Pengikut

Selasa, Oktober 08, 2013

YB Exco Selangor mampir di Masjid Al-Abrar Batu 2 Sepintas

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri Selangor YB Ustaz Sallehen Mukhyi mampir seketika di Masjid Al-Abrar Batu 2 Sepintas, Sabak Bernam selepas Maghrib tadi dan menyampaikan sedikit taklimat kepada ahli Jemaah masjid.  Antara perkara yang dinyatakan ialah beliau dalam perancangan untuk membawa draf enakmen kod etika pakaian muslim untuk dibahas dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.  Tujuan kod etika pakaian muslim ini sebagai garis panduan pakaian muslim di Selangor.

Di bawah tanggung jawabnya, usaha sedang dibuat untuk membangunkan pusat makanan halal di Pulau Indah.  Menurutnya, pusat ini diharap dapat disertai juga usahawan makanan daripada kaum Tionghua beragama Islam selain kaum Melayu.  Menurut YB Ustaz, usaha ini lebih kepada strategi dakwah kepada masyarakat bukan Islam, khasnya kaum Tionghua.

Beliau juga menyatakan usaha sedang dibuat untuk membina sebuah masjid reka bentuk tradisi Cina seperti masjid Cina di Rantau Panjang Kelantan.  Tujuan pembinaan masjid ini sebagai jalan dakwah kepada masyarakat Tionghua dan tempatnya ialah di Petaling Jaya.  Kedudukan yang tepat kerna di sana merupakan kawasan yang majoriti penduduknya keturunan Tionghua.

Selain itu beliau memaklumkan Kolej Universiti Islam Selangor akan menawarkan Diploma Tahfiz yang tidak dikenakan bayaran.  Perancangan seterusnya ialah beliau akan mengusahakan penubuhan Biasiswa Sultan Sharafuddin Idris Shah (Baginda Sultan Selangor) untuk penuntut-penuntut Diploma Tahfiz berkenaan.  Matlamat projek ini ialah untuk melahirkan Hafiz al-Quran dan sekaligus sebagai pentafsir al-Quran.

Terdapat satu perkembangan dakwah hebat yang sedang berlaku telah dikhabarkan kepada ahli Jemaah, namun saya fikir baik dirahsiakan supaya tidak menjadi kontroversi. YB Ustaz pun menyatakan perkara ini walaupun hebat tidak diwar-warkan supaya tidak menimbulkan masalah lain.


Dalam sesi pertanyaan, ayah saya bertanya mengenai perkembangan ajaran Syiah di Selangor.  Menurut YB Ustaz, dalam undang-undang di Selangor telah ada peruntukan bahawa hanya akidah Ahlus Sunah Wal Jamaah dijadikan pegangan beragama Islam.  Oleh itu katanya tidak perlu dibuat pindaan Enakmen atau satu undang-undang baru anti-Syiah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan