PROF DR HAMKA dalam bukunya Dari
Perbendaharaan Lama menulis beberapa bab berjudul Dongeng Kaum Sufi
Mendewakan Raja. Maksud beliau ialah para jurutulis d iistana telah secara
sengaja menulis cerita-cerita luar biasa atau pelik sebagai cara menggambarkan
raja-raja alam Melayu sangat hebat.
Misalnya asal-usul keturunan raja Melaka bukan sahaja dari raja agung Iskandar
Zulkarnain malah telah melalui zaman nenek moyangnya yang hidup di dua alam:
Alam muka bumi dan lautan. Dari dasar laut muncullah putera-putera raja yang
menjadi nenek moyang pula kepada raja-raja Melayu.
dari filem Laksamana Bentan |
Dalam buku Sejarah Melayu misalnya penulis telah
menggambarkan kehebatan Raja Melaka berbanding Raja China. Raja China
diberitakan mendapat sakit gatal seluruh badan dan tidak ada satu tabib yang
berjaya mengubatinya, sehinggalah ditemukan ubatnya iaitu air basuh kaki Raja
Melaka. Maknanya sehebat-hebat Raja China, ubatnya ialah air basuh kaki seorang
Raja Melayu. Raja Melayu Melaka jauh lebih hebat berbanding raja negara China
yang dikatakan punya empayar besar dan penduduknya sudah puluhan juta orang.
Dalam filem Laksamana Bentan yang
merupakan filem sejarah digambarkan mengenai tulah atau bencana yang
menimpa sesiapa saja yang menderhaka kepada raja Melayu. Laksamana Bentan (asalnya dari pulau Bentan)
telah menikam Sultan Mahmud kerana menuntut bela atas hukuman bunuh yang
diterima isterinya. Sultan Mahmud yang
parah tidak perlu menyuruh pengawal membunuh Laksamana yang menderhaka,
cukuplah dengan menyumpah “mulai hari ini anak Bentan yang menjejak kaki di
bumi Johor akan muntah darah!” Dan Laksamana itu pun muntah darah lalu mati
sebagai penderhaka yang hina kepada masyarakat Melayu zaman itu.
Mitos atau hujah dongeng sebati kepada raja-raja
Melayu dan bangsa Melayu. Rakyat Melayu
percaya raja Melayu ada ‘daulat’ dan sesiapa yang ingkar atau berkhianat kepada
baginda akan mendapat nasib seperti Laksamana Bentan itu.
Dengan dongeng perasan ada daulat itulah anak-anak raja
Melayu zaman dahulu telah bekerjasama (istilah Arabnya Tahaluf Siyasi) dengan
bangsa Inggeris atau Belanda untuk mendapatkan kuasa. Anak-anak raja ini tahu
kekuatan fizikal bangsa Eropah berbanding ilmu kepahlawanan bangsa Melayu,
tetapi tetap percaya banga Eropah pasti akan tunduk hormat dan menerima apa
saja arahan raja Melayu yang berdaulat, yang bertakhta di negerinya. Itu yang berlaku kepada Raja Abdullah secara
mudah menerima perjanjian Pangkor 1874 walaupun dengan terang British menarik
sebagian besar kuasanya sebagai raja. Baginda memerintah seperti raja-raja
zaman dahulu yang percaya dirinya penuh kehebatan di mata orang asing. Baginya
tentu Andrew Clark dan Kapten Speedy akan tertunduk dan duduk bersimpuh kalau
pun tidak muntah darah!
Malangnya semua kekebalan, kehebatan dan kesaktian
yang menyebabkan semua bangsa asing akan melutut kepada baginda hanya dongeng
atau khayalan. Maka selepas negeri Perak, satu persatu negeri Melayu dikuasai
British dengan cara yang cukup licik tanpa sedikit pun menggunakan cara Si
Laksamana Bentan di neger Johor. Dan
jelas setelah semua kuasa raja tinggal sejemput tidak ada tulah atau bencana
yang terkena kepada pegawai-pegawai British atau Eropah yang berkhianat kepada
baginda.
Setelah raja-raja tidak lagi di pentas politik,
tinggallah bangsa Melayu sendiri yang berpolitik menentukan kuasa
pemerintahan. Rupanya ahli-ahli politik
Melayu zaman internet ini pun masih percaya mitos atau dongeng kehebatan bangsa
Melayu dalam kalangan bangsa-bangsa lain di muka bumi. Sekurang-kurangnya, mereka sangat percaya
bahawa tidak kira apa yang berlaku, kuasa pemerintahan negara sentiasa kekal di
tangan bangsa Melayu. Maknanya, sehebat mana kepandaian dan penguasaan ekonomi
oleh orang Cina dan India, mereka tidak akan mengambil alih kuasa pemerintahan
negara. Ketua-ketua kaum berkenaan pasti
akan sentiasa meminta ketua-ketua orang Melayu menjadi Perdana Menteri dan
menteri-menteri utama. Agaknya dipercayai mana-mana ketua kaum bukan Melayu
yang berniat menjadi PM, MB atau kedudukan yang tinggi akan muntah darah!
Jadi pemimpin Melayu dalam Umno pun boleh berbuat
apa saja dengan kuasanya. Pemimpin Melayu dalam Pas dan PKR pun boleh berpakat
dengan sesiapa saja (seperti Raja Abdullah berpakat dengan Andrew Clarke) untuk
merebut kuasa pemerintahan. Seperti Raja Abdullah yang percaya British hanya
mahu membantu baginda menjadi raja, pemimpin-pemimpin Melayu dalam Pas dan PKR
pun percaya keikhlasan pemimpin bukan Melayu yang menjadi rakan Tahaluf
Siayasinya.
Begitu hebatnya kuasa mitos dan dongeng bangsa
Melayu sejak dahulu lagi. Mitos ini telah membentuk jiwa dan pemikiran satu
bangsa. Rasional dan pengajaran masa lalu tidak berguna pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan