Pengikut

Ahad, November 07, 2010

MENUNGGU para hujaj yang tua-tua

TIDAK lama lagi suasana kemuncak musim haji akan berlaku apabila semua yang berada di tanah haram Makkah berhimpun di padang Arafah.  Berhaji hukumnya wajib, tetapi ada syarat-syarat tertentu yang menjadikan kewajiban haji menjadi subjektif. Perihal seruan Allah untuk umat manusia menunaikan haji ada dalam surah al-Haj, boleh dilihat pada ayat 27 maksudnya: Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadanya dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru yang jauh.

Bukanlah rahsia lagi perbandingan usia dan fizikal antara para jemaah haji dari Malaysia dengan jemaah negara lain.  Bandingkan sahaja jemaah haji Malaysia dengan Indonesia.  Kebanyakan jemaah haji Malaysia yang sudah tua dan dari Indonesia yang masih muda-muda merupakan pemahaman Islam antara kedua-dua tempat.

Secara umum, terutama generasi yang lahir sebelum tahun 1960 memahami ibadah haji merupakan ibadah yang paling akhir sebelum mati, yang tersisa daripada segala-galanya.  Tenaga yang tersisa menjadi sudah lemah, wang yang tersisa setelah selesai urusan sosial dan ekonomi dan usia yang tersisa setelah tua kerepot serta menyimpan beberapa penyakit.  Pemahaman mereka yang tentunya diajar oleh guru-guru agama atas ayat biasa: Wajib haji apabila mampu.  Huraiannya ialah setelah segala urusan kehidupan seperti anak-anak habis belajar dan kenduri kahwin semuanya selesai.  Setelah sempurna rumah yang agam, kerana sudah dipesankan oleh guru bahawa jangan tinggalkan waris di tanah air dalam susah payah. Nah, rumah agam kukuh untuk 100 tahun, sedangan dia pergi berhaji selama 30-40 hari sahaja. 

 foto hiasan sahaja

Selama ini kita kurang diajar untuk memahami bahawa haji wajib bersama manusia yang berakal.  Tidak mengira berapa usia orang Malaysia, wajib haji itu boleh datang pada usia muda  dan mungkin hilang wajib apabila usia tua.  Tidak banyak yang percaya bahawa pasangan muda yang masih punya dua atau tiga anak telah wajib haji kerana dengan kesihatan, keberanian, kewangan serta bebanan hidup yang sangat minimum.  Kelak, apabila usia sudah melebihi 50 tahun, anak-anak kian banyak perlukan wang belajar di kolej dan universiti, penyakit mula datang dan kerana sudah banyak kesan ekonomi serta sosial makin takut pula untuk meninggalkan kebun, perniagaan  dan anak cucu!

Alasan kotor paling mudah ialah: Belum sampai seru untuk menunaikan haji.

Ada yang belum sanggup mendaftar untuk menunaikan haji kerana memikirkan dirinya yang belum mencapai taraf malaikat.  Maksud jiwa malaikat ini ialah tahu budaya hidup yang tidak cocok dengan Islam, jauh daripada anjuran al Quran dan Sunnah, kerana itu merasa kalau berhaji pada usia muda tidak seikhlas setelah usia tua bangka.  Anggapannya apabila sudah tua kerepot ialah usia yang paling ikhlas beramal, sudah tidak memberi dan menerima rasuah dan lain-lain.  Tidak ada kepastian langsung untuk itu sebab syaitan sangat kreatif untuk menyesatkan manusia sama ada untuk usia kanak-kanak, muda, dewasa atau tua ganyut!

Mendaftarlah di pejabat Tabung Haji, dan sisihkanlah sebagian wang pendapatan setiap bulan untuk berhaji.  Ada orang muda usia 26 tahun mendaftar untuk berhaji dan diberitahu koutanya untuk ke Makkah ialah pada tahun 2030! Jika yang berusia 50 baru mendaftar haji, percayakah bahawa dia akan diberi tempat ke Makkah pada usia 70 tahun? Janganlah menangis, kerna itu kefahaman kita kan!

Tahniah orang muda yang bukan lepasan agama yang bebas daripada pengaruh pendidikan konservatif, yang banyak mendaftar haji pada usia muda.  Secara peribadi, mantan murid-murid saya yang dikatakan bukan lepasan sekolah agama mudah menerima anjakan paradigma mengenai kawajiban haji pada usia muda.

1 ulasan:

  1. Bangga menjadi salah seorang murid cikgu. :)

    BalasPadam