Pengikut

Selasa, Disember 04, 2012

TIADA persatuan bersifat asabiyah dalam Islam


SALAHKAH sekumpulan umat membuat persatuan berdasarkan kepentingan seperti bahasa, kegemaran, sejarah atau kehendak politik?  Islam meraikan amalan demokrasi asalkan masih melandasi prinsip ajaran dalam al-Quran.  Maka, tidak salah jika umah mahu membentuk dua atau tiga parti politik, asalkan semua aktiviti dan perjuangan parti tidak cenderung kepada amalan jahiliyah.  Yang salah ialah mengamalkan persatuan seperti cara orang Arab Jahiliyah berkabilah atau berpersatuan.

 foto hiasan

Yang dinamakan kabilah asabiyah dan menyalahi ajaran al-Quran ialah seperti hanya mementingkan ahli kabilahnya, dan menafikan kepentingan yang bukan ahli kabilahnya. Jika berlaku pertelingkahan antara dua ahli kabilah, ahli setiap kabilah akan membela ahli kabilahnya di samping memusuhi ahli kabilah yang dilawannya tanpa mengira isunya benar atau salah.  Misalnya, jika kabilah A bermusuh dengan kabilah B, anak cucu dalam kabilah A diasuh supaya memusuhi seluruh anggota kabilah B.  Segala sejarah dan asal-usul pertelingkahan antara kedua-dua kabilah akan diajarkan supaya permusuhan itu diwariskan kepada generasi seterusnya, dan perang kerana dendam wajib diteruskan.

Islam datang mendamaikan kabilah yang bermusuhan. Perang Basus di Madinah antara suku Aus dan Khazraj pada zaman jahiliyah tidak diteruskan setelah mereka menerima Islam.  Malah Allah menyatakan bahawa perpaduan dalam umah adalah nikmat sedangkan perpecahan merupakan dosa yang menempah azab neraka.

Maksud ayat 103 surah Ali Imran, “Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah , dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahlu (zaman jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati kamu sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedang (ketika itu) kamu berada di jurang api neraka. Lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.  Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kemu mendapat petunjuk.”

Perhatikan pula ayat 105 surah Ali Imran “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.” 

Apakah tidak ada perbedaan-perbedaan kumpulan masyarakat Islam pada zaman hidupnya nabi s.a.w.?  Secara tradisinya pun wujud kabilah-kabilah Arab.  Dalam masyarakat Islam ada daripada Bani Hashim dan Bani Umayyah.  Di Madinah pula terdapat golongan Muhajirin dan Ansar.  Dalam Masyarakat Ansar telah bersejarah kabilah Aus dan Khazraj.  Setelah Makkah berjaya dikuasai oleh nabi s.a.w., berlaku Perang Hunain. Setelah tamat perang, berlaku sedikit salah faham mengenai pembahagian harta rampasan perang, bahawa Nabi s.a.w. melebihkan pembahagian kepada tentera Islam Makkah (baru memeluk Islam) berbanding tentera Islam dari Madinah. Perbedaan dalam kumpulan ada, tetapi mereka semua ‘dengar dan patuh’ terhadap wahyu Allah dan saling berlapang dada serta memaafkan.

Oleh kerna membentuk persatuan itu masih sah asalkan tidak bersifat kabilah jahiliyah, maka antara persatuan khasnya yang bersifat politik tidak boleh sama sekali melanggar ayat 103 dan 105 di atas.  Tidak ada alasan langsung untuk membentuk persatuan demi melawan persatuan lain sedangkan kedua-duanya masih muslim.

Ada yang berhujah, misalnya persatuan X tidak mengamalkan ajaran Islam yang sempurna, maka patut umah memasuki persatuan Y yang menjanjikan perjuangan dan amalan Islam yang sempurna.  Jika itu prinsipnya, jelas sudah memecah kesatuan umah sebab ‘berlaku gerakan mengajak masuk persatuan Y’ dan menolak dengan berusaha membuktikan persatuan X salah, sekalipun semua ahli persatuan X adalah muslim.  Dalam prinsip Ahli Sunah wal Jamaah, setiap orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah mesti diterima sebagai muslim dan terjaga hak-haknya sesama muslim.  Soal dia melakukan dosa atau tidak, itu diserah kepada Allah.

Dalam keadaan wujud beberapa persatuan atau parti yang dianggotai oleh muslim tidak boleh sama sekali saling bertelingkah, apa lagi pertelingkahan hendak mendakwa kumpulannya sahaja yang Islam dan yang lain tidak sempurna.  Sejarahnya, puak Khawarij telah mengkafirkan sahabat Nabi s.a.w. seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abu Sufyan dan Amru al-As, sedangkan asalnya Khawarij membawa slogan yang sangat baik seperti ‘Tiada hukum selain kitabullah”. Sebab itu Khawarij tidak tergolong dalam Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi prinsip pegangan akidah kita di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan