CATATAN di bawah merupakan catatan seorang pendakwah iaitu HAFIZFIRDAUS yang asalnya bertajuk 'Rakyat oh rakyat'. Catatan ini sangat bermanfaat untuk membuat pertimbangan adil terhadap pemerintah.
Saya teringat beberapa ketika yang lalu apabila bersembang-sembang
santai dengan seorang rakan. Perbincangan kami pada mulanya umum, namun
kemudian rakan saya melencong ke arah politik tanah air.
Kawan: “Hafiz, apa pandangan engkau tentang pemerintah negara kita
ni?”
Saya: “OK saja. Ada kebaikan dan adalah kelemahan.”
Kawan: “Huh! Mana ada OK?” Lalu beliau dengan bersemangat
menceritakan kelemahan-kelemahan pemerintah sekarang ini dari aspek penyalahgunaan
wang negara, kezaliman dan tidak melaksanakan hukum Islam.
Lalu saya menjawab: “Oh, semua kelemahan tersebut adalah satu
kelaziman.”
Kawan: “Maksudnya?” Saya: “Maksud saya, meski pun kita menukar
pemerintah pada pilihanraya yang akan datang dan akan datang dan akan datang,
pemerintah-pemerintah tersebut tetap akan memiliki kelemahan-kelemahan yang
sama.”
Kawan: “Oh, saya sungguh tidak bersetuju!”
Saya: “Tak mengapa jika tidak bersetuju. Akan tetapi kamu
kena sedar bahawa kelemahan yang sebenar terletak pada rakyat. Rakyat mahukan
pemimpin yang sempurna namun mereka sendiri tidak sempurna. Rakyat mahukan
pemimpin yang amanah dalam pengurusan harta negara, namun rakyat sendiri tidak
amanah. Perhatikan betapa harta negara dan umum yang disalah guna dan
dirosakkan oleh rakyat?
Rakyat mahukan pemimpin yang adil, namun rakyat sering kali zalim
dalam menilai pemimpin. Rakyat mahukan perlaksanaan hukum Islam, namun rakyat
sendiri tidak melaksanakannya dalam kehidupan harian mereka.”
Kawan: “Huh, pertama kali saya mendengar bahawa rakyat yang
dipersalahkan dalam urusan pemerintahan negara!”
Saya: “Bukan begitu. Apa yang benar ialah kita mahukan pemerintah
dan rakyat, kedua-duanya memiliki sifat berilmu, amanah, bertanggungjawab, adil
dan saling membantu. Lebih dari itu perhatikan bahawa pemerintah lahir daripada
rakyat, dipilih oleh rakyat dan dibantu oleh rakyat. Siapa dan bagaimana
pemerintah sesebuah negara sebenarnya adalah cerminan siapa dan bagaimana
kebanyakan (majoriti) rakyat negara tersebut.”
Kawan: “Saya tetap tidak setuju. Saya yakin jika pemerintah adalah
baik, maka rakyat akan gembira dan berpuas hati. Tiada bantahan, tiada
rungutan, tiada demonstrasi.”
Saya: “Baiklah. Setuju atau tidak jika saya katakan Rasulullah
adalah seorang pemerintah yang terbaik?” Kawan: “Setuju. Oleh kerana itulah
tidak siapa yang membantah pada zaman pemerintah baginda.”
Saya: “Baiklah, jika begitu perhatikan hadis berikut…” Lalu saya
menyebut hadis berikut secara ringkas: Abu Sa’id al-Khudri berkata: Ketika
kami berada di sisi Rasulullah yang sedang membahagikan (harta rampasan
perang), tiba-tiba baginda didatangi seorang laki-laki dari Bani Tamim yang
berkata: “Wahai Rasulullah! Berlaku adillah!”
Rasulullah menjawab: “Celaka kamu, siapakah lagi yang akan
berlaku adil kalau tidak aku yang berlaku adil. Sungguh, aku rugi (di sisi
Allah) sekiranya aku tidak berlaku adil.”
Maka Umar bin al-Khaththab berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah
aku untuk menebas lehernya.” Rasulullah menjawab: “Tinggalkanlah dia,
sesungguhnya dia memiliki sahabat-sahabat di mana salah seorang daripada kalian
akan memandang remeh solatnya jika dibanding dengan solat mereka, puasanya
terhadap puasa mereka. Mereka pandai membaca al-Qur`an namun tidak sampai
melewati tenggorok mereka (yakni tidak difahami dan diamalkan). [Sebahagian hadis Shahih Muslim, no: 1765/1064]
Saya melanjutkan: “Perhatikan bagaimana ada orang yang tidak
mengetahui hikmah di sebalik pembahagian harta rampasan perang yang
berbeza-beza, lalu meminta Rasulullah bersikap adil. Dalam erti kata lain, dia
memandang Rasulullah zalim dalam pembahagian harta. Orang ini pula bukan
calang-calang orang. Ibadahnya mengalahi ibadah para sahabat yang lain. Dia
juga membaca al-Qur’an, hanya dia tidak memahami dan mengamalkan al-Qur’an.”
Kawan: “Kesimpulan yang cuba engkau buat dari hadis tersebut?”
Saya: “Manusia lazimnya ada sikap suka merungut, tidak adil dalam
menilai, dengki pada kelebihan orang lain, menyebarkan gosip berbau fitnah dan
jahil dalam urusan pemerintahan. Pemerintah sebaik mana sekalipun, rungutan,
tuduhan, kedengkian, fitnah dan kejahilan tetap akan wujud di kalangan rakyat.
Justeru dalam rangka kita inginkan pemerintah terbaik, kita juga
mesti menjadi rakyat terbaik. Mana-mana pemerintah jua, dia tidak akan dapat
melaksanakan tugasnya dengan baik jika rakyat tidak baik.
Oleh itu usah sekadar fokus kepada mahukan pemerintah terbaik. Akan
tetapi fokus juga kepada mahukan rakyat terbaik. Jangan asyik merungut Pemerintah
oh pemerintah!, tetapi fokus juga kepada Rakyat oh rakyat!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan