Pengikut

Jumaat, April 27, 2012

MUSIBAH yang menimpa orang agama


DAHULU tahun 70-an, remaja yang bersekolah agama di Tingkatan Tiga pun sudah diberi gelaran ustaz di desa-desa.  Belum tentu lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP), dan jika sampai ke Tingkatan Enam, lagilah tinggi penghormatan masyarakat desa kepadanya.  Merekalah yang akan menjadi imam di masjid atau mendepani apa juga majlis keagamaan.

Hari ini, tampak kelainan pandangan masyarakat.  Pelajar-pelajar Tingkatan Enam sekolah agama dan sekolah menengah kebangsaan dipandang sama sahaja.  Orang tidak memanggilnya ustaz atau ustazah!

Zaman berlalu dan pandangan masyarakat  pun berubah.  Mungkin ini antara pandangan dan suasana masyarakat.

Pertama: Pendidikan agama masyarakat semakin tinggi sehingga mereka sudah setaraf dengan pendidikan agama pelajar-pelajar sekolah agama.

Kedua: Pelajar-pelajar sekolah agama tidak memiliki watak ustaz dan ustazah yang diharapkan oleh anggota masyarakat.

Ketiga: Orang-orang agama juga terdedah dengan gejala social sebagaimana orang tidak berpendidikan agama, menyebabkan pelajar-pelajar agama dikira belum tentu kuat imannya di tengah-tengah masyarakat.

Keempat: Sekolah-sekolah agama sudah menerima sekian banyak mata pelajaran kemahiran keduniaan (akademik seperti Geografi, sejarah Sains dll) menyebabkan masyarakat menganggap pelajar-pelajar sekolah agama tidak ada bedanya dengan pelajar-pelajar sekolah menengah biasa.

Apa pun sebenarnya, harapan masyarakat terhadap orang agama tetap tinggi.  Setinggi mana dan berapa banyak pun harta seseorang, dia pasti tunduk hormat kepada imam atau ustaz, sekalipun imam itu pendapatannya di bawah garis kemiskinan.  Ini tidak lain kerana orang agama dilihat lebih mahir dalam urusan agama, sedangkan agama merupakan ‘hal suci’ dalam kehidupan.

Maka, jika ada orang agama yang tersasar jalan (sebab dia pun manusia biasa), maka dirinya menjadi berita, panjang dan lama untuk lenyap.  Kalau ada siri kes buruk melibatkan orang agama, ini merupakan petanda tidak baik terhadai imej orang agama sebab ceritanya seakan-akan bersiri pula.  Entah bila akan habis.  Yang terpalit sama ialah agama itu juga.

Besar pegangan agama, besar pula cobaan kepada dirinya.  Satu hadis diriwayatkan oleh Saad Abi Waqas,
     Dia (Saad) berkata: “Aku bertanya, wahai Rasulullah siapakah manusia yang paling berat cobaannya?”
   Baginda nabi menjawab, “Para nabi, lalu orang-orang yang mulia setelahnya.  Apabila agamanya kuat, maka cobaannya semakin berat.  Apabila terdapat sesuatu kelemahan dalam (pegangan) agamanya, maka dia akan diuji menurut kadar (pegangan) agamanya itu.  Tiada henti-hentinya cobaan menimpa hamba sampai ia bisa membuat orang berjalan di muka bumi dalam keadaan tanpa dosa.” (Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya, melalui beberapa jalur periwayatan seperti Saad Abi Waqas.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan