MOTORSIKAL kuasa tinggi bertembung dan terbakar. Dua penunggangnya maut dan salah satunya terbakar hidup-hidup dalam kebakaran motorsikal itu! Ini baru berita kemalangan. Hari-hari ada kemalangan maut, tetapi sudah 'klise'. Kemalangan di Karak Pahang seakan-akan sempurna sebagai satu berita kemalangan maut. Tunggu, selepas ini Menteri Pengangkutan akan memberi ulasan. Apakah tindakan kementerian selepas ini?
foto hiasan |
satu pengajaran kepada yg mahu berfikir |
Bagi saya menunggu respon kementerian berkenaan ada sebabnya. Selama ini pengguna lebuh raya dan jalan raya biasa hanya merungut apabila 'diserbu' motorsikal kuasa tinggi. Kenderaan ini digunakan untuk melanggar peraturan dan 'menganjing' penguna-pengguna jalan yang tidak mampu beraksi seperti mereka. Lihat plat nombor pendaftarannya, ikut standardkah? Motorsikal ditunggang selaju perlumbaan di litar lumba Sepang di atas jalan yang had lajunya 90km/jam! Pernah mereka dikenakan saman? (had laju di Karak ialah 90km/jam).
Apabila mendengar kemalangan maut motorsikal itu, saya pun sedih atau simpati. Namun sedikit di hati berkata, 'padan muka kamu!'
Motorsikal kuasa tinggi bukan dibeli oleh penjual sayur di Pasar Tani. Harganya puluhan ribu ringgit. Khabarnya sekumpulan penunggang yang berkonvoi itu berasal dari Lembah Kelang dan pergi bersarapan di Hutan Lipur Lentang. Setelah sarapan bergerak kembali ke KL (?) dan terkena nasib malang. Begitulah aktiviti orang kaya.
Pada zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pernah orang kaya yang memiliki kenderaan kuasa besar seperti kereta dan motorsikal meminta had kelajuan di lebuh raya dinaikkan daripada 110 km/jam kepada 150 km/jam. Alasannya enjin kenderaan mereka direka khas untuk dipandu laju sedangkan had laju jalan di Malaysia standard 'kereta lembu'. Begitulah kehendak orang kaya. Mereka mahu undang-undang yang memihak dirinya, bukan kepada semua pengguna. Mereka hanya fikir kepuasan nafsu buasnya di jalan raya! Mujur Allah memberi petunjuk kepada PM, yang menolak gesaan mereka dengan berhujah 'kelajuan akan membunuh'.
Kepada pengguna yang mematuhi had laju, tak apalah jika ada yang menghina dengan menunjukkan gambar 'kereta lembu'. Hakikatnya mereka mematuhi peraturan untuk kesejahteraan diri dan pengguna-pengguna lain. Dan bagi pihak kerajaan syukurlah kerna menunaikan amanah memerintah yang menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat termasuk ketika di atas jalan raya.
Saya pun tidak mahu ada kemalangan maut seperti itu lagi.Namun jika perangai orang kaya berkenderaan kuasa tinggi tidak berubah, biarlah berlaku lagi kemalangan antara mereka dan lagi. Cuma harapannya tidaklah melibatkan sama sekali pengguna jalan yang 'biasa' saja. Apa nak buat, nasihat supaya membeli kenderaan yang sesuai dengan undang-undang tidak diendahkan, biarlah kenderaan mereka sendiri menasihatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan