Pengikut

Ahad, Jun 10, 2012

CARI wang dengan bayaran baca Al-Quran sudah bermula


SEMAKIN dekat pada Ramadan, ada persiapannya. sudah menjadi kebiasaan pula, projek pada bulan Ramadan ialah mengumpul dana melalui perniagaan bacaan al-Quran.  Pengalaman tahun lepas, masjid di tempat saya tinggal mengenakan caj RM10.00 untuk dibacakan tahlil seorang arwah.  Dua tahun lepas parti Islam di desa saya juga mencari wang dengan cara ini. Tidak pasti sama ada orang kita sudah mewah atau percaya pahala boleh dibeli seumpama membeli sayur di pasar!  Pasaran perniagaan pahala untuk orang mati nampaknya lumayan untuk bulan Ramadan.


Mungkin ini antara ramalan sahaja kerna berada pada bulan Ramadan.  Membaca al-Quran pada bulan Ramadan sebagai satu ibadah tidak dapat disangkal lagi. Namun menjadikan bacaan al-Quran sebagai satu perniagaan?  Kemudian, mendakwa bacaan al-Quran itu pahalanya boleh dipindahkan kepada orang mati?

Saya pernah ‘diserang’ dengan label wahabi dan macam-macam apabila menyatakan pembacaan al-Quran atau bacaan modul tahlil untuk arwah sebagai adat Melayu sahaja, bukan daripada Islam. Antara yang mengecam tulisan saya ialah orang yang mengajar agama di masjid sewaktu orang beriktikaf hari Jumaat.  Saya  hanya memberikan ayat-ayat al-Quran untuk mereka memadankan semua pemahaman mereka mengenai pemindahan pahala itu atau (sekarang) perniagaan pahala.  Nampaknya tidak ada seorang pun yang sudi memberi penjelasan: Sama ada pemahaman saya salah sebab tidak percaya pahala boleh dipindahkan kepada roh orang mati atau pemahaman mereka betul walaupun sekian banyak ayat al-Quran tidak sama dengan pemahaman mereka.

Ini antara ayat al-Quran yang jelas memberitahu bahawa setiap amal sama ada baik atau buruk adalah milik sendiri dan tidak boleh diagih-agih kepada orang lain.

Maksud surah at-Tur:16 “Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan atas apa yang kamu usahakan.”  Ayat 21 pula “Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan)  mereka.  Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Ini pula satu hadis maksud satu hadis nabi berkaitan juga.  Adakah nabi s.a.w. memberi lampu hijau kepada mencari wang dengan membaca al-Quran?

Rasulullah SAW bersabda: “ Bacalah Al-Quran dan berdoalah memohon pertolongan dari Allah Ta’ala setelah membacanya, sebelum datang suatu kelompok manusia yang membaca Al-Quran kemudiannya mereka meminta-minta upah dari manusia kerana bacaan mereka. ( Riwayat Imam Ahmad dan At-Tabarani).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan