Pengikut

Ahad, Mei 22, 2011

MENJENGAH puasanya orang miskin


KEPADA umat Islam, puasa sudah jelas sebagai ibadah khusus.  Puasa yang wajib sebulan pada Ramadan dan juga puasa-puasa sunat.  Tidak salah mencari hikmah-hikmah puasa untuk lebih memahami mengapa puasa ini menjadi salah satu ibadah khusus.  Antara yang sering disebutkan oleh para uztaz atau ilmuan ialah merasai sendiri ‘penanggungan orang-orang yang kurang pemilikan harta’ sehingga untuk membeli makanan pun tidak kecukupan.  Maka, apabila orang yang senantiasa kecukupan harta untuk membeli makanan berpuasa, dapatlah dirinya merasa jerih payahnya meneruskan kehidupan dengan rasa lapar dahaga sambil terus bekerja mencari sesuap nasi.

Saya  mencatat pengalaman berpuasa sunat dengan sedikit kelainan untuk mencari hikmah itu.  Puasa sunat sebenarnya lebih mencabar, kerna pada waktu itu orang lain tidak berpuasa, yang menyebabkan godaan untuk makan minum itu lebih hebat berbanding puasa Ramadan. 

Saya mulakan sahur dengan hanya makan nasi tanpa lauk dan sayur pada sebelum subuh.  Saya juga hanya minum air sejuk.  Saat itulah terasa nikmatnya bersahur yang tersedia menu istimewa.  Menelan nasi sahaja dengan air sejuk, memeritkan untuk sekali-sekala, tetapi bagi insan yang sudah biasa kerna kemiskinan,  memakan nasi kosong begitu pun sudah menjadi satu nikmat besar!

Pada waktu berbuka puasa, saya hanya memakan sebuku ‘roti benggali’ yang tawar dan meminum air sejuk juga.  Oleh kerana sudah dahaga dan lapar, berbuka puasa hari itu tetap indah dan seronok kerana dapat menghilangkan dahaga.  Maka begitu jugalah agaknya dengana keluarga miskin yang hanya mampu menyediakan menu asas untuk makan sehari-harian.

Sebenarnya pengalaman berpuasa dengan sahur dan berbukanya yang sangat mudah, bagi saya masih tidak dapat menimbulkan satu perasaan yang besar hari-hari seterusnya.  Maksud saya, perasaan sepenanggungan itu tidak mendalam dan besar, kerana dalam pemikiran saya tidak diganggu masalah kurang bekalan makanan di rumah.  Sekalipun berpuasa secara orang miskin, tetapi minda saya tidak membohongi bahawa di rumah saya masih ada stok beras, lauk, buah-buahan dan bahan minum yang lazat sebagaimana hari-hari biasa.

Apa pun, saya sudah melalui pengalaman makan sebagai orang yang tidak kecukupan untuk sehari itu.  Moga-moga yang sehari itu ada sedikit pengajaran dalam hidup.

1 ulasan:

  1. ass,
    dengan puasa,kita bisa merasakan hidup yang tak berkecukupan yg dialami orang miskin.

    BalasPadam