil rakyat, banyak peluang
berharta lebih berbanding sebelumnya. Bukan menuduh wakil rakyat menjana pendapatan
haram. Hakikatnya dengan menang sebagai ahli politik, dia boleh dilantik ke
jawatan-jawatan berelaun tinggi. Menjadi pengerusi syarikat kerajaan dengan
elaun puluhan ribu ringgit, siapa yang menolak!
Sebab itu dalam partinya saja pun mereka saling bersaing dan
jatuh-menjatuh. Siapa menang dia
mendapat banyak laba.
Oleh itu untuk dua parti yang selama ini berkerat
rotan dan berpatah arang bersatu atau berkongsi segala-galanya adalah sangat
tidak munasabah. Adakah mudah mereka
yang sudah ada kedudukan dan laba dalam kerajaan negeri atau persekutuan melepaskan
jawatan itu untuk diserahkan kepada pemimpin parti yang selama ini sangat dimusuhinya.
Jadi fahamlah, bahawa kebanyakan ahli politik itu
bukanlah berjuang ikhlas hati kerana menyahut seruan Allah atau melaksanakan
agenda rakyat. Allah menyeru orang bersatu, dan saling memaafkan. Ahli politik
putar sana-sini. Rakyat mahu pemimpin bersatu, ahli politik ada agenda lain.
Bagi pemimpin politik, tanpa persatuan parti-parti
Melayu-Islam pun rakyat dapat hidup dan tidak kelaparan. Jadi mahu apa lagi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan