Pengikut

Jumaat, Disember 31, 2010

ATAS nama Islam atau eksploitasi?

AGAMA memang suci. Islam pula bukan sekadar satu hubungan ritual manusia dengan Tuhan, malahan satu pegangan hidup.  Oleh kerana suci dan tingginya harapan muslim terhadap Islam maka apa sahaja diberbau Islam pasti diutamakan.


Orang-orang yang alim agama Islam pula mendapat tempat yang tinggi dan sangat dipercayai.  Biasa seorang yang tidak punya harta tetapi menjadi imam solat kepada orang-orang kaya, si imam tetap diberi hormat yang tinggi oleh para jemaah solatnya.

Maka, ada pula yang mengambil kesempatan menggunakan jalan agama untuk meraih keuntungan peribadi untuk membentuk ketinggian status sosial atau meraih kekayaan.  Tidak berapa lama dahulu dipopularkan mengenai ‘capal nabi’.  Dengan memberi gelar capal nabi yang sebegitu rupa dan tidak berkualiti pun tetap dibeli oleh orang yang memang sangat mencintai junjungan Nabi Muhammad.  Jangan main-main untuk disabitkan dengan nabi sebab wajib dipastikan sanad-sanadnya sah.  Kalau sekadar anggapan, itu lebih menjadi satu dusta atas nama nabi.

Sekarang ini satu kecenderungan untuk melariskan jualan dengan jalan agama juga. Produk makanan yang terhasil daripada buah-buahan sedang dilariskan dengan didakwa sudah dibacakan sekian banyak surah al-quran.  Air biasa satu liter dijual sehingga lima ringgit dengan alasan sudah dibacakan sekian banyak ayat al-Quran oleh para pelajar tahfiz.  Minyak wangi biasa juga dikatakan ada khasiat luar biasa yang konon sudah dibacakan sekian banyak wahyu Allah.  Semuanya hanya dakwaan dan tidak pernah diuji secara saintifik dan klinikal.  Ayat paling mudah oleh penjualnya yang berwatak orang alim agama ialah ‘semua datang daripada Allah’. Ya memang!

Selepas ini apa?  Tunggu sahaja sejenis beras, ikan kering, susu tepung bayi dan beberapa yang boleh dijadikan barang dagangan baru atas nama sudah dibacakan doa khusus dan sekian juzuk ayat al-Quran.  Tunggu pula baju T, jubah atau selimut yang sudah diasapkan dengan seribu bacaan ayat-ayat terpilih dan si pemakai dijanjikan bahawa Tuhan akan lebih memberi kebaikan dengan menggunakan produk tersebut.

Tunggu sahajalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan