Pengikut

Rabu, September 17, 2014

DARI kabilah Arab Jahiliyah ke parti demokrasi

PARTI-parti politik memang kerjanya saling bertelingkah berebut-rebut kuasa. Di desa parti politik mengatur strategi supaya masjid, badan khairat kematian, persatuan kenduri-kendara dapat dikuasainya. Dipastikan ahli-ahlinya memegang kuasa pengurusan institusi-institusi berkenaan. Di peringkat negeri dan negara memanglah, semua parti membentuk strategi untuk  berkuasa melalui pilihan raya. Tidak boleh menang bersendirian, parti-parti membentuk gabungan besar untuk menang berkuasa.  Organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) juga ditubuhkan oleh parti-parti politik untuk melebarkan pengaruhnya dalam masyarakat. Tujuan NGO seperti ini untuk membentuk ‘pandangan umum’ supaya menyokong parti politik tertentu.

foto hiasan
Ada parti yang berasakan ideologi, agama dan bangsa. Semua ahli parti berkenaan mendakwa partinya sahaja yang betul, parti lain salah atau sial. Namun parti yang didakwa betul boleh bekerjasama dengan parti yang didakwa salah untuk mencapai satu matlamat.  Kerukunan dalam gabungan parti-parti dijaga, tetapi ada kalanya berlaku juga pertelingkahan besar dalam gabungan itu. Apabila tibanya musim pilihan raya, pertelingkahan sesama ahli dalam parti dihentikan sebaliknya semua kudrat digunakan untuk menonjolkan imej baik parti dan memburukan parti-parti yang didakwa musuh.

Apakah keributan parti-parti politik berebut kuasa hanya ada pada zaman moden yang berideologikan demokrasi?  Sebagai umat Islam, semua telah mendengar atau membaca sejarah.  Pada zaman Arab Jahiliah, bangsa Arab sudah terlebih dahulu membentuk pelbagai parti atau kabilah untuk berkuasa di tempat-tempat strategik.  Kota Makkah merupakan kota paling stratagik yang menjadi tumpuan para pemimpin kabilah Arab. Kabilah yang kuat atau hebat, kabilah itulah yang berkuasa di Makkah dan menjaga Kaabah.

Imej-imej penting juga menjadi rebutan di Makkah untuk menaikkan maruah kabilah masing-masing.  Misalnya telah berlaku banjir di Makkah sewaktu umur Nabi 35 tahun. Batu hitam atau Hajar aswad yang terletak di salah satu penjuru Kaabah telah tertanggal dan hanyut. Oleh itu, para ketua kabilah berebut-rebut mahu memasangkan semula hajar aswad di tempat asal.  Hampir saja mencetuskan pergaduhan atau peperangan. Menjadi pandangan umum waktu itu kabilah yang berjaya menguasai imej (seperti Kaabah dan hajar aswad) begitu tinggi maruah dan kewibawaannya. Kabilah berkenaan boleh menjadi pemimpin kepada kabilah-kabilah yang kecil dalam satu barisan atau pakatan kabilah-kabilah!

Sebenarnya ciri-ciri kabilah pada zaman Arab Jahiliah dahulu sama seperti parti-parti politik zaman moden.  Jika kabilah Arab Jahiliah mementingkan wala atau ketaatan ahli, maka ahli-ahli parti politik juga diwajibkan memberi wala kepada pemimpin parti.  Jika ahli kabilah Arab Jahiliah diminta berkorban atau berjuang untuk kepentingan kabilah (seperti berperang, membuat sabotaj dan mengumpul dana untuk berperang), ahli parti politik juga diminta mengorbankan apa yg dimiliki seperti masa dan harta untuk perjuangan parti dalam pilihan raya.

Kabilah Aus dan Khazraj telah lama bertelingkah dan berperang sebelum didamaikan oleh Nabi s.a.w., sebenarnya parti-parti orang Islam di negara kita juga sudah berpuluh-puluh tahun ‘bertempur’ dalam medan pilihan raya.  Jika zaman Arab Jahiliah para kabilah berperang yang mengorbankan nyawa dan harta, pada zaman demokrasi parti-parti tidaklah berperang berbunuh-bunuh. Perang parti ialah perang mulut, membuat sabotaj, membuat demontrasi atau sedikit rusuhan…. Asalkan tidak berbunuh-bunuh.  Namun asas permusuhan antara kabilah kerna berebut kuasa sama saja dengan asas permusuhan parti-parti politik.

Jika ditelusuri sejarah kebanyakan kabilah Arab Jahiliah asalnya daripada satu punca. Misalnya kabilah Bani Hashim dan kabilah Bani Umayah adalah keturunan Qusai bin Kilab. Namun kerna menjaga ketokohan dalam keluarga, misalnya ketokohan Umayah maka keturunannya wajib menjaga nama keluarga Umayah.  Parti-parti di negara kita pun asalnya daripada satu bangsa yang satu agama: Melayu-Islam. Asalnya satu parti iaitu Umno. Kemudian ada pemimpin yang keciwa dalam Umno lalu menubuhkan Pas  dan PKR.  Daripada Pas muncul pula Berjasa, Hamim dan Pasma.  Semuanya kerana pemimpin yang tidak boleh berehat dan mahu terus dipuja sebagai pemimpin, bukanlah sebab idelogi sangat.  Dalam berkabilah dan berparti peranan pemimpin menjadi tonggak, ke mana arah ahli-ahli kabilah dan parti hendak dibawa.

Begitulah, janganlah menganggap parti yang ditulis agama atau  bangsa didakwa suci dan selainnya adalah salah dan sial.  Eloklah berlaku jujur mengakui bahawa persengketaan parti-parti politik zaman demokrasi ini tidak jauh bedanya dengan yang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah.

Berdasarkan sejarah zaman Nabi s.a.w., berkabilah tidaklah salah atau haram. Jika haram, tentulah baginda Nabi s.a.w. mengharamkan kabilah Aus dan Khazraj.  Tentu Nabi s.a.w. tidak menyebut golongan Ansar dan Muhajirin.  Tentu Nabi s.a.w. tidak menyebut ‘Bani Hashim haram memakan harta sedekah’.  Malah Nabi menggelar pula satu golongan yang istimewa misalnya ‘Ahli Badar’ iaitu tentera yang berperang di medan Badar.

Maka berbilang parti politik juga tidak salah atau haram. Jika 17 juta bangsa Melayu-Islam hendak ada 20 parti politik pun bukan haram atau berdosa.

Yang diharamkan dalam Islam ialah persengketaan sesama Islam sama ada antara seorang dengan seorang yang lain. Sama ada antara satu ahli rumah dengan ahli rumah yang lain. Sama ada antara satu kampung dengan kampung yang lain. Sama ada antara parti Umno dengan Pas. Sama ada antara Pas dengan PKR!

Persengketaan itu ditandai dengan tidak bekerjasama dalam isu besar. Saling memboikot atau berkomplot berlawan antara satu sama lain. Misalnya empat kabilah Arab sanggup berperang untuk mendapatkan hak memasang hajar aswad. Sebenarnya perang zaman Arab Jahiliyah banyak yang difokuskan kerana harta. Rompak sana rompak sini. Umno dan Pas pun bersengketa soal agihan harta negara. Ironisnya, jika empat kabilah bersetuju damai untuk sama-sama membawa hajar aswad ke sisi Kaabah, Umno dan Pas tidak mahu mencari titik temu dan damai.

Guru-guru agama selalu mengatakan dua kuasa besar zaman pra-Islam iaitu Rom dan Parsi sering membuli bangsa Arab kerana berpecah dan sering berperang antara kabilah-kabilah, bangsa Melayu-Islam juga sedang dibuli oleh parti-parti bukan Islam disebabkan persengketaan antara parti-parti Melayu-Islam.


Kita diajar bahawa ‘sejarah adalah guru yang berkesan’ malangnya nafsu serakah tidak mahu bersekolah menghadap guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan