ABU Talib bin Abdul Mutalib, adalah paman Rasulullah
yang tidak memeluk Islam sekalipun sebagian besar hidupnya digunakan untuk
mendewasakan dan mempertahankan segala aktiviti anak saudaranya. Kepada kita yang hidup dalam lingkungan semua
keluarga muslim mungkin masih tertanya-tanya apakah sebabnya seorang yang
sangat mengetahui peribadi Rasulullah tidak mahu menyatakan keimanan
sebagaimana orang arab yang lain.
Dalam kehidupan kita, sejahat-jahat seseorang pun jika
lahir daripada keluarga muslim dia tidak segan silu mengakui seorang muslim dan
berani melafazkan ‘laa ilaaha illallaah’. Bukan sahaja tahu melafazkan kalimah
berkenaan, malah dapat memberikan maksudnya dalam bahasa Melayu ‘Tidak ada
Tuhan selain Allah’.
Nabi s.a.w. telah mendakwahkan kepada orang-orang Arab
Makkah (maksudnya), “Katakanlah tidak ada ilah (tuhan) yang berhak diibadahi
selain Allah, nescaya kalian akan beruntung.” (Riwayat Imam Ahmad) Jawaban
daripada mereka seperti yang dirakan dalam al-Quran surah As-Syad ayat 5
(maksudnya), “Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah yang satu sahaja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang
sangat menghairankan.”
Nabi s.a.w. juga telah berpesan kepada Abu Talib saat ajal maut hampir kepada
pamannya itu, “Wahai pamanku, katakanlah ‘ Tidak ada ilah yang berhak
diibadahi (disembah) selain Allah, satu kalimat yang dengannya aku dapat
berhujah (membela) untukmu di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun teman-teman Abu Talib yang duduk di sisi lelaki
berpengaruh dalam Bani Hashim itu berkata, “Apakah kamu sudah tidak menyukai
lagi agama Abdul Mutalib?” Maka Abu
Talib tidak jadi hendak mengucapkan kalimah yang dapat dijadikan pembelaan di
akhirat kelak.
Bagi kita zaman ini, mudah berfikir….’apalah yang
memberatkan untuk orang Arab itu melafazkan ‘Laa ilaaha illallaah’ sekalipun
pada saat akhir dalam hidup, walhal mereka tahu bahawa yang mengajarkan kalimah
itu adalah lelaki yang mereka sendiri amat percayai, seorang yang sentiasa
berkata benar.
Kata penulis kitab ‘At-Tanbihat al-Mukhtasar
Syarh al-Wajibat al-Mutahatimat al-Ma’rifah ‘alaa kulli muslim wa muslimat’
(Hal-hal yang wajib diketahui setiap muslim), Syeikh Ibrahim bin Asy-Syeikh
Syalih bin Ahmad al-Khuraisyi ‘ketika
bahasa Arab fush-ha (baku) sudah tidak banyak diketahui dan tidak
diketahui lagi maknanya, orang-orang pun mengucapkan kalimat itu tanpa
mengetahui maknanya sehingga mereka akan terjerumus dalam hal yang bertentangan
dengannya sehingga dia sendiri tidak
mengetahuinya.’
Hal ini bermakna
orang-orang Arab seperti Abu
Talib sangat mengetahui makna ‘Laa ilaaha illalaah’. Oleh itu mereka tidak sanggup melafazkannya
kerna tuntutan seseorang yang melafazkannya bererti mesti membuang segala
pengabdian dan tujuan hidup kecuali hanya kepada Allah swt. Yang itu sangat
berlawanan dengan pemahaman tauhid jahiliyah mereka.
Nampaknya, orang-orang Arab jahiliyah itu lebih faham
tuntutan sebenar kalimat tauhid itu berbanding bangsa Arab dan Melayu zaman
sekarang. Kita paling mudah melafazkan
kalimah tauhid itu sehingga tatkala kaget kerna sesuatu hal, akan terlepas ayat
‘Laa ilaaha illallaah’. Malah para imam
sering membimbing orang melafazkan kalimah berkenaan ratusan kali setiap habis
solat atau sewaktu kenduri tahlil.
Sekalipun kita mudah melafazkan ratusan kali tahlil
itu dalam sehari, namun sikap, peribadi dan tingkah laku kita tidak banyak
bedanya dengan kumpulan manusia yang tidak mahu mengakui ‘Tiada ilah yang
diibadahi (disembah) melainkan Allah’. Hal
ini sebagai penjelasan bahawa kita tidak begitu memahami maksud yang sepatutnya
apabila berikrar bahawa ‘Tiada ilah yang disembah melainkan Allah’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan