Pengikut

Ahad, Disember 16, 2012

UMNO-Pas bergasak, Islam pun terburai


SEBAGAI muslim tentu gembira apabila mengetahui peraturan-peraturan hidup manusia berlandaskan ajaran Islam.  Jika muslim faham bahawa Islam merupakan system hidup manusia, yang mensejahterakan semua manusia tanpa mengira agamanya, tentulah gembira jika ada mana-mana pihak berjaya melaksanakan peraturan Islam itu.  Sebab itulah, apabila membaca berita pesalah judi dihukum sebat di depan khalayak di Acheh, saya suka sebab itu akan mendidik orang agar jangan berjudi.  Tahun 2004, Dewan Bandaraya KL (DBKL) telah menyaman dua remaja yang melakukan sumbang moral di taman KLCC (dua remaja itu keturunan Cina), saya suka sebab undang-undang kecil DBKL itu untuk mengawal akhlak buruk manusia.  Oleh itu saya juga menyokong usaha pentadbiran Pas di Kelantan yang menguatkuasakan peraturan wanita tidak boleh mendandan atau menggunting rambut lelaki, bertujuan sama seperti undang-undang kecl DBKL.  Sebutlah usaha Exco kerajaan Selangor dahulu cuba mengawal penjualan arak secara terbuka di Selangor, juga saya setuju.


Apa yang saya mahu catatkan ialah Islam semakin dicabar oleh musuhnya di Malaysia, kerana kelemahan umat Islam sendiri.  Kelemahan umah pula akibat sangat ‘beriman’ dengan politik kepartaian atau semangat asabiyah yang sangat kukuh!

Lihat kes tahun 2004 apabila   DBKL menyaman sepasang remaja Cina yang berpelukan di taman awam.  Orang bukan Islam khasnya daripada DAP membalas dengan membuat demontrasi ‘berpelukan’ depan pejabat DBKL.  Apa tujuannya, kalau bukan mencabar pelaksanaan undang-undang DBKL. Oleh kerana DBKL di bawah pentadbiran yang dikuasai Umno, maka Pas hanya melihat peristiwa itu dan ‘suka’ sebab Umno sedang ditekan-tekan. Harapan Pas ialah imej DBKL yang ditadbir Umno akan rosak dan rakyat marah kepada Umno atau Barisan Nasional. 

Sekarang peristiwa yang sama berlaku di Kota Bharu apabila pelaksanaan larangan wanita menggunting rambut lelaki dicabar, seperti kes di KL tahun 2004.  Lelaki-lelaki Cina parti Gerakan dari Negeri Sembilan ke Kota Bharu semata-mata mahu rambutnya digunting oleh perempuan.  Tujuannya tidak lain, satu cabaran atau bantahan terbuka.  Misalnya, apa pihak berkuasa MBKB boleh buat!  Dalam kes ini Umno pun suka (lihat tulisan Dr Fuad Zarkashi) sebab Pas sedang ditekan-tekan dengan harapan orang akan melihat Pas lemah dan gagal mentadbir negeri.

Itulah dia, apabila umat Islam sudah mengamalkan asabiyah dalam politik, Islam dijadikan bahan untuk disalahkan sana-sini.  Kedua-dua parti, kerana hendak menjadi hero dalam masyarakat Melayu Islam sanggup membiarkan syiar Islam dilanyak oleh musuh-musuh Islam. Dalam kes di Kota Bharu, sepatutnya Umno menasihatkan ahli Gerakan itu agar tidak mencabar peraturan itu sebab pasti menyentuh sentimen umat Islam.  Peraturan di Kota Bharu itu pun dibuat tahun 1986, zaman Kelantan diperintah Barisan Nasional.  Kerajaan sekarang (Pas) hanya melaksanakannya. 

Kesan kes-kes pelaksanaan Islam walaupun kecil yang ditangguhkan atau dibatalkan atas desakan orang bukan Islam sebagai petunjuk lemahnya umat Islam walaupun secara populasi ada hampir 70 peratus daripada jumlah 28 juta penduduk. Ini juga menunjukkan apa juga pentadbiran bercirikan Islam mesti mendapat restu orang bukan Islam.  Keadaan ini satu pengalaman yang sangat teruk dan memalukan, jika kita masih mengatakan Islam adalah satu sistem hidup manusia!

Jika orang Islam, khasnya yang berkuasa seperti Umno dan Pas tidak mahu kembali bersatu seperti yang diwajibkan dalam al-Quran, kita pasti akan melihat banyak lagi ‘nilai atau ciri Islam’ dalam masyarakat yang terpaksa ditinggalkan atau dihapuskan kerana memenuhi kehendak orang bukan Islam.  Sudah ada yang mencabar suara azan pada subuh hari atas alasan menganggu orang tidur.  Sudah kedengaran juga pekerja Islam tidak dibenarkan solat Jumaat kerna mengambil waktu yang lebih daripada masa rehat biasa.

Peliknya, apabila orang hendak membela kes-kes ajaran Islam yang dicabar, orang melihat dahulu dari sudut politik Umno dan Pas.  Kalau yang kena Umno, pihak Pas membiarkannya sambil berharap Umno terus dalam kepayahan.  Begitu juga jika yang kena ialah Pas, Umno akan membalas sebagaimana Pas melakukannya.  Akhirnya, yang semakin susut ialah Islam itu sendiri.  Islam menjadi semakin sempit dalam masyarakat sehingga tulisan jawi pun sudah dianggap tulisan Islam dan menjadi ‘sulit’ kepada orang bukan Melayu Islam.  Dahulu, tidak ada masalah apa pun berkenaan tulisan jawi.  Dahulu banyak bayi orang bukan Islam dibela oleh orang Melayu, sekarang mana ada lagi? 

Tunggu apa lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan