Pengikut

Jumaat, Disember 03, 2010

ANTARA hiburan, sukan dan politik

ADA tiga bidang yang menjadi tumpuan rakyat, dan semuanya mempunyai pelakon-pelakonnya sendiri di samping konsep ketiga-tiganya hampir sama. 

Saya hendak mulakan dengan bidang hiburan yang sudah menjadi satu industri.  Golongan artis itulah yang menjadi pelakon utamanya, yang bekerja sepenuh masa, manakala golongan banyak akan menjadi penggemar yang membayar dalam industri ini melalui pembelian produk hiburan seperti bayaran tiket persembahan, DVD dan  filemnya.  Penggiat seni yang mencari makan dalam dunia hiburan ini pun punya pegangan bahawa rezeki mereka ini berdasarkan bakat atau anugerah Allah.  Agak malang juga kerana golongan agama kerap menyindir gaya hidup aktivis hiburan ini, malah sering dijadikan bahan contoh menularnya gejala buruk dalam masyarakat.

Yang kedua ialah sukan, yang sudah menjadi satu industri dan mempunyai khalayaknya sendiri.  Orang-orang sukan bermula daripada pengurus, pemain dan jurulatih sudah bekerja sepenuh masa untuk mencari penghidupan.  Seperti hanya segelintir yang menjadi artis dan banyak lain sebagai penggemar, maka bidang sukan pun begitu juga.  Yang merancakkan arena sukan ialah penonton yang membayar nilai sukan melalui perlawanan-perlawanan dalam sukan.  Universiti pun sudah menawarkan kursus sains sukan.  Maknanya orang yang terlibat dalam sukan juga berani mengatakan bahawa kerjaya dalam sukan juga adalah kerana bakat daripada Tuhan.  Dahulu apabila saya menyatakan boleh solat jamak dan qasar untuk orang musafir kerana melihat acara sukan, kawan-kawan yang cenderung agama tersengih tanda tanda tidak setuju.

Yang ketiga ialah politik, yang paling popular dan menjadi topik utama.  Seperti sukan dan hiburan, yang gila bermain politik ini pun bukan semua manusia.  Hanya segelintir manusia yang menjadi pemainnya, dan yang bersepah ialah peminat-peminatnya sahaja.  Penggiat politik ini pun mendapat royalti daripada kegiatannya apabila dirinya disokong banyak rakyat dalam pemilihan parti atau pilihan raya.  Jadi semakin banyak orang menyokongnya, semakin banyaklah duit masuk dalam poketnya.  Untungnya ialah banyak orang berpendidikan agama menjadi ahli politik dan dengan mudah mereka mengeluarkan fatwa politiknya adalah sah di sisi agama. 

Ketiga-tiga bidang ini adalah satu industry, yang menggerakkan ekonomi.  Ketiga-tiganya bergerak mengikut lunas undang-undang. Malah Untuk menarik wang yang banyak daripada khalayak penggemarnya semua watak dalam ketiga-tiga industry ini akan sedaya upaya menonjolkan persempahan terbaik.  Para artis mahu imej yang baik, cantik dan sentiasa memberikan produk hiburan terkini.  Ahli-ahli sukan juga mahu terus hebat di gelanggang untuk menarik sebanyak mungkin orang memasuki stadium.  Dengan banyak orang suka kredibilitinya sebagai ahli sukan wang poketnya tebal melalui ganjaran kontrak iklan dan majikannya.  Ahli politik pun sama, semakin mendapat perhatian orang maka semakin kukuhlah di persada politik. Maka, sebagaimana artis yang membuat banyak gimik supaya namanya terus di bibir peminat, ahli politik juga tidak ketinggalan membuat aksi berani matinya.  Ucapan-ucapan yang ‘gila babi’ dan perangai ‘budak hingusan’ pun dipaparkan. Ya, orang suka sebab semua ini aksi pelik.  Orang sanggup membayar persembahan mereka melalui cukai, kutipan ceramah dan sumbangan dana pilihan raya.

Menarik hidup ini…., Cuma janganlah mudah taksub dengan mendakwa pihaknya sahaja yang betul dan pihak lain salah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan