Pengikut

Jumaat, Oktober 24, 2014

HIJRAH: Sepatutnya muslim paling hebat bukan hampas


DALAM sunatullah, makhluk Allah bumi, bulan, matahari dan banyak lagi planet di jagat raya berputar, maka hadir semula tanggal 1 Muharam. Kita sebut Maal Hujrah.  Hari pertama dalam bulan pertama kalendar Hijrah. Seperti biasa, kita cuti umum satu negara dan  ada majlis di beberapa peringkat. Kemuncaknya ialah perisytiharan tokoh Maal Hijrah.

Dalam ceramah selalunya dikenang zaman penghijrahan Nabi dan umat Islam dari Makkah ke Madinah. Rupa-rupanya peristiwa hijrah itu membawa zaman cemerlang dalam Islam sehingga khalifah Umar al-Khattab mengisytiharkan tahun hijrahnya Nabi dan umat Islam itu sebagai permulaan tahun dalam kalender Islam.  Maknanya pada 25 Oktober ini bersamaan dengan 1 Muharam 1436 Hijrah. Untuk rekod, semua negara sepakat 25 Oktober ini bersamaan 1 Muharam tanpa berselisih seperti tarikh 1 Ramadan, 1 Syawal dan 1 Zulhijah. Mengapa tidak berselisih pendapat? Sebabnya, kita umat Islam memang ‘wajib’ berselisih dalam urusan ibadah! 1 Muharam tidak ada penetapan ibadah khusus, tidak ada. Maka semua bersatu.

Ada hadis Nabi menyatakan tidak ada lagi hijrah selepas penghijrahan Nabi dan umat Islam ke Madinah.  Oleh itu para ilmuan Islam berijtihad bahawa kalau ada hijrah atau perpindahan dalam kalangan umah ialah perpindahan daripada yang buruk kepada yang baik.  Kalaulah semua generasi sejak dahulu benar-benar menghayati dan melakukan hijrah daripada yang buruk kepada yang baik, hari ini umah satu dunia berada pada tahap gilang-gemilang. 

Sepatutnya catatan sejarah hari ini ialah segala imej yang positif dipegang oleh umat Islam. Komuniti masyarakat paling bersih, ialah masyarakat Islam. Negara paling kurang rasuah mestilah dijuarai Indonesia sebab negara itu memiliki jumlah umat Islam terbanyak di dunia. Negara yang paling maju dalam sains dan teknologi, tentulah negara Pakistan, Bangladesh dan Mesir. Negara-negara ini antara jumlah penduduk Islamnya melebihi 100 juta atau majoriti dalam negara berkenaan.

Mengapa begitu? Sebabnya sangat mudah. Bahawa umat Islam mendakwa mempunyai buku manual panduan hidup paling benar iaitu al-Quran. Umat Islam tidak mengiktiraf kitab Bible sebab dikatakan sudah ditokok tambah, maka al-Quran saja yang masih tulen.  Sebab kedua, ialah sikap yang ‘sewajibnya’ melakukan perubahan daripada buruk kepada baik atau daripada kurang baik kepada terbaik. Setiap tahun diulang supaya umah berubah.  

Setelah lebih 1000 tahun, mustahil umat Islam sedunia masih dalam jumud, miskin, jahil, sarang wabak penyakit, paling mundur pemikiran sainsnya dan 1001 imej busuk!  Namun jika kesemua itu yang berlaku jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa yang tidak menganut Islam, janganlah menyalahkan bangsa-bangsa berkenaan.  Jangan salahkan British, Belanda, Portugal dan Sepanyol yang menjajah umat Islam hingga dikatakan mundur.  Salahkan diri sendiri. Salahkan perangai buruk sendiri. Salahkan kemalasan sendiri. Salahkan diri sendiri yang suka cakap besar. Salahlah sikap semberono dan tidak ada tolak ansur.  Salahkan sikap suka mengambil keuntungan atas nama agama.

Siapa yang selalu bangun tidur lewat dan tahu kebaikan bangun awal, sila bangun awal pagi-pagi esoknya.  Siapa yang masih merokok dan tahu  keburukan merokok, berhentilah merokok. Siapa yang tahu malas bekerja menyebabkan mundur dan miskin, berubahlah jadi rajin. Siapa yang tahu berbual kosong di kedai kopi hanya membuang masa, bangunlah membuat kerja-kerja yang membawa faedah. Siapa yang sedar ilmu dalam pekerjaannya rendah, belajar lagi.

Sebenarnya terlalu banyak peluang dan ruang untuk kita sebagai umat Islam berubah, jika mahu berubah. Kita sedar banyak keburukan yang selama ini dipegang, maka berubahlah.  Tidak perlu menunggu orang lain untuk sama-sama berubah, biar dilakukan sendiri. Masyarakat kita perlukan contoh atau teladan baru mahu berfikir.  Selagi tidak ada orang yang sanggup menjadi contoh di tengah-tengah masyarakat, selagi itulah kebanyakan masyarakat kita tidak mahu berubah pemikirannya. Jika pemikiran pun tidak berubah, jangan haraplah ada perubahan fizikal.


Yang sedar dan mahu berubah, ayuh berubah. Tuhan tidak mensia-siakan setitis hasil  kerja baik hamba-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan