Pengikut

Khamis, Mac 24, 2011

CERITA seks: Membiak prasangka dan dosa


Rencana ini dimulai dengan maksud catatan dalam al-Quran

Surah al-Hujurat ayat 6: Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan satu kaum kerna kebodohan (kecerobohan) yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu.

Surah al-Hujurat ayat 12: Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka.  Sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah antara kamu yang mengumpat sebagian yang lain.  Apakah ada antara  kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik.  Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi maha penyayang.

 Anwar Ibrahim terpaksa menafikan beraksi lucah 
kerana prasangka sudah membiak ganas

Apa gunanya Allah menurunkan wahyu kepada manusia, kalau bukan untuk dijadikan panduan?  Demikianlah dua ayat Allah yang jelas, tidak perlu ditakwil pelbagai rupa untuk difahami artinya.  Hari-hari khabar atau berita menerjah masuk dalam minda, sama ada daripada orang sekeliling, media cetak atau media elektronik.  Bukan semua yang menyampaikan berita adalah orang yang berwaspada antara iman dan kufur, malah banyak yang tidak perdulikan anjuran dan amaran Allah.  Maka berlaku tukang-tukang bawa berita yang sengaja menyampaikan berita palsu, bentuk fitnah atau berita yang ditokok-tambah.

Entah berapa juta kali para ulama, ustaz, ilmuan, cerdik pandai, pendakwah dan para pengingat antara kita agar menjadikan al-Quran sebagai panduan.  Nah, dua ayat di atas sebagai panduan apabila mendengar berita.  Itupun jika kita merasakan ada iman kepada Allah, maka waspada dengan berita yang disampaikan oleh orang yang kita ketahui akhlaknya.  Jaga-jaga, kerna kita tahu dia ada rekod sebagai penipu dan penyebar fitnah!

Dalam politik, perjalanannya adalah berita dan suara.  Oleh itu politik sangat terdedah pada kepalsuan dan cerita yang ditambahkurangkan.  Orang-orang yang berpolitik, saling berebut mendapatkan sokongan orang banyak, maka banyaklah suara berita dan cerita dihambur untuk mendapatkan sokongan.  Teringat hadis nabi kira-kira berarti: Banyak bercakap, banyaklah dustanya. Banyak dustanya, banyaklah dosanya.  Dosa itu membawa ke neraka!

Kemudian, hal-hal yang tabu, selama boleh ditutup, tidak didedahkan kerana memalukan.  Seks itu selalu disembunyikan daripada bualan kerana hal itu menjadi rahsia peribadi.  Tanpa membaca nas agama pun Allah telah menjadikan fitrah manusia begitu.  Apabila hal seks difilemkan, tentulah amat mengaibkan.  Kalau tujuan difilemkan untuk memalukan seseorang, lagilah menjadi kegusaran banyak pihak.  Sampai ke tahap itukah orang yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat menggunakan filem seks yang masih samar-samar untuk menghancur-luluhkan peribadi dan kerjaya seseorang?

Dengan tersebarnya filem seks yang asalnya tabu, maka membuaklah prasangka dalam masyarakat.  Bukankah itu dosa besar?  Kemudian, bertambah pula dengan kerja-kerja mengumpat sebelah sana dan sini.  Itu pun bertambah lagi dosa besar!

Bagaimana anak-anak yang polos akan membesar dengan ketulusan jiwa dalam suasana masyarakat yang bobrok ini?  Ya Rabb….

1 ulasan: