Pengikut

Jumaat, September 05, 2014

MENINGGALKAN Sunah Nabi meskipun berpengetahuan

BERAPA banyak muslim yang mendengar seruan azan di masjid tetapi tidak memenuhi seruan azan iaitu solat berjamaah. Mereka telah mendengar dan tahu tuntutan sunah nabi hal solat berjamaah sejak pada zaman persekolahan lagi. Dengan membanyaknya pusat pengajian tinggi semakin banyak muslim yang berpendidikan peringkat diploma dan ijazah pertama.  Oleh itu hal seruan solat berjamaah merupakan dalam pengetahuannya. Mereka tahu darjat solat berjamaah 27 kali lipat berbanding solat sendirian.  Sebagian mereka tahu kisah Rasulullah menolak permintaan sahabat Nabi yang buta (Ibnu Ummi Makhtum) untuk tidak diwajibkan solat berjamaah di masjid.

Mereka yang sentiasa bersolat di masjid telah banyak pula mendengar tazkirah atau ceramah agama. Hampir semua masjid mengadakan kuliah-kuliah agama untuk yang hadir di masjid mengamalkan sedalam-dalam atau sepenuh-penuhnya seruan agama.  Mereka tahu dosanya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat. Antara mereka yang berbuat demikian adalah imam dan pegawai-pegawai masjid sendiri.  Mereka tahu hadis nabi yang mengancam orang yang melintas di depan orang solat.

Dua contoh di atas menimbulkan pertanyaan, ‘mengapa orang yang Allah berikan pengetahuan hal-hal itu tidak melakukannya sedangkan penerimaan dan pemahaman ilmu (contoh kasus dua di atas) adalah lengkap.  Jika  ditanya, ‘apakah kalian mencintai baginda Nabi s.a.w.’ pasti mereka menjawab ‘ya’ tanpa ragu-ragu lagi.

Rupa-rupanya orang yang mentaati sunah Nabi s.a.w. merupakan orang yang dipilih Allah.  Terlalu sedikit yang sanggup ke masjid waktu subuh walaupun pada saat itu kebetulan banyak orang tidak tidur pun seperti kerna baru saja menonton siaran langsung sepak bola.  Terlalu sedikit dalam jamaah di masjid yang sentiasa memandang kiri kanan untuk memastikan tidak melakukan dosa melintas di hadapan orang solat. Terlalu sedikit juga orang solat sunat di masjid atau kawasan lapang meletakkan sutrah sebagai memenuhi sunah Nabi s.a.w.

Maksud firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 64, “Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah.  Sesungguhnya jika pada saat mereka menganiaya diri (berbuat dosa) dan datang kepadamu (Rasulullah), lalu memohon  ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka tentulah mereka mendapati Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Imam Ibnu Katsir (Tafsir Ibnu Katsir) mencatatkan penerangan oleh Mujahid pada frasa ayat “dengan izin Allah” pada ayat “Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan untuk ditaati dengan seizin Allahertinya tidak ada yang taat kepada para Rasul (termasuk Rasulullah Muhammad s.a.w.) kecuali orang yang Allah beri taufik untuk melakukan hal itu.

Itulah jawaban yang tepat terhadap  muslim yang berpengetahuan agama tetapi seperti tidak tahu apa-apa. Sewajarnya kita kerap berdoa semoga Allah memberi taufik supaya mudah kita melakukan amal yang diperintahkan oleh-Nya.  Tanpa taufik Allah, apalah ertinya  kita. Jiwa terlalu keras dan mencari helah-helah untuk tidak melakukan amalan sunah sekalipun ada pengetahuan mengenainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan