APABILA ziarah orang demam atau sakit, apa lagi
hendak diucapkan kepadanya. Tidak lain, “harap bersabar, ini ujian daripada
Allah.” Bukan hal demam, sakit gigi atau
sakit yang menyebabkan terlantar di hospital lantas kita selalu menenangkan
(cuba gembirakan) dengan ayat cubaan atau ujian Allah kepada hamba-Nya. Kita
ceriaan dia dengan ayat “sakit tandanya Allah sayangkan kita, Allah ingat kita”.
Betul!
Namun cubaan atau ujian Allah kepada manusia bukan
hanya dengan rasa gelisah, keluh-kesah, demam, sakit, ditimpa mala petaka atau
apa juga yang dirasakan merugikan diri, malah semua saat kehidupan termasuk
dalam gembira tawa ria adalah ujian atau cubaan Allah kepada semua hamba-Nya.
Maksud ayat 35 surah al-Anbiya’: "Dan
kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada
Kamilah kamu akan kembali."
Maksud ayat 7 dan 8 surah al-Kahfi: "Dan
sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan,
agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya."
Begitulah sebenarnya kehidupan di sisi Allah, semua
adalah ujian sebagai penilaian apakah kedudukan sedih, sakit dan rugi itulah
ujian Allah. Walhal kebaikan,
kegembiraan, kemewahan, kesenangan hidup atau seribu kenikmatan adalah ujian
Allah.
Sebenarnya dalam kehidupan, lebih banyak kita
menikmati rasa senang, suka, seronok, sihat dan keuntungan berbanding sakit,
sesal, sedih, sakit atau menderita. Banyak orang sihat dan senang hidupnya
puluhan tahun, hanya sekali dua masuk hospital. Biasa kita mendengar orang yang
sihat puluhan tahun dan sakit dalam seminggu atau sebulan kemudian meninggal
dunia. Jarang kita mendengar orang menderita demam atau sakit yang memerlukan
jagaan rapi selama 40 atau 50 tahun kemudian sihat dalam sebulan, kemudian
sakit setika baru meninggal dunia.
Oleh itu, dalam perjalanan hidup ujian kesusahan
yang diterima seseorang sangat sedikit berbanding banyaknya masa hidup menerima
ujian berbentuk kesenangan dan tawa ria.
Namun kebanyakan kita hanya menyedari Allah sedang mengujinya tatkala
menerima sakit atau kepayahan dalam hidup. Ketika bergembira dan bermewah-mewah
jarang merasakan Allah juga sedang mengujinya.
Maksud Sabda Rasulullah SAW: "Demi
Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku
khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah
diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu
hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu."
(HR Al-Bukhari)
Apa tujuan Allah menjadikan sepanjang hidup sebagai
ujian?
Maksud firman Allah dalam ayat 2-3 surah
Al-Ankabut: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan
mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?"
Adakah kita menjaga halal-haram ketika di hospital
atau setelah separuh tubuh diserang penyakit sedangkan sewaktu di pentas
hiburan, pesta di pantai dan majlis kenduri tidak lagi dihiraukan halal-haramnya? Begitulah Allah menjadikan setiap saat
kehidupan sebagai ujian iman kepada-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan