Pengikut

Ahad, November 28, 2010

SALAHKAH Nabi itu tidak tahu membaca dan menulis?

APABILA belajar sejarah Rasulullah, semua wajib tahu yang baginda seorang yang ummi. Ummi ini ialah tidak tahu membaca dan menulis.  Seorang nabi yang ummi sedangkan ayat yang diterimanya di Gua Hira ialah mengenai seruan membaca (surah al-alaq).  Rupa-rupanya tidak banyak mengerti hikmah atau  strategi Allah memelihara supaya Muhammmad bin Abdullah itu seorang yang ummi sejak kecil sehingga kewafatannya.


Perihal nabi yang ummi telah dirakamkan dalam al-Quran surah al-Araf ayat 157 bermaksud: Orang-orang yang mengikuti rasul, nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka…….

Setelah Allah menjaga kedudukan peribadi Nabi Muhammad yang tidak pernah berdusta sejak kecil sehingga masyarakatnya memberi gelaran al-Amin, sifat nabi akhir zaman yang ummi juga merupakan strategi Allah untuk membina kemuliaannya sebagai Rasulullah.  Dengan keperibadian nabi yang ummi inilah manusia membenarkan dirinya sebagai nabi dan utusan Allah, yang membacakan wahyu-wahyu Allah.

Untuk mengetahui kehebatan nabi yang ummi, terpaksalah membuat andaian nabi yang tidak ummi untuk mudah difahami mengapa seorang nabi yang agung itu ummi.  Umum tahu bahawa sebelum nabi yang ummi ini mendapat wahyu (al-Quran) sudah wujud beberapa tamadun dunia seperti di Mesopotamia, Mesir, Yunani, India, Parsi dan China. 

Tokoh-tokoh ilmu telah lahir dari zaman Firaun di Mesir. Di Yunani telah lahir ahli-ahli falsafah seperti Socrates, Plato dan Aristotle.  Malah bangsa yang pertama mencipta kertas untuk dicatat tulisan adalah bangsa Cina. Sebelum kerasulan Muhammad nabi akhir ini juga telah banyak rasul dan nabi diutus oleh Allah kepada bangsa-bangsa tertentu demi memberi panduan hidup dalam beragama dan bermasyarakat.

Sejarah tamadun manusia yang panjang itu sebenarnya merupakan khazanah pengetahuan yang tersebar dan diwarisi oleh sesiapa juga.  Maka tidak hairan jika orang-orang Arab juga boleh mewarisi apa juga pengetahuan dari tamadun-tamadun tersebut.

Oleh yang demikian, jika nabi akhir zaman yang membawa risalah Allah ini mempunyai kemahiran membaca dan menulis, maka dengan mudah manusia menuduh baginda sendiri mengarang al-Quran.  Jika Muhammad Rasulullah ini pernah berguru dengan tokoh-tokoh dari mana-mana tamadun, tentulah manusia akan menolak dakwaan al-Quran adalah wahyu dari langit.  Manusia akan mengatakan al-Quran hasil pemikiran Muhammad yang setaraf profesor zaman kini! Tidak begitu sama sekali.

Demikianlah dengan status nabi yang ummi dan al-amin, menjadi hujah tersembunyi yang membungkamkan mulut manusia untuk mengatakan nabi akhir zaman ini seorang intelektual yang mengambil kesempatan daripada kemahirannya yang hebat berguru, menulis dan membaca. 

Sifat nabi yang ummi ini istimewa sebagai strategi Allah untuk menjawab segala kritikan manusia. Sifat ini adalah khas untuk baginda dan tidak untuk mana-mana muslim meniru peribadi nabi yang ummi atas hujah sunah nabi.  Ayat-ayat daripada surah al-Alaq yang menyuruh manusia membaca sudah kuat menjadi dalil wajibnya muslim meneroka ilmu sepanjang zaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan